Wednesday, October 15, 2008
Dedahkan penganjur skim cepat kaya
Dedahkan penganjur skim cepat kaya
KUALA LUMPUR 14 Okt. - Kerajaan disaran mempamerkan identiti pesalah yang menganjurkan skim cepat kaya kepada khalayak selain menyenaraihitamkan nama mereka supaya menjadi pengajaran kepada orang ramai.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam, Datuk Dr. Maamor Osman berkata, langkah tersebut sebagai ingatan kepada penganjur lain yang masih bergiat aktif menjalankan kegiatan itu di negara ini untuk dikenakan tindakan yang sama.
Menurutnya, tindakan mendedahkan identiti mereka juga perlu dilakukan segera bagi membendung kegiatan yang sama berlaku pada masa depan.
''Pengguna perlu tahu apa jenis tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa untuk perkara ini.
''Oleh itu, kita mencadangkan agar tindakan undang-undang dikaji semula bagi memperketatkan lagi dan kalau boleh, mereka dikenakan penjara mandatori," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) semalam yang menyerbu empat buah syarikat skim cepat kaya melalui Internet yang mempunyai rangkaian beratus-ratus ribu pelabur dengan nilai pelaburan dipercayai mencecah ratusan juta ringgit.
Serbuan tersebut dilakukan di beberapa lokasi di Lembah Klang setelah syarikat-syarikat terbabit disyaki menjalankan kegiatan mengambil deposit tanpa lesen dan membuat pelaburan haram di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.
Maamor memberitahu, kerajaan juga dicadangkan memantapkan semula pasukan penguat kuasa bagi memantau perkara terbabit tanpa henti agar tindakan segera dapat diambil sekiranya mendapat laporan daripada orang ramai.
''Menerusi cara ini, pengguna mengetahui apa yang berlaku di sekeliling dan sentiasa berjaga-jaga dengan perkara ini," ujarnya.
Beliau turut mengingatkan kepada pengguna agar jangan mudah percaya dengan dakwaan pihak-pihak tertentu mendapatkan wang dengan cara yang mudah.
''Mereka perlu sentiasa merujuk dengan BNM dan Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Dalam Negeri (KPDNHEP) bagi mendapatkan pengesahan tepat terhadap syarikat-syarikat yang mereka berminat untuk melabur,'' katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhd. Sha'ani Abdullah berkata, sikap orang ramai mengambil mudah terhadap risiko pelaburan Internet menyebabkan masih ada mereka yang terpedaya.
''Walaupun media telah memainkan isu ini berulang kali, namun masyarakat awam tidak ramai ambil peduli kerana menganggap ia bukan satu kepentingan lantas menjadikan mereka mudah ditipu pada masa akan datang,'' katanya.
Tambahnya, walaupun dengan penguatkuasaan yang ketat, namun tanpa kesedaran mendalam di kalangan pengguna, isu pelaburan skim cepat kaya masih sukar untuk diselesaikan di peringkat akar umbi.
''Bukan senang nak jadi senang, saya nasihatkan orang ramai yang ingin mencari pendapatan lebih supaya lebih kreatif dengan membuat kerja sampingan atau berniaga.
''Sebagai contoh, berniaga di saluran yang betul seperti di pasar-pasar malam atau membuat jualan langsung yang dibenarkan oleh kerajaan,'' katanya.
Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohd. Yusof Abdul Rahman pula berpendapat, kebanyakan pengguna sebenarnya tertarik menyertai skim cepat kaya kerana faktor emosi.
Menurutnya, ejen skim cepat kaya syarikat terbabit akan menunjuk-nunjuk kejayaan mereka yang telah menyertai perniagaan itu terlebih dahulu sehingga ramai antara pengguna baru tidak berfikir panjang menyertainya.
''Mereka juga diuar-uarkan dengan modal yang kecil dan akan mendapat untung berlipat kali ganda, jadi ramai pengguna berminat untuk mencuba,'' katanya.
Beliau turut menarik perhatian dengan cadangan penguatkuasaan lebih menyeluruh kepada sesiapa yang menyertai mana-mana skim cepat kaya.
''Selalunya, ramai ejen itu tahu skim yang mereka perkenalkan tidak mempunyai lesen sah daripada kerajaan, namun tetap teruskan kerana tidak perlu berdepan risiko akan didenda atau dipenjara,'' jelasnya.
Oleh itu, beliau berharap kerajaan dapat meminda akta sedia ada dengan tindakan undang-undang turut dikenakan kepada ejen yang terlibat dan bukannya kepada pemilik skim terbabit sahaja.