Friday, February 06, 2009

 

Pengguna semakin sedar


RENCANA UTAMA
6/2/2009

Pengguna semakin sedar

Pengguna perlu sentiasa peka dan berhati-hati serta tidak mudah terpedaya dengan tipu-helah peniaga, terutama dalam keadaan kegawatan ekonomi sekarang.

"VOKALIS kumpulan Def Gab C, Ashed menunjukkan laporan yang dibuatnya kepada Persatuan Pengguna mengenai burger berkulat di Kuala Lumpur. – Gambar hiasan"

KERAP kali kita membaca berita penipuan yang dilakukan oleh segelintir peniaga ke atas pengguna.

Pelbagai helah juga digunakan untuk memperdaya pengguna, antaranya menawarkan potongan harga atau pemberian hadiah percuma.

Namun di sebalik pendedahan yang dibuat media, masih ada lagi pengguna yang berjaya 'digula-gulakan' peniaga sehingga membuat pembelian yang tidak perlu atau terpaksa membayar harga yang tinggi.

Justeru, pengguna perlu sentiasa peka dan berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tipu-helah peniaga, terutama dalam keadaan kegawatan ekonomi sekarang.

Pengguna juga perlu berani menggunakan hak mereka untuk tampil membuat aduan jika menyedari diri telah diperdaya atau produk yang dibeli kurang berkualiti.

Dewasa ini terdapat pelbagai saluran untuk pengguna membuat aduan. Antaranya ialah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Aduan meningkat

Laporan Tahunan 2007 NCCC menunjukkan peningkatan 33 peratus jumlah aduan yang diterima pada 2007 iaitu 24,873 berbanding 2006 (18,345).

Sepuluh aduan tertinggi diterima pada 2007 ialah terhadap pemaju perumahan (2,076), jualan langsung (1,933), pendidikan tinggi swasta (1,856), perbadanan pengurusan (1,739), telekomunikasi (1,721), produk kurang bermutu (1,519), jualan murah (1,410), pengangkutan awam (1,254), institusi kewangan (1,044) dan pasar raya hiper (975).

Mengulas kenaikan itu, Ketua Eksekutif NCCC, Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, sebahagian besar adalah hasil kesedaran pengguna tentang hak mereka untuk menuntut ganti rugi atau pun pembaikan apabila tidak berpuas hati dengan barang atau perkhidmatan yang diperoleh.

"Meskipun hebahan tentang perkhidmatan NCCC masih kurang dan terhad kerana kekangan sumber dan dana tetapi majoriti pengguna yang menghubungi pusat itu memperoleh maklumat selepas melayari Internet untuk mencari saluran bagi mengutarakan masalah mereka," katanya.

Beliau berkata, trend membuat aduan kepada NCCC dijangka terus meningkat.

"Melihat statistik 2008 yang sedang dikumpul, sehingga Oktober tahun itu, jumlah aduan melebihi 20 peratus bagi tempoh yang sama pada 2007," kata Muhammad Sha'ani sambil menyatakan Laporan Tahunan 2008 NCCC dijangka dikeluarkan pada penghujung Mac ini.

E-aduan KPDNHEP

Di bawah kementerian, terdapat beberapa saluran untuk pengguna membuat aduan termasuk menggunakan sistem eAduan menerusi laman web kementerian.

Sistem yang beroperasi sejak 14 Jun 2004 itu membolehkan pengguna menghantar terus aduan kepada kementerian, dan pengadu kemudian boleh menghubungi KPDNHEP jika tidak menerima maklum balas dalam masa tiga hari bekerja.

Menurut Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pengguna kementerian, Dr. Mohd. Mokhtar Tahar, sehingga 16 Disember 2008, pihaknya menerima 10,385 aduan berbanding 8,879 pada 2007 dan 6,350 pada 2006.

"Peningkatan jumlah aduan menunjukkan pengguna di negara ini sudah tahu menggunakan hak mereka untuk membuat aduan dan ke mana hendak menyalurkan aduan itu," katanya.

Beliau berkata, sekiranya aduan yang diterima adalah untuk tindakan agensi lain di bawah kementerian itu, pihaknya akan mengemukakan aduan itu kepada pihak yang berkenaan.

Katanya, susulan akan dibuat untuk melihat tindakan yang telah diambil ke atas aduan tersebut.

ADUAN terhadap pemaju perumahan yang gagal menyiapkan rumah mengikut jadual merupakan yang tertinggi dalam Laporan Tahunan 2007 NCCC. – Gambar hiasan

Impak kesedaran

Kesedaran kepenggunaan dalam kalangan rakyat negara ini sudah tentu akan memberi impak ke atas peniaga dan pengeluar barang tempatan.

Seperti kata Muhammad Sha'ani, golongan berkenaan akan terdorong untuk menjadi lebih bertanggungjawab dengan menambah baik amalan pemasaran dan perniagaan mereka.

"Mereka juga akan sedar tentang tanggungjawab serta had kebebasan dari segi pernyataan tawaran dalam iklan dan bahan promosi," jelasnya.

Dalam masa yang sama, kata beliau, peniaga juga sudah tentu akan meningkatkan kemampuan untuk menarik pelanggan dengan bukan sahaja menawarkan perkhidmatan yang mesra pelanggan tetapi juga barang yang bermutu.

Menurutnya, peniaga dan pengeluar barangan juga mungkin terpanggil untuk mewujudkan saluran pengendalian aduan pengguna mereka sendiri berhubung perkhidmatan pelanggan dan mekanisme menangani pembaikan dan tebus ganti.

Bagaimanapun, di sebalik pelbagai saluran aduan yang ada dan supaya 'nasi tidak menjadi bubur', sewajarnyalah masyarakat pengguna negara ini mengamalkan sikap bijak berbelanja.

Peniaga yang sudah tentu mahu mengaut keuntungan akan melakukan apa sahaja untuk melariskan jualan barang atau perkhidmatan mereka.

Justeru, pengguna perlu terus mengamalkan sikap bijak berbelanja dan 'beringat sebelum kena' dan 'berjimat sebelum habis'. - Bernama

Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi