Monday, April 18, 2005

 

UM : Agensi setempat pantau Selangor Halal Hub

SHAH ALAM 17 April - Selangor Halal Hub di Pulau Indah, Pelabuhan Klang dekat sini akan dilengkapi dengan pusat setempat melibatkan beberapa jabatan yang akan memastikan produk keluaran tempat itu mematuhi piawaian halal.

Antara agensi terlibat ialah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), SIRIM Bhd., Jabatan Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Haiwan.

Pengurus Besar SSIC Bhd., Datuk Mhd. Jabar Ahmad Kembali berkata, pusat setempat itu akan membekalkan maklumat dan membantu proses berkaitan persijilan dan akreditasi produk.

``Pelabur-pelabur akan mengeluarkan serta memasarkan produk masing-masing tanpa was-was dan lebih cepat serta teratur,'' katanya kepada Bernama di sini. SSIC ialah sayap promosi pelaburan bagi negeri Selangor.

``Setiap agensi yang terlibat akan menempatkan pegawai mereka di Selangor Halal Hub bagi memudahkan operasi pengeluaran dan pemasaran,'' katanya.

Pelabur-pelabur di pusat halal hub itu tidak semestinya pengusaha Islam tetapi produk yang dikeluarkan mestilah barangan halal.

Mhd. Jabar berkata, setakat ini sebuah syarikat usaha sama antara Malaysia dan Thailand telah menyatakan komitmen untuk memulakan operasi di Selangor Halal Hub dengan mengeluarkan produk berasaskan minyak sawit.

Syarikat itu, Golden Palmolina Sdn. Bhd., akan memulakan operasi dalam tempoh enam bulan lagi.

Beliau berkata, Selangor Halal Hub juga telah menerima pertanyaan pelabur Indonesia dan Jepun serta negara-negara lain.

Tambahnya, kerajaan Selangor berharap 30 pelabur akan beroperasi di Selangor Halal Hub dalam tempoh tiga atau empat tahun di kawasan seluas 60 hektar itu. - Bernama


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi