Monday, April 18, 2005

 

UM : Agensi setempat pantau Selangor Halal Hub

SHAH ALAM 17 April - Selangor Halal Hub di Pulau Indah, Pelabuhan Klang dekat sini akan dilengkapi dengan pusat setempat melibatkan beberapa jabatan yang akan memastikan produk keluaran tempat itu mematuhi piawaian halal.

Antara agensi terlibat ialah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), SIRIM Bhd., Jabatan Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Haiwan.

Pengurus Besar SSIC Bhd., Datuk Mhd. Jabar Ahmad Kembali berkata, pusat setempat itu akan membekalkan maklumat dan membantu proses berkaitan persijilan dan akreditasi produk.

``Pelabur-pelabur akan mengeluarkan serta memasarkan produk masing-masing tanpa was-was dan lebih cepat serta teratur,'' katanya kepada Bernama di sini. SSIC ialah sayap promosi pelaburan bagi negeri Selangor.

``Setiap agensi yang terlibat akan menempatkan pegawai mereka di Selangor Halal Hub bagi memudahkan operasi pengeluaran dan pemasaran,'' katanya.

Pelabur-pelabur di pusat halal hub itu tidak semestinya pengusaha Islam tetapi produk yang dikeluarkan mestilah barangan halal.

Mhd. Jabar berkata, setakat ini sebuah syarikat usaha sama antara Malaysia dan Thailand telah menyatakan komitmen untuk memulakan operasi di Selangor Halal Hub dengan mengeluarkan produk berasaskan minyak sawit.

Syarikat itu, Golden Palmolina Sdn. Bhd., akan memulakan operasi dalam tempoh enam bulan lagi.

Beliau berkata, Selangor Halal Hub juga telah menerima pertanyaan pelabur Indonesia dan Jepun serta negara-negara lain.

Tambahnya, kerajaan Selangor berharap 30 pelabur akan beroperasi di Selangor Halal Hub dalam tempoh tiga atau empat tahun di kawasan seluas 60 hektar itu. - Bernama


Sunday, April 17, 2005

 

Bantah kongres tembakau di M’sia

Muhammad Sha'ani Abdullah
Mkini -Letters
Mar 17, 05 3:08pm

Oleh kerana masyarakat Europah dan Amerika Syarikat telah mengurangkan tabiat merokok serta menguatkuasakan peraturan dan undang-undang yang menyekat penyebaran barangan tembakau, maka peniaga produk tembakau, kini mensasarkan benua Asia.

Sebagai membantu usaha membendung gejala merokok di kalangan masyarakat Malaysia, kami memohon pihak kerajaan Malaysia supaya tidak membenarkan penganjuran Kongres Tembakau Sedunia 2005 di Kuala Lumpur dari 14 hingga 16 November ini.

Ia dianjurkan oleh DKM - Dr Kater Marketing GmbH, sebuah syarikat pemasaran dari Jerman, dengan kerjasama media tembakau Tobacco Reporter dari Amerika Syarikat dan Tobacco Journal International dari Jerman.

Kami memohon kerajaan Malaysia tidak membenarkan penganjuran kongres tersebut atas alasan berikut:

1) Kerajaan Malaysia telahpun menandatangani Rangka Konvensyen mengenai Kawalan Tembakau (FCTC) pada 23 September 2003 dan berkomited terhadap usaha untuk terus membendung tabiat merokok yang memudaratkan kesihatan perokok dan orang sekitarnya.

2) FCTC mensyaratkan semua negara-negara yang menandatanganinya menggubal undang-undang komprehensif untuk melarang sebarang iklan, promosi dan penajaan barangan tembakau. Peraturan di Malaysia tidak membenarkan sebarang usaha untuk menggalak ataupun mempromosikan tabiat merokok.

3) Selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal-Ehwal Islam Malaysia Ke-37 pada 23 Mac 1995, tabiat merokok itu adalah haram menurut pandangan Islam.

4) Langkah membenarkan penganjuran kongres tersebut seolah-olah memberi pengiktirafan kepada amalan merokok yang hendak dibendung oleh majoriti rakyat Malaysia dan kerajaan Malaysia sendiri.

5) Penubuhan dan pendaftaran Majlis Kawalan Tembakau Malaysia pada 28 September 2004 dipelopori oleh 28 pertubuhan dengan misi untuk membasmikan tabiat merokok di kalangan rakyat Malaysia melalui strategi pembelaan, penyelidikan dan pendidikan serta disokong sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.

Kami memohon semua pihak yang perihatin terhadap penularan gajala tabiat merokok supaya turut memohon setiap ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri (Adun) mereka untuk menyokong usaha menghalang penganjuran Kongres Tembakau Sedunia 2005 di Kuala Lumpur yang juga akan mencemarkan imej dan nama baik negara di mata dunia.


Penulis adalah presiden Persatuan Pengguna Pahang (PAC).

Saturday, April 09, 2005

 

UM : Jakim rancang bina makmal sendiri kaji jenis makanan halal

SHAH ALAM 8 April - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merancang membina makmalnya sendiri supaya dapat membuat pemeriksaan dan kajian mengenai pelbagai jenis makanan dan produk halal dengan lebih cepat.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mustafa Abdul Rahman berkata, permohonan bagi membina makmal itu telah dihantar kepada kerajaan dan kemungkinan besar akan dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-9.

``Kita memang dalam perancangan membina makmal pemeriksaan produk dan makanan halal berharga kira-kira RM40 juta.

``Jakim sedang mencari tapak yang sesuai di Selangor bagi pembinaannya. Makmal itu akan membolehkan kita menjalankan pemeriksaan barangan atau makanan halal dengan cepat.

``Bagaimanapun ia bergantung kepada kerajaan sama ada meluluskannya atau tidak,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Ketua-Ketua Jabatan Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia Kali Ke-67 di sini, hari ini. Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Menurut Mustafa, pada masa ini Jakim menggunakan khidmat Jabatan Kimia, Mardi dan universiti-universiti tempatan bagi menjalankan pemeriksaan produk dan makanan halal.

Jelas beliau, keadaan itu sedikit sebanyak menjejaskan kepantasan pihaknya untuk mendapat keputusan pemeriksaan lanjut yang dibuat ke atas produk atau makanan halal yang dilaporkan kepada Jakim.

Kata beliau, selain membina makmal, pihaknya juga memohon kepada kerajaan untuk melatih kakitangannya supaya menjadi pakar dalam bidang kajian makanan dan produk halal.


Thursday, April 07, 2005

 

UM Forum : Halal: Umat Islam diminta sertai soal selidik Jakim

Saudara Pengarang,

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang membuat soal selidik melalui laman webnya untuk mengetahui sama ada orang ramai bersetuju Sistem Pesanan Ringkas (SMS) digunakan untuk menyemak sesuatu produk dan premis yang menyediakan makanan/minuman/produk halal.

Saya turut menyeru semua rakyat Malaysia terutama umat Islam agar memberikan maklum balas yang disediakan secara percuma kepada mereka yang mempunyai akses Internet.

Sila lawati laman web Jakim http://www.halaljakim.gov.my/index.php Undian dan maklum balas terdapat pada ruang bawah sebelah kiri laman web tersebut. - ROZMAL MALAKAN, Senawang, Negeri Sembilan.


 

UM: Pengimport makanan tidak diwajib guna logo halal

engimport makanan tidak diwajib guna logo halal

KUALA LUMPUR 6 April - Kerajaan tidak mewajibkan pengeluar dan pengimport barangan makanan mengunakan logo halal pada produk mereka, sebaliknya hanya memberi pengiktirafan kepada sijil halal yang dikeluarkan badan-badan Islam antarabangsa bagi membolehkan ia menjadi panduan kepada umat Islam.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk S. Veerasingam berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengiktiraf sijil halal yang dikeluarkan oleh 42 pertubuhan Islam antarabangsa dan 22 negara luar bagi memudahkan pengguna memastikan makanan yang diimport adalah halal.

Beliau berkata, ini memandangkan kerajaan tidak mengeluarkan sijil bagi memperakui status halal sesuatu barang makanan yang diimport.

``Undang-undang yang sedia ada tidak mewajibkan pihak pengeluar, pengimport atau peniaga untuk menandakan sebarang barang makanan sebagai halal.

``Oleh itu pihak berkenaan mempunyai pilihan untuk menggunakan logo halal atau tidak,'' katanya ketika menjawab soalan asal Datuk Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, menurut Veerasingam, para pengeluar dan pengimport perlu mengikuti syarat halal yang ditakrifkan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Label Halal) 1975 sekiranya mereka ingin menggunakan logo halal.


Tuesday, April 05, 2005

 

UM : Hologram mahu usaha sama keluarkan pelekat keselamatan

korporat

KUALA LUMPUR 3 April - Pengeluar hologram terkemuka dunia, Hologram Industries yang berpangkalan di Perancis, sedia mengadakan usaha sama dengan pihak berkuasa serta firma tempatan bagi mengeluarkan pelekat keselamatan di negara ini.

Presiden Hologram Industries, Hugues Souparis berkata, pihaknya melihat terdapat keperluan untuk memasarkan hologram secara lebih meluas di negara ini.

``Pada pemerhatian saya, lebih 95 peratus barangan pengguna di pasaran tempatan tidak mendapat akreditasi, sekali gus mendedahkannya kepada risiko pemalsuan serta menimbulkan rasa curiga.

``Dengan adanya hologram yang berteknologi tinggi, keyakinan pengguna terutamanya pelabur asing akan meningkat,

``Namun, pelaksanaan itu harus disusuli dengan langkah penguatkuasaan kawalan yang cukup mantap bagi memastikan tiada unsur-unsur penipuan dalam pengeluaran hologram itu,'' katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau berada di Malaysia bagi tujuan mempromosi hologram di pasaran tempatan.

Hologram kini digunakan oleh banyak negara di seluruh dunia sebagai pengesahan keselamatan dan ketulenan produk yang termasuk wang kertas, kad pengenalan, kad kredit, pasport serta dokumen pengenalan perjalanan.

Mengulas lanjut, Souparis berkata, usaha sama tersebut juga boleh menjadi pemangkin untuk produk hologram menembusi pasaran ASEAN yang masih belum memiliki kilang pengeluaran hologram secara besar-besaran.

Hologram, jelas beliau, perlu dikeluarkan dalam skala pengeluaran yang besar bagi membolehkannya dipasarkan pada harga yang lebih menarik berbanding pengeluaran dalam operasi berskala kecil.

Di tanya mengenai kelebihan hologram jika dibandingkan dengan pelekat keselamatan jenis lain, ujar beliau lagi, hologram boleh mengesahkan ketulenan dan keselamatan sesuatu produk hanya dengan sekali pandang sahaja.

``Jika pengguna mengesyaki terdapat unsur-unsur penipuan menerusi kaedah pertama itu, mereka boleh membuat ujian kedua dan ketiga dengan menggunakan alatan tertentu yang dapat melihat aspek dalaman hologram berkenaan,'' tambahnya.

Souparis berkata, penggunaan hologram juga boleh membantu industri makanan halal negara ini yang semakin berkembang.


 

UM Forum : Waspada gula-gula mengandungi bahan haram di pasar raya

Saudara Pengarang,

BEBERAPA hari lalu kami sekeluarga ke sebuah pasar raya di Senawang. Semasa di kaunter sempat saya membelek-belek gula-gula getah yang digantung dekat kaunter.

Dari jauh memang menarik perhatian anak-anak, berwarna-warni dan pelbagai bentuk dibungkus dalam peket plastik kecil yang menarik.

Ia diperbuat di negara China, ada tertulis `Halal' dalam tulisan jawi. Apabila dilihat ramuan serta kandungan, tertulis pula mengandungi beef gelatin atau gelatin daripada lembu.

Mula rasa was-was. Mengikut kata Mufti Perak, Datuk Dr. Harussani Zakaria kalau sudah was-was tu, haram dimakan.

Keesokan hari, saya membuat carian di Internet mengenai persijilan halal daripada negara China. Dalam laman web Jabatan Pertanian Malaysia memberikan maklumat berikut :

http://agrolink.moa.my/jph/dvs/kav/halal/h-china.html

``Jakim telah mendapat maklumat daripada China Islamic Association bahawa semua produk eksport mestilah mendapat sijil halal daripada China Islamic Association sahaja.

Cawangan badan Islam dari wilayah-wilayah di China hanya boleh mengeluarkan sijil halal untuk pasaran setempat sahaja. Cawangan Badan Islam tersebut ialah Dalian Islamic Association, Hoyue Islamic Association, Dalian Islamic Association, Beijing Islamic Association dan Hean Islamic Association (Rujukan: JAKIM/(S)/22)/72 (80) 6 September 2004)

Shandong Province Islamic Association, Jinan City, 75, Kuan _ Hou _ Suo Street Li _ Xia District, Jinan, Shandong, Province P. R. C 250011 Tel: 86 531 691 6250 Faks: 86 531 691 6253 / 86 531 6912564, e-mel: shandongysljxh@yahoo.com.cn

China Islamic Association, 103 Nan Heng West Street Xuan Wu District Beijing. P.R. China Tel: 0086 1083559160, Faks: 0086 1063532664.''

Nampaknya bukan sosej sahaja yang kecoh mengenai halal haram, malah gula-gula dan gula-gula getah yang banyak terdapat di pasaran sekarang ini yang datangnya dari negara China juga haruslah diteliti terlebih dahulu akan kandungan dan persijilan halal.

Ini adalah kerana gula-gula dan gula-gula getah ini adalah murah dan mudah didapati di mana-mana kedai dan sering dimakan oleh anak-anak kita.

Oleh itu diharapkan pihak Jakim menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap semua barangan yang terdapat di pasaran sekarang ini, dan pihak pemborong dan pembekal pula mestilah mempastikan para pembekal mereka menyertakan pengesahan persijilan halal untuk setiap produk sama ada dari dalam atau luar negara.

Dalam pada itu badan-badan dakwah dan pertubuhan bukan kerajaan hendaklah dari semasa ke semasa memberi penerangan khususnya kepada pengguna Islam agar mereka lebih berhati-hati apabila membeli makanan dengan mengetahui kandungan bahan dan ramuan yang disediakan. - ROZMAN MALAKAN, Senawang, Negeri Sembilan.


 

UM : Syor syarikat pengeluar makanan halal wujud badan bebas

KUALA LUMPUR 4 April - Seorang penyokong kerajaan hari ini mencadangkan setiap syarikat pengeluar makanan halal mewujudkan satu jawatankuasa bebas di syarikat masing-masing bagi memastikan pematuhan standard halal yang ditetapkan oleh kerajaan.

Fadillah Yusof (BN-Petra Jaya) berkata, `jawatankuasa halal' perlu diberi kuasa untuk memeriksa keseluruhan bahagian pengendalian dan rangkaian pengeluar sama ada makanan termasuk kuasa memeriksa harta, inventori atau penyata kewangan.

``Bidang kuasa jawatankuasa perlu dinyatakan lebih jelas dan garis panduan disediakan oleh kementerian,'' katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat.

Katanya, selain diberi kuasa melantik dan mengambil khidmat tenaga pakar dalam bidang tertentu, jawatankuasa itu perlu diberi kebebasan serta terkecuali daripada kongkongan pengurusan syarikat.

``Jawatankuasa mestilah diberi kuasa untuk berurusan, memohon atau memanggil pegawai penguatkuasa atau mana-mana pihak berkuasa untuk membantu memberi panduan yang diperlukan bagi membolehkan jawatankuasa menjalankan tanggungjawab,'' katanya.

Beliau mencadangkan jawatankuasa itu membuat pemeriksaan setiap tiga bulan atau enam bulan terhadap premis, bangunan, peralatan, mesin dan kenderaan pengangkutan seterusnya mengeluarkan satu laporan awam. - Bernama


Friday, April 01, 2005

 

UM Forum : Masyarakat Islam masih bimbang dengan makanan halal di pasaran

Saudara Pengarang,

SAYA sering mendapat e-mel yang memberikan maklumat mengenai pengendali-pengendali makanan yang tidak mengikut piawaian `HALAL' walaupun tidak terbukti kebenaran e-mel tersebut.

Pada pendapat saya, isu halal ini tidak akan timbul sekiranya semua pengendali makanan yang halal di Malaysia ini diwajibkan mendapat pengesahan daripada Jaim.

Saya kira, tinggal dalam negara yang diuar-uarkan sebagai negara Islam, saya tidak perlu bimbang mengenai makanan yang dijual.

Tetapi, isu yang ditimbulkan kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan yang teramat kepada saya, dan saya percaya begitu juga orang lain. Acap kali saya terfikir, apakah selama ini saya ada termakan makanan yang tidak halal?

Saya percaya kerajaan amat maklum bahawa isu ini terlalu sensitif kepada umat Islam dan perlu diambil berat.

Andainya badan yang menguruskan pemeriksaan logo halal tidak cukup kakitangan, kita sedia maklum bahawa negara ini mempunyai kadar pengangguran yang tinggi.

Saya pasti, badan tersebut akan mempunyai lebih dari sepatutnya kakitangan untuk membantu mengendalikan pemeriksaan tersebut.

Seperkara lagi, pengendali makanan yang menjual makanan khusus untuk orang bukan Islam, tidak sepatutnya dibenarkan memproses dan menjual makanan atau minuman untuk orang Islam.

Dikhuatiri mereka menggunakan bekas atau tempat memproses yang turut digunakan untuk memproses makanan yang tidak halal meskipun mereka menggunakan bahan-bahan yang telah mendapat pengesahan HALAL daripada Jakim.

Juga, orang bukan Islam yang menjual makanan kepada orang Islam, hendaklah diberikan kefahaman yang mendalam mengenai apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan halal dan haram dari segi Islam.

Saya percaya pengetahuan mereka terlalu sedikit dalam memahami maksud halal itu sendiri.

Saya sendiri mempunyai ramai rakan bukan Islam, yang tidak begitu memahami apa itu halal dalam Islam.

Bagi mereka, andainya membeli makanan selain dari bersumberkan babi dari restoran yang menjual makanan untuk orang bukan Islam, itu dikira halal.

Masyarakat Islam di negara ini memang benar-benar mengharapkan tindakan pihak kerajaan.

Sebagai rakyat bia


This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi