Wednesday, July 28, 2004

 

Wartakan segera fatwa haram kuiz SMS

Utusan Malaysia
28 Julai 2004

KUALA LUMPUR 27 Julai - Pelbagai pihak termasuk persatuan pengguna mengalu-alukan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa peraduan kuiz melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) sebagai haram serta menggesa fatwa itu diwartakan segera.

Mereka juga menggesa agar semua syarikat telekomunikasi menghentikan serta merta peraduan seumpama itu sebagai menghormati keputusan Majlis Fatwa.

Setiausaha Agung, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Maamor Osman berkata, keputusan itu selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu rakyat mengaplikasikan kemajuan teknologi secara lebih bijak dan berhemah.

Katanya, langkah segera perlu dibuat oleh pihak berkuasa berkaitan bagi memberi penjelasan secara menyeluruh kepada rakyat terutamanya umat Islam mengenai perkara itu.

``Keputusan ini memberi isyarat kepada umat Islam supaya menilai diri sendiri,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini yang memutuskan bahawa peraduan kuiz melalui SMS adalah haram kerana mengandungi unsur perjudian.

Pengerusi majlis itu, Datuk Dr. Ismail Ibrahim ketika mengumumkan hasil mesyuarat tersebut berkata, keputusan itu berdasarkan beberapa hujah dan latar belakang peraduan tersebut yang bersifat samar-samar, mengandungi unsur eksploitasi dan penipuan serta kebergantungan kepada nasib dan wang pertaruhan.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M. Mohamad Idris pula berkata, pihaknya telah lama meminta kerajaan mengharamkan peraduan SMS kerana mengandungi unsur perjudian dan menipu pengguna dalam diam-diam.

``Sebagai contoh, hadiah yang ditawarkan bernilai RM3,000 tetapi menerusi SMS tanpa tidak sedar mereka (pengguna) telah berbelanja lebih daripada itu.

``Wang yang digunakan untuk membayar bil telefon yang sepatutnya boleh digunakan untuk perkara lebih berfaedah dibazirkan dengan begitu sahaja,'' katanya.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Shaani Abdullah berkata, resolusi fatwa itu perlu dipatuhi oleh semua pihak termasuk syarikat-syarikat telekomunikasi.

Menurut beliau, syarikat telekomunikasi perlu memainkan peranan yang lebih berkesan dalam membantu membina pemikiran pengguna melalui aktiviti yang lebih bermanfaat.

Presiden Era Consumer, M. Marimuthu pula berkata, pihak yang berkenaan perlu menyediakan garis panduan untuk memastikan keputusan itu dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

``Perkara ini juga perlu dikaji agar pengguna dapat memanfaatkan kemajuan teknologi demi kebaikan dan bukan merugikan mereka,'' jelasnya.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Azam Abdul Rahman berkata, tindakan Majlis Fatwa Kebangsaan menepati hukum Islam yang tidak menggalakkan budaya judi dalam kehidupan masyarakat Islam.

Sementara itu, hasil pendapatan tiga buah syarikat telekomunikasi tempatan, Maxis Communication Bhd. (Maxis), Celcom (M) Bhd. (Celcom) dan DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi) dilihat bakal terjejas sedikit ekoran keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tersebut.

Sebelum ini, ketiga-tiga pengendali telekomunikasi tempatan itu mengaut berjuta-juta ringgit dalam penglibatannya menyediakan talian untuk peraduan kuiz kepada para pelanggannya.

Sebagai contoh, Celcom mengumumkan berjaya memperoleh kira-kira RM3.5 juta menerusi 15 juta SMS yang diterima untuk lima peraduan sejak bulan Jun tahun ini.

Celcom ketika dihubungi di sini hari ini berkata, syarikat itu sedang mengadakan mesyuarat untuk mengkaji sedalam-dalamnya mengenai isu berkenaan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Menurut sumber dalaman Celcom yang enggan namanya disebut berkata, pihak pengurusan akan meneliti fatwa itu dan keputusan yang memuaskan hati semua pihak dijangka dapat dihasilkan.

``Tunggu sahaja kenyataan dari Celcom selewat-lewatnya esok,'' kata beliau.

Maxis yang dihubungi pula berkata, syarikat tersebut akan mematuhi semua arahan yang dibuat apabila kerajaan mula mewartakan fatwa tersebut.

``Kami akan mengeluarkan kenyataan rasmi esok kerana perlu mendapatkan maklumat yang jelas mengenai perkara berkenaan,'' kata jurucakap syarikat itu.

Sementara itu, pengendali telekomunikasi ketiga terbesar negara, Digi pula berkata, pihaknya tidak tahu menahu mengenainya dan berharap dapat membuat pengumuman selepas mendapat gambaran lebih jelas.

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi