Wednesday, December 17, 2008

 

Selenggara laluan motosikal elak nyawa melayang


17/12/2008

Selenggara laluan motosikal elak nyawa melayang

PENGGUBALAN peraturan baru oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) yang mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar penumpang kerusi belakang kereta sememangnya ada asasnya untuk melindungi penumpang semasa kemalangan.

Akan tetapi kenapakah pihak JKJR tidak agresif menggalak dan melaksanakan langkah-langkah yang dapat mengelakkan kejadian malang sekali gus mengurangkan kecederaan dan maut di kalangan penunggang motosikal?

Cara itu juga akan mengelakkan beban kos serta kesulitan golongan masyarakat yang tidak berkemampuan.

Kenyataan pihak JKJR bahawa peraturan itu tidak akan dikuatkuasakan ke atas penumpang keempat kerusi belakang juga menunjukkan ia masih tidak sesuai dilaksanakan sepenuhnya atas pertimbangan sosioekonomi.

Perangkaan menunjukkan lebih 70 peratus mangsa kemalangan jalan raya adalah penunggang dan pembonceng motosikal.

Kementerian Kerja Raya mengakui fakta itu dan telah mengesyorkan laluan-laluan motosikal di jalan-jalan utama yang menjadi tumpuan penunggang motosikal diperbaiki sebagai langkah mengurangkan kecederaan parah dan maut.

Lebuh raya Persekutuan dilarang sama sekali digunakan oleh penunggang motosikal kerana terdapat laluan motosikal.

Bagaimanapun akhir-akhir ini banyak pihak menceroboh melakukan kerja-kerja pembangunan dan penyelenggaraan yang memaksa penunggang motosikal menggunakan laluan lebuh raya.

Dalam keadaan ini, ramai penunggang motosikal memasuki laluan lebuh raya sehingga mengganggu kelancaran lalu lintas serta mendedahkan mereka kepada risiko kemalangan.

Pengamatan mendapati rata-rata pihak berkuasa bertanggungjawab dengan kerja-kerja pembangunan ataupun penyelenggaraan yang melibatkan laluan motosikal

Walaupun banyak kempen dan saranan menggalakkan budaya keselamatan tetapi amalan dan perlaksanaan kerja pihak berkuasa tidak mempamerkan pematuhan asas keselamatan kepada pengguna umum.

Piawaian keselamatan sejagat dapat dicapai melalui kerjasama dan penyelarasan bersungguh- sungguh antara agensi yang menerapkan keperluan piawaian keselamatan semasa menawarkan kontrak-kontrak melibatkan laluan-laluan dan kemudahan awam.

Di samping itu, laluan terowong motosikal mestilah sentiasa diselenggarakan dengan baik supaya tidak dilanda banjir semasa hujan.

Penambahbaikan dan pengurusan berterusan laluan-laluan motosikal dapat menyelamatkan lebih ramai orang awam daripada kemalangan

MUHAMMAD SHA'ANI ABDULLAH
Setiausaha Agung FOMCA


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi