Monday, January 12, 2009
Kempen boikot barangan AS perlu menyeluruh
ARKIB : 12/01/2009
Kempen boikot barangan AS perlu menyeluruh
KUALA LUMPUR 11 Jan. - Persatuan Penasihat Pengguna-Pengguna Malaysia mengingatkan kempen boikot barangan Amerika Syarikat (AS) hanya akan berjaya jika ia mendapat sokongan menyeluruh masyarakat pengguna.
Naib Presidennya, M. Subramaniam berkata, kempen itu setakat ini belum menampakkan kesan besar kerana penglibatannya masih terhad.
Menurutnya, kempen itu merupakan idea yang baik untuk memberi kesan langsung terhadap ekonomi AS tetapi ia tidak akan mencapai matlamatnya jika hanya segelintir masyarakat pengguna yang terlibat.
''Sekiranya kempen ini mendapat sokongan semua rakyat secara berterusan, kita akan melihat impaknya akan diterima AS dalam masa tidak lebih dua bulan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah pula berkata, kejayaan kempen bergantung sepenuhnya kepada komitmen pengguna.
''Komitmen itu akan muncul jika rakyat merasakan ketidakadilan yang berlaku di Palestin,'' katanya.
Menurutnya, kempen memboikot produk AS bertujuan mendesak pengeluar di sana supaya menekan kerajaan AS mengarahkan Israel menghentikan serangan ke atas Palestin.
Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin pula berharap selain pengguna, pasar raya juga bersama-sama memboikot produk AS.
Komitmen mereka katanya, penting untuk memaklumkan kepada pengguna tentang barangan yang perlu diboikot.
''Mereka perlu menjalankan kempen kepada pengguna untuk membeli barangan buatan Malaysia sebagai tanda sokongan,'' katanya.