Tuesday, April 05, 2005

 

UM : Syor syarikat pengeluar makanan halal wujud badan bebas

KUALA LUMPUR 4 April - Seorang penyokong kerajaan hari ini mencadangkan setiap syarikat pengeluar makanan halal mewujudkan satu jawatankuasa bebas di syarikat masing-masing bagi memastikan pematuhan standard halal yang ditetapkan oleh kerajaan.

Fadillah Yusof (BN-Petra Jaya) berkata, `jawatankuasa halal' perlu diberi kuasa untuk memeriksa keseluruhan bahagian pengendalian dan rangkaian pengeluar sama ada makanan termasuk kuasa memeriksa harta, inventori atau penyata kewangan.

``Bidang kuasa jawatankuasa perlu dinyatakan lebih jelas dan garis panduan disediakan oleh kementerian,'' katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat.

Katanya, selain diberi kuasa melantik dan mengambil khidmat tenaga pakar dalam bidang tertentu, jawatankuasa itu perlu diberi kebebasan serta terkecuali daripada kongkongan pengurusan syarikat.

``Jawatankuasa mestilah diberi kuasa untuk berurusan, memohon atau memanggil pegawai penguatkuasa atau mana-mana pihak berkuasa untuk membantu memberi panduan yang diperlukan bagi membolehkan jawatankuasa menjalankan tanggungjawab,'' katanya.

Beliau mencadangkan jawatankuasa itu membuat pemeriksaan setiap tiga bulan atau enam bulan terhadap premis, bangunan, peralatan, mesin dan kenderaan pengangkutan seterusnya mengeluarkan satu laporan awam. - Bernama


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi