Tuesday, April 05, 2005

 

UM Forum : Waspada gula-gula mengandungi bahan haram di pasar raya

Saudara Pengarang,

BEBERAPA hari lalu kami sekeluarga ke sebuah pasar raya di Senawang. Semasa di kaunter sempat saya membelek-belek gula-gula getah yang digantung dekat kaunter.

Dari jauh memang menarik perhatian anak-anak, berwarna-warni dan pelbagai bentuk dibungkus dalam peket plastik kecil yang menarik.

Ia diperbuat di negara China, ada tertulis `Halal' dalam tulisan jawi. Apabila dilihat ramuan serta kandungan, tertulis pula mengandungi beef gelatin atau gelatin daripada lembu.

Mula rasa was-was. Mengikut kata Mufti Perak, Datuk Dr. Harussani Zakaria kalau sudah was-was tu, haram dimakan.

Keesokan hari, saya membuat carian di Internet mengenai persijilan halal daripada negara China. Dalam laman web Jabatan Pertanian Malaysia memberikan maklumat berikut :

http://agrolink.moa.my/jph/dvs/kav/halal/h-china.html

``Jakim telah mendapat maklumat daripada China Islamic Association bahawa semua produk eksport mestilah mendapat sijil halal daripada China Islamic Association sahaja.

Cawangan badan Islam dari wilayah-wilayah di China hanya boleh mengeluarkan sijil halal untuk pasaran setempat sahaja. Cawangan Badan Islam tersebut ialah Dalian Islamic Association, Hoyue Islamic Association, Dalian Islamic Association, Beijing Islamic Association dan Hean Islamic Association (Rujukan: JAKIM/(S)/22)/72 (80) 6 September 2004)

Shandong Province Islamic Association, Jinan City, 75, Kuan _ Hou _ Suo Street Li _ Xia District, Jinan, Shandong, Province P. R. C 250011 Tel: 86 531 691 6250 Faks: 86 531 691 6253 / 86 531 6912564, e-mel: shandongysljxh@yahoo.com.cn

China Islamic Association, 103 Nan Heng West Street Xuan Wu District Beijing. P.R. China Tel: 0086 1083559160, Faks: 0086 1063532664.''

Nampaknya bukan sosej sahaja yang kecoh mengenai halal haram, malah gula-gula dan gula-gula getah yang banyak terdapat di pasaran sekarang ini yang datangnya dari negara China juga haruslah diteliti terlebih dahulu akan kandungan dan persijilan halal.

Ini adalah kerana gula-gula dan gula-gula getah ini adalah murah dan mudah didapati di mana-mana kedai dan sering dimakan oleh anak-anak kita.

Oleh itu diharapkan pihak Jakim menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap semua barangan yang terdapat di pasaran sekarang ini, dan pihak pemborong dan pembekal pula mestilah mempastikan para pembekal mereka menyertakan pengesahan persijilan halal untuk setiap produk sama ada dari dalam atau luar negara.

Dalam pada itu badan-badan dakwah dan pertubuhan bukan kerajaan hendaklah dari semasa ke semasa memberi penerangan khususnya kepada pengguna Islam agar mereka lebih berhati-hati apabila membeli makanan dengan mengetahui kandungan bahan dan ramuan yang disediakan. - ROZMAN MALAKAN, Senawang, Negeri Sembilan.


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi