Tuesday, January 06, 2009

 

Mekanisme Banteras Penyelewengan Kad Kredit Diperlukan


06 Januari, 2009 16:20 PM

Mekanisme Banteras Penyelewengan Kad Kredit Diperlukan

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Bank Negara perlu menyediakan satu garis panduan yang boleh digunapakai bagi setiap bank untuk mengelakkan berlakunya penyelewengan kad kredit yang kini semakin meningkat, kata sebuah badan bukan kerajaan.

Ketua Eksekutif Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) Muhammad Sha'ani Abdullah berkata kes penyelewengan kad kredit, termasuk kehilangan kad kredit di stesen minyak, di negara ini telah meningkat daripada 809 kes pada 2007 kepada lebih 1,000 kes pada tahun lepas.

"Sebagai contoh kes penyelewengan di stesen minyak (boleh berlaku kerana) tiada ciri-ciri keselamatan ketika pengguna membayar menggunakan kad kredit. Mereka hanya perlu lerekkan (kad mereka di mesin-mesin pembayaran secara kad kredit) tanpa perlu memasukkan sebarang nombor pengenalan diri ataupun kata laluan.

"Orang lain dengan mudah boleh menggunakan kad kredit pengguna yang hilang tanpa sebarang pengesahan atau kata laluan semasa membuat transaksi (di stesen-stesen minyak)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya untuk itu pihak bank perlu memperkenalkan kata laluan untuk penggunaan kad kredit di stesen minyak serta untuk pembelian barangan secara dalam talian dan juga melalui telefon bagi mengelakkan ia tidak disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Muhammad Sha'ani berkata Bank Negara juga perlu menyekat pihak ketiga daripada terlibat dalam permohonan kad kredit baru untuk pengguna kerana ini mampu disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Ada satu kes di mana pengguna diminta mengisi borang kad kredit hanya untuk membeli sesuatu barang. Penjual menghantar borang itu ke bank serta mengenakan bayaran dan caj berlebihan kepada pengguna. Ini salah satu unsur jenayah," katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa juga perlu mengadakan siasatan terhadap kes penipuan dan penyelewengan kad kredit ini, termasuk menghentikan sebarang transaksi yang mengandungi unsur yang mencurigakan.

NCCC turut menerima aduan mengenai caj yang tidak sepatutnya dikenakan pihak bank seperti caj kehilangan buku bank, caj transaksi kad kredit, caj penutupan akaun bank dan sebagainya, katanya.

NCCC yang ditubuhkan pada 2004 oleh persatuan pengguna dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merupakan pusat aduan setempat bagi membantu para pengguna menyelesaikan sebarang masalah terutama dengan pihak peniaga.

-- BERNAMA


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi