Wednesday, January 07, 2009
Perkenal nombor pin belian petrol guna kad kredit
ARKIB : 07/01/2009
Perkenal nombor pin belian petrol guna kad kredit
PETALING JAYA 6 Jan. - Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional meminta sektor perbankan memperkenalkan peraturan penggunaan nombor pin dalam urusan pembelian petrol menggunakan kad kredit ekoran berleluasanya kes penggunaan kad kredit curi di stesen-stesen minyak.
Ketua Eksekutifnya, Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, pada masa ini pengguna yang membeli petrol menggunakan kad kredit hanya perlu memasukkan kad pada pam minyak sebelum mengisi petrol.
''Langkah ini lebih mudah berbanding urusan pembelian di kaunter kerana pengguna perlu menurunkan tanda tangan atau kadang kala syarikat kad kredit akan menghubungi pengguna bagi mendapatkan pengesahan,'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Muhammad Sha'ani berkata, pusat khidmat aduan berkenaan menerima sebanyak 809 aduan sepanjang 2007.
''Tahun lalu, aduan yang diterima meningkat lebih 1,000 kes.
''Hampir kesemua aduan yang diterima adalah daripada pemilik kad kredit yang kehilangan kad kredit dan kad berkenaan digunakan untuk pelbagai pembelian terutamanya membeli petrol selain barangan kemas,'' katanya.
Menurut beliau, pihaknya dimaklumkan ada kad kredit yang dicuri digunakan untuk membeli petrol di stesen minyak yang sama sebanyak tiga kali dalam sehari.
''Ini menunjukkan sistem pembelian petrol menggunakan kad kredit di negara kita terlalu longgar dan mudah,'' katanya.
Tambah beliau, pihaknya akan menghantar kertas cadangan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung isu meningkatkan ciri keselamatan bagi penggunaan kad kredit untuk pembelian petrol dalam minggu ini.