Saturday, January 17, 2009
Turun tarif elektrik untuk pendapatan rendah saja
ARKIB : 17/01/2009
Turun tarif elektrik untuk pendapatan rendah saja
KUALA LUMPUR 16 Jan. - Kerajaan diminta tidak menurunkan kadar tarif elektrik secara menyeluruh sebaliknya dihadkan kepada golongan berpendapatan rendah sahaja.
Saranan itu dibuat oleh Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) bagi memastikan mereka yang berpendapatan rendah berpeluang merasai manfaat penurunan tarif elektrik sekali gus membantu meringankan beban.
Setiausaha Agung FOMCA, Muhammad Shaani Abdullah berkata, dalam keadaan ekonomi tidak menentu selain kenaikan harga barang, golongan yang paling banyak menerima tekanan adalah pengguna yang berpendapatan rendah berbanding golongan elit.
"Kalau penurunan tarif elektrik dibuat secara menyeluruh, golongan elit sudah pasti merasai lebih manfaatnya, jadi ini seolah-olah tidak adil,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, kementeriannya memerlukan tiga minggu untuk menyediakan tarif elektrik baru yang selari dengan harga gas baru yang dicadangkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri.
Menurut beliau, ia selaras dengan penurunan harga minyak selain keprihatinan terhadap cadangan pihak industri dalam usaha merangsang ekonomi negara.
Muhammad Shaani berkata, jika penurunan tarif elektrik dilakukan secara menyeluruh, ia turut menggalakkan pembaziran penggunaan elektrik di kalangan pengguna berkemampuan.
Naib Presiden Persatuan Penasihat Pengguna-Pengguna Malaysia (PPPPM), M. Subramanian turut berpendapat supaya golongan berpendapatan rendah perlu diutamakan.
Namun, pada masa yang sama, beliau harap kerajaan tidak mengenakan tarif elektrik pada kadar yang tinggi berbanding sedia ada.
"Apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang wajar dipuji tetapi kita harap kerajaan dapat mengkaji perkara ini dengan lebih mendalam supaya tidak menekan mana-mana pihak,'' katanya.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, jika kerajaan dapat membuat semakan ke arah pengurangan tarif elektrik, ia mampu memberi kesan kepada kos pengeluaran lain.
Menurutnya, sebagai contoh, sektor perniagaan makanan, pasar raya dan perkilangan merupakan antara sektor yang banyak menggunakan tenaga elektrik bagi tujuan pengoperasian.
"Kalau tarif elektrik diturunkan 15 peratus pun sudah memadai malahan mampu membantu menjimatkan kos pengeluaran sehingga lima peratus,'' ujarnya.