Friday, January 23, 2009
Pastikan bekalan gula cukup
ARKIB : 23/01/2009
Pastikan bekalan gula cukup
Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 22 Jan. - Kerajaan perlu memastikan bekalan gula di negara ini mencukupi bagi meredakan kebimbangan rakyat terhadap kemungkinan pengedar dan peniaga menyorok bahan keperluan tersebut.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah berkata, masalah tersebut tidak akan berlaku sekiranya kerajaan mengekalkan harga gula pada kadar sedia ada iaitu RM1.45 sekilogram.
''Kita bimbang kalau harga gula naik maka harga barang keperluan lain juga akan turut naik, ini akan menambah lagi beban pengguna.
''Kenaikan harga barang sebelum ini pun masih ramai yang sukar terima. Sekarang timbul pula masalah gula. Tentulah rakyat tidak puas hati. Lebih teruk jika pengedar bertindak menyorokkan bahan tersebut,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abd. Samad memberitahu, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba menyorok bekalan gula dengan tujuan mengaut keuntungan berlebihan ekoran harga gula yang dijangka meningkat selepas Tahun Baru Cina.
Katanya, kementerian akan memantau keadaan di semua peringkat daripada peruncit, pemborong sehingga ke pengeluar bagi memastikan tidak berlaku kekurangan bekalan gula.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berpendapat, selain kerajaan, pengguna juga boleh memainkan peranan untuk menangani masalah tersebut dengan berhenti mengambil gula dalam pemakanan seharian.
Beliau berkata, langkah itu merupakan antara usaha yang boleh dilakukan bagi mengekang permintaan pasaran terhadap bekalan tersebut selain boleh menjamin kesihatan yang baik.
''Jika terpaksa beli sekali pun, elakkan daripada membuat 'pembelian panik' iaitu pada kadar yang banyak dalam satu masa kerana ia memberi mesej kepada pengedar dan pengusaha bahawa permintaan bekalan gula masih tinggi.
''Apabila keadaan ini berlaku, mereka tidak akan teragak-agak untuk menyorokkan bahan tersebut dan kemudian menjualnya dengan harga tinggi kepada pengguna demi mengaut keuntungan berlebihan,'' katanya.
Saranan itu turut disokong oleh Naib Presiden Persatuan Penasihat Pengguna-Pengguna Malaysia (PPPPM), M. Subramanian yang tidak menolak kegiatan menyorok bekalan bahan keperluan dilakukan oleh pengedar sehingga menyukarkan rakyat.
Menurutnya, mengikut kelaziman, pengedar merupakan pihak pertama yang mengetahui akan turun naik sesuatu bahan di pasaran sebelum pemborong, peruncit dan pengguna.
Katanya, bagi menangani kelicikan golongan tamak itu, kerajaan perlu memperhebatkan pemantauan dan bertindak terhadap mereka yang terbabit termasuk membatalkan lesen perniagaan sekiranya gagal mematuhi arahan.
Tambahnya, kempen kurangkan gula dalam makanan juga wajar diperluaskan dalam usaha mendidik masyarakat mengamalkan pemakanan yang sihat dan berkhasiat.