Tuesday, February 24, 2009

 

Lupakan pelaris: Bersih, layanan baik kunci tarik ramai pelanggan


ARKIB : 24/02/2009
Lupakan pelaris: Bersih, layanan baik kunci tarik ramai pelanggan

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Lupakan pelaris. Kebersihan dan layanan baik serta cekap adalah faktor utama untuk menarik pelanggan.

Rahsia kejayaan itu dikongsi oleh Pengarah Urusan Restoran Hakim Sdn. Bhd., Hakimsa Abdul Karim yang menguruskan perniagaan Restoran Hakim sejak lebih 40 tahun lalu.

"Saya tak percaya pelaris. Kalau Tuhan tak izinkan hikmat pelaris itu, ia tetap takkan menjadi. Kalau begitu, yang paling penting minta tolong daripada Tuhan.

"Setiap pengusaha kedai makan perlu jujur terhadap pelanggan. Gunakan bahan yang halal dan segar dalam masakan," katanya.

Sepanjang pengalaman membuka puluhan cawangan Restoran Hakim, Hakimsa mengakui ada pengusaha kedai makan menggunakan bermacam jenis pelaris bagi menarik pelanggan.

"Ada pengusaha restoran jumpa bomoh di dalam atau luar negara bagi mencari barang pelaris. Itu bertentangan dengan ajaran Islam.

"Segelintir pengusaha yang buat perniagaan kedai bersebelahan sampai jatuh. Ada yang gantung ayat tertentu sebab percaya ada kuasa melariskan perniagaan mereka, ini pun salah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan khas Utusan Malaysia semalam mengenai penggunaan pelaris dalam perniagaan restoran untuk menarik pelanggan dan mendapatkan untung lumayan dengan cara cepat serta mudah.

Laporan berkenaan mendedahkan ada peniaga meminta pertolongan makhluk halus iaitu jin untuk menjatuhkan perniagaan orang lain.

Hakimsa menambah, faktor lain yang menjanjikan kejayaan perniagaan seseorang pengusaha ialah layanan baik kepada para pekerja dan menunaikan tuntutan Islam.

Jelasnya, pengusaha tidak jujur pasti menerima kesan daripada perbuatan mereka menggunakan pelaris, termasuk apabila pelanggan menipu mereka dengan tidak membayar makanan, akhirnya mereka rugi.

"Rezeki hasil jualan akan menjadi darah daging dan keturunan, jadi perniagaan yang halal penting bagi melahirkan generasi yang baik," katanya.

Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsa Alla Pitchay menegaskan, tiada jalan pintas untuk berjaya dalam perniagaan.

"Perniagaan dengan hati ikhlas pasti akan dibantu dan diberkati oleh Allah.

"Apa yang saya dengar dan lihat, pelaris digunakan semua kaum. Apa pun alasannya ia tetap salah, karut dan khurafat dalam mana-mana agama.

"Dengan layanan yang baik dan mesra di samping kedai yang bersih akan membuatkan pelanggan datang berulang kali ke kedai kita," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah pula berkata, pengusaha restoran yang menggunakan pelaris hanya mementingkan keuntungan.

Sehubungan itu, katanya, apa yang dijual di restoran itu pastinya lebih menjurus kepada mencari untung semata-mata termasuk dari segi perkhidmatan dan harga makanan.

"Pelanggan kena berhati-hati masuk ke kedai makan. Kalau tahu ada tanda-tanda mereka guna pelaris, jangan datang lagi," katanya.

Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi