Saturday, January 17, 2009

 

Bank tidak boleh henti urus niaga secara sebarangan


ARKIB : 17/01/2009
Bank tidak boleh henti urus niaga secara sebarangan

KUALA LUMPUR 16 Jan. - Bank-bank di negara ini tidak boleh menyekat akaun syarikat jualan langsung yang mencurigakan dan menjalankan perniagaan 'gores dan menang' secara sembarangan walaupun yang telah diharamkan oleh kerajaan.

Pengarah Eksekutif Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Chuah Mei Lin berkata, pihaknya hanya boleh berbuat demikian jika mendapat arahan daripada Bank Negara atau pihak polis selepas siasatan dibuat.

''Kami tidak boleh mengambil tindakan unilateral untuk menghentikan urus niaga syarikat yang mencurigakan tanpa merujuk kepada bukti siasatan daripada pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau diminta mengulas gesaan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) agar bank-bank menghentikan urus niaga syarikat jualan langsung yang mencurigakan dan menjalankan perniagaan 'gores dan menang' yang telah diharamkan oleh kerajaan.

Menurut Ketua Eksekutif NCCC, Muhammad Shaani Abdullah, secara purata pusat itu menerima tidak kurang lima aduan sehari daripada pengguna mengenai kegiatan penipuan syarikat terbabit.

Beliau berkata, pihak bank seolah-olah 'menghalalkan' skim 'gores dan menang' kerana membenarkan proses transaksi syarikat tersebut yang ternyata salah di sisi undang-undang.

Mangsa

Sha'ani juga meminta pihak bank supaya membatalkan penggunaan kad kredit di kalangan peniaga yang menyalahgunakan perkhidmatan itu.

Mei Lin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya dan membuat laporan kepada Bank Negara serta pihak polis jika menerima aduan daripada orang ramai yang menjadi mangsa penipuan syarikat jualan langsung.

Menurut beliau, inisiatif untuk meningkatkan kesedaran orang ramai agar berwaspada terhadap skim 'gores dan menang' adalah lebih penting daripada meminta pihak bank menghentikan urus niaga sesebuah syarikat.

''Kami juga menasihati orang ramai agar berfikir semasak-masaknya sebelum terlibat dalam skim tersebut kerana ia mungkin akan merugikan masa depan mereka," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), J. Solomon turut mengakui bank-bank tidak boleh menghentikan urus niaga syarikat jualan langsung yang mencurigakan tanpa arahan daripada Bank Negara dan pihak polis.

Beliau berkata, orang ramai tidak harus tamak sebaliknya perlu bekerja keras untuk mendapatkan pendapatan melalui usaha sendiri.

''Kita perlu berwaspada dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan atas kesusahan orang ramai yang kini sedang berhadapan dengan kelembapan ekonomi negara," katanya.

Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi