Monday, March 06, 2006

 

Indeks Kepuasan Pengguna -- Cadangan bagi lindungi kepentingan, keselamatan masyarakat

UTUSAN MALAYSIA Muka Hadapan

Oleh Mustafa Kamal Basri

KUALA LUMPUR 6 Mac - Kerajaan perlu memperkenalkan Indeks Kepuasan Pengguna (CSI) sepenuhnya untuk perkhidmatan utiliti seperti bekalan air, api, telefon mahupun lebuh raya bertol bagi melindungi kepentingan dan keselamatan pengguna.

Melalui indeks itu, tahap piawaian perkhidmatan akan diukur oleh sebuah badan bebas dan sekiranya ia tidak menepati standard, para pengguna berhak mendapat pampasan atau rebat.

Pada masa ini, nasib pengguna tidak terbela - walaupun isu air busuk, berkarat dan tidak berkualiti terus dibangkitkan oleh pelbagai pihak.

CSI yang dipraktikkan oleh pihak swasta dan awam negara ini banyak digunakan untuk menilai prestasi produktiviti korporat dan bukannya bagi melindungi kepentingan pengguna.

Timbalan Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air (IPASA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr. Maketab Mohamed berkata, CSI bagi melindungi pengguna telah dipraktikkan di negara maju termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom.

``Di Malaysia, kita boleh mulakan pelaksanaan CSI bagi perkhidmatan bekalan air sebelum diperluaskan kepada utiliti pengguna yang lain,'' katanya di sini.

Sebagai contoh, katanya, CSI boleh dimulakan melalui rang undang-undang Akta Industri Air dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang akan dibentangkan di Parlimen akhir bulan ini.

``Setakat ini rang undang-undang yang akan dibentangkan itu tidak memasukkan fasa mengenai CSI.

``Pindaan itu hanya menyentuh kepentingan pengusaha industri air dan tidak ada menyentuh soal bayaran rebat atau pampasan untuk pengguna umum yang menerima bekalan tidak berkualiti,'' katanya.

Kata beliau, jika CSI diperkenalkan untuk utiliti yang lain, sistem pengukuran dan pemantauan yang berbeza diperlukan.

Biasanya CSI dibahagikan kepada kualiti dan kuantiti, katanya.

Beliau berkata, walaupun disebut tentang standard minimum ukuran kualiti air tetapi ia tidak mencukupi bagi melindungi pengguna.

Menurut beliau, sebagai contoh, bekalan air melalui banyak proses sebelum sampai ke rumah pengguna.

``Mengikut pindaan akta itu, standard minimum pengiraan kualiti air hanya dibuat dari loji bekalan air,'' katanya.

Tegasnya, ini menyebabkan pengguna tidak mendapat bayaran rebat jika pencemaran dikesan di rumah.

Katanya, jika CSI diperkenalkan, sistem ujian tambahan perlu dijalankan jika ada aduan mengenai pencemaran.

``Ujian itu akan dijalankan ke atas rasa dan bau air. Kita dapat lihat bagaimana kes pencemaran bau air di Lembah Klang dan Selangor,'' jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Shaani Abdullah berkata, CSI juga boleh menjadi mekanisme untuk memantau prestasi syarikat konsesi air.

``Jika mereka gagal menyediakan perkhidmatan yang memuaskan kerajaan boleh menolak permohonannya untuk menaikkan tarif,'' katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan CSI akan memastikan pengurusan bekalan air bukan sahaja berkesan tetapi pengguna mendapat bekalan air yang bersih dan selamat.


This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi