Saturday, April 09, 2005

 

UM : Jakim rancang bina makmal sendiri kaji jenis makanan halal

SHAH ALAM 8 April - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merancang membina makmalnya sendiri supaya dapat membuat pemeriksaan dan kajian mengenai pelbagai jenis makanan dan produk halal dengan lebih cepat.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mustafa Abdul Rahman berkata, permohonan bagi membina makmal itu telah dihantar kepada kerajaan dan kemungkinan besar akan dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-9.

``Kita memang dalam perancangan membina makmal pemeriksaan produk dan makanan halal berharga kira-kira RM40 juta.

``Jakim sedang mencari tapak yang sesuai di Selangor bagi pembinaannya. Makmal itu akan membolehkan kita menjalankan pemeriksaan barangan atau makanan halal dengan cepat.

``Bagaimanapun ia bergantung kepada kerajaan sama ada meluluskannya atau tidak,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Ketua-Ketua Jabatan Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia Kali Ke-67 di sini, hari ini. Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Menurut Mustafa, pada masa ini Jakim menggunakan khidmat Jabatan Kimia, Mardi dan universiti-universiti tempatan bagi menjalankan pemeriksaan produk dan makanan halal.

Jelas beliau, keadaan itu sedikit sebanyak menjejaskan kepantasan pihaknya untuk mendapat keputusan pemeriksaan lanjut yang dibuat ke atas produk atau makanan halal yang dilaporkan kepada Jakim.

Kata beliau, selain membina makmal, pihaknya juga memohon kepada kerajaan untuk melatih kakitangannya supaya menjadi pakar dalam bidang kajian makanan dan produk halal.


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi