Tuesday, April 05, 2005

 

UM : Hologram mahu usaha sama keluarkan pelekat keselamatan

korporat

KUALA LUMPUR 3 April - Pengeluar hologram terkemuka dunia, Hologram Industries yang berpangkalan di Perancis, sedia mengadakan usaha sama dengan pihak berkuasa serta firma tempatan bagi mengeluarkan pelekat keselamatan di negara ini.

Presiden Hologram Industries, Hugues Souparis berkata, pihaknya melihat terdapat keperluan untuk memasarkan hologram secara lebih meluas di negara ini.

``Pada pemerhatian saya, lebih 95 peratus barangan pengguna di pasaran tempatan tidak mendapat akreditasi, sekali gus mendedahkannya kepada risiko pemalsuan serta menimbulkan rasa curiga.

``Dengan adanya hologram yang berteknologi tinggi, keyakinan pengguna terutamanya pelabur asing akan meningkat,

``Namun, pelaksanaan itu harus disusuli dengan langkah penguatkuasaan kawalan yang cukup mantap bagi memastikan tiada unsur-unsur penipuan dalam pengeluaran hologram itu,'' katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau berada di Malaysia bagi tujuan mempromosi hologram di pasaran tempatan.

Hologram kini digunakan oleh banyak negara di seluruh dunia sebagai pengesahan keselamatan dan ketulenan produk yang termasuk wang kertas, kad pengenalan, kad kredit, pasport serta dokumen pengenalan perjalanan.

Mengulas lanjut, Souparis berkata, usaha sama tersebut juga boleh menjadi pemangkin untuk produk hologram menembusi pasaran ASEAN yang masih belum memiliki kilang pengeluaran hologram secara besar-besaran.

Hologram, jelas beliau, perlu dikeluarkan dalam skala pengeluaran yang besar bagi membolehkannya dipasarkan pada harga yang lebih menarik berbanding pengeluaran dalam operasi berskala kecil.

Di tanya mengenai kelebihan hologram jika dibandingkan dengan pelekat keselamatan jenis lain, ujar beliau lagi, hologram boleh mengesahkan ketulenan dan keselamatan sesuatu produk hanya dengan sekali pandang sahaja.

``Jika pengguna mengesyaki terdapat unsur-unsur penipuan menerusi kaedah pertama itu, mereka boleh membuat ujian kedua dan ketiga dengan menggunakan alatan tertentu yang dapat melihat aspek dalaman hologram berkenaan,'' tambahnya.

Souparis berkata, penggunaan hologram juga boleh membantu industri makanan halal negara ini yang semakin berkembang.


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi