Wednesday, February 18, 2009

 

Persatuan mahu harga barang keperluan kekal


ARKIB : 18/02/2009
Persatuan mahu harga barang keperluan kekal

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Persatuan pengguna mahu kerajaan mengekalkan harga asal barang-barang keperluan walaupun harganya kini semakin meningkat di pasaran dunia supaya orang ramai tidak dibebankan lagi dengan kenaikan kos sara hidup.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, kebanyakan barangan keperluan termasuk gula dan beras diimport dari luar negara dan harga barangan tersebut meningkat semakin tinggi di pasaran global.

Beliau berkata, pihaknya memahami kerajaan tidak dapat mengurangkan harga barang secara drastik ketika ini bagi meringankan beban rakyat tempatan.

''Dalam situasi sebegini, cadangan kerajaan tidak akan menaikkan harga gula menunjukkan bahawa mereka sangat prihatin terhadap rakyat,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang tidak akan menaikkan harga gula dalam masa terdekat selepas mengadakan perbincangan dengan pihak industri.

Tambah beliau, kerajaan juga tidak boleh membenarkan sesebuah syarikat untuk memonopoli sebarang tender pada masa kini.

''Tindakan itu sudah pasti akan memberi impak besar pada industri dan syarikat lain ketika negara menghadapi krisis ekonomi,'' jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, pihaknya menyambut baik cadangan kerajaan yang tidak akan membebankan masyarakat dengan meningkatkan harga barangan keperluan.

Katanya, jika harga gula dinaikkan, semua barangan yang diperbuat menggunakan campuran gula terpaksa dinaikkan.

''Ini akan mengakibatkan kos sara hidup turut naik dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu kini.

''Jika harga barangan keperluan dinaikkan, kerajaan harus menanggung kenaikan harga barangan itu dengan memberi subsidi khas,'' ujarnya.

Pada masa ini katanya, kerajaan harus lebih prihatin terhadap rakyat kerana ramai yang telah diberhentikan kerja ekoran masalah kegawatan ekonomi.

''Kami berharap pihak kerajaan tidak akan memberikan beban kepada masyarakat dengan menaikkan harga barangan keperluan seperti susu, gula dan beras,'' jelasnya.

Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi