Friday, October 03, 2008

 

SKMM digesa bertindak


SKMM digesa bertindak

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau laman sembang di televisyen bagi mengelak ia disalahgunakan.

Mereka berpendapat, laman sembang sedemikian tidak sepatutnya dibiarkan bebas kerana mesej-mesej yang dihantar penggunanya disiarkan di televisyen yang boleh ditonton pelbagai peringkat umur.

Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan (MBNS), Khaidir Jamal berkata, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pengendali perkhidmatan sekiranya mereka didapati cuai menapis mesej yang kurang sihat.

Katanya, ia penting bagi mengelak golongan remaja daripada terlibat dengan gejala negatif.

"Perkara ini jika dibiarkan berlarutan boleh membentuk generasi muda yang berfikiran terlalu bebas.

"Mereka adalah golongan yang mudah terpengaruh dan penyedia perkhidmatan perlu memikirkan kesan perbuatan mereka," katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai laman sembang kendalian stesen televisyen yang semakin tidak terkawal apabila ia disalahgunakan pihak tertentu untuk mencari pasangan seks.

Mengulas lanjut, Khaidir mengingatkan ibu bapa supaya memantau anak-anak mereka khususnya sewaktu laman sembang bersiaran bagi mengelakkan mereka turut terjebak.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhamad Sha'ani Abdullah membidas penyedia perkhidmatan itu kerana tidak memantau mesej-mesej yang dihantar pengguna laman sembang.

Beliau turut mempertikaikan sama ada individu yang dipertanggungjawabkan untuk membuat pemantauan itu mempunyai pemikiran yang terlalu terbuka.

"Atau adakah mereka sengaja membiarkan mesej sedemikian berleluasa kerana mahu mendapatkan keuntungan.

"Kami kesal kerana sepatutnya penyedia perkhidmatan memperkenalkan program interaktif yang lebih berkualiti di televisyen. Laman sembang ini adalah produk picisan dalam ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)," katanya.


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi