Thursday, November 20, 2008
Kerajaan telus dedah perjanjian konsesi
Utusan Malaysia
20 November 2008 (Khamis)Kerajaan telus dedah perjanjian konsesi
KUALA LUMPUR 19 Nov. - Keputusan kerajaan untuk mendedahkan perjanjian konsesi lebuh raya membuktikan kerajaan telus dalam pelaksanaan setiap projek melibatkan wang rakyat yang begitu banyak.
Exco Pengguna Majlis Belia Malaysia (MBM), Irmohizam Ibrahim berkata, langkah kerajaan itu juga mampu meningkatkan lagi keyakinan generasi muda pengguna terhadap kerajaan.
''Segala tohmahan dan perasaan ragu-ragu pengguna dapat dihapuskan kerana mereka kini mendapat maklumat terperinci kos sebenar pembinaan setiap lebuh raya,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, 22 syarikat konsesi lebuh raya kecuali Maju Expressway yang mengendalikan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya bersetuju mendedahkan perjanjian konsesi kepada umum.
Naib Presiden Persatuan Penasihat Pengguna (PPPPM), M. Subramaniam berkata, satu jawatankuasa perlu dibentuk bagi mengumpul dan menganalisis setiap komen pengguna mengenai perjanjian tersebut selepas ia didedahkan.
''Setiap pandangan pengguna perlu dikaji oleh satu jawatankuasa khas atau dibawa ke peringkat Parlimen untuk dibincangkan,'' katanya.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhd. Sha'ani Abdullah pula berkata, pihaknya sudah lama mendesak kerajaan mendedahkan konsesi itu kerana sering berlaku kenaikan harga tol sebelum ini.
''Saya juga mahu kerajaan mengkaji secara terperinci perjanjian sedia ada agar bebanan pengguna dapat dikurangkan.
''Langkah ini diharap bukan yang terakhir kerana perjanjian projek mega lain juga perlu diketahui oleh rakyat,'' katanya.