Thursday, January 08, 2009

 

Kad kredit: Pengusaha stesen minyak enggan tanggung kos


ARKIB : 08/01/2009

Kad kredit: Pengusaha stesen minyak enggan tanggung kos

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM) menolak cadangan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) berhubung penggunaan nombor pin kad kredit sebagai alternatif pembelian petrol di semua stesen minyak kerana ia membabitkan kos yang tinggi.

Presiden PDAM, Datuk Alang Zari Ishak berkata, pengusaha stesen minyak di seluruh negara pastinya tidak mampu menanggung kos menambah baik ciri-ciri keselamatan berteknologi tinggi yang sudah tentu mencecah ratusan ribu ringgit sedangkan sistem sedia ada dilihat telah memenuhi keperluan tersebut.

''Langkah untuk menaik taraf keseluruhan ciri-ciri seperti pemasangan nombor pin pada kad kredit atau mewujudkan satu perisian baru memerlukan kos tinggi, kita tidak pasti jumlah sebenar tetapi tidak menolak kemungkinan kos yang terlibat mencecah ratusan ribu ringgit malah mungkin berjuta.

''Sebenarnya, kad bercip atau Europe Master Visa (EMV) yang diguna pakai sejak tahun 2005 pada masa ini sudah cukup tinggi dan menepati ciri-ciri keselamatan pengguna berbanding kad berciri magnetik terdahulu, justeru PDAM yakin sebarang penambahbaikan untuk tujuan itu tidak perlu dilaksanakan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas berhubung cadangan NCCC yang meminta sektor perbankan memperkenalkan peraturan penggunaan nombor pin dalam urusan pembelian petrol menggunakan kad kredit.

Langkah itu bertujuan membendung gejala penggunaan kad kredit curi di stesen-stesen minyak yang berleluasa ketika ini.

NCCC turut mendakwa telah menerima sebanyak 809 aduan sepanjang 2007 dengan hampir kesemua aduan yang diterima adalah daripada pemilik kad kredit yang kehilangan kad tersebut yang didapati digunakan untuk pelbagai pembelian termasuk petrol selain barangan kemas.

Selain itu, menurut Alang Zari, pihaknya turut menyarankan semua pengguna supaya lebih berwaspada semasa menggunakan kad kredit selain meminta semua pihak berhenti menuding jari terhadap kelemahan sistem keselamatan yang ada di setiap stesen minyak di negara ini.

Katanya, pengguna merupakan orang yang bertanggungjawab untuk menjaga setiap harta benda yang dimiliki dan sebarang kecuaian akan menyebabkan mereka mengalami kerugian.

''Pengguna perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing, kadang-kadang kejadian seperti kecurian, rompakan dan sebagainya berlaku disebabkan kecuaian mereka sendiri, justeru jangan letakkan kesalahan kepada orang lain,'' katanya.


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi