Thursday, September 04, 2008

 

Pengusaha bas perlu penuhi tanggungjawab sosial - NGO


Pengusaha bas perlu penuhi tanggungjawab sosial

September 4, 2008

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Persatuan- persatuan pengguna mahu semua pengusaha bas di negara ini mementingkan tanggungjawab sosial berbanding menuntut kenaikan surcaj 100 peratus bagi mengaut keuntungan sehingga membebankan pengguna.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, pengusaha bas terutama bas ekspres wajar menyedari tanggungjawab sosial korporat masing-masing lebih- lebih lagi menjelang musim perayaan.

''Sepatutnya, pada musim perayaan inilah mereka perlu merebut peluang untuk menunaikan tanggungjawab sosial korporat masing-masing dengan memberi sedikit kelegaan kepada pengguna, sebagai contoh, memberi potongan harga kepada penumpang.

''Sebaliknya, mereka menuntut pula kenaikan surcaj sehingga 100 peratus yang sudah tentu memberi tekanan kepada pengguna terutama golongan yang berpendapatan rendah,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia, Datuk Mohamed Ashfar Ali yang menuntut kenaikan kadar surcaj sehingga 100 peratus berbanding 30 peratus sebelum ini.

Mohamed Ashfar berkata, surcaj sebanyak 30 peratus itu masih tidak mencukupi untuk memberikan pihak pengusaha bas ekspres jaminan pulangan modal yang mencukupi bagi tujuan penyewaan bas tambahan.

Menurut Dr. Maamor, isu bas tambahan tidak mencukupi dan kenaikan tambang bas yang sering berulang setiap kali menjelang musim perayaan itu tidak akan berhenti sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah segera untuk menanganinya.

''Isu sebegini akan muncul setiap kali menjelang musim perayaan, benda yang sama, kerajaan harus meneliti isu ini dengan lebih mendalam kerana kita tidak mahu sebarang keputusan yang dibuat kelak menyebabkan pengguna seolah-olah menjadi mangsa gara-gara tidak mempunyai pilihan.

''Kajian yang dibuat itu nanti diharapkan akan membawa keadilan untuk kedua-dua pihak kerana pada masa yang sama, kita memahami situasi pihak pengusaha yang menghadapi tekanan untuk menanggung pelbagai kos yang berkaitan,'' katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhamad Sha'ani Abdullah berpendapat, tuntutan tersebut tidak wajar diusulkan memandangkan kenaikan surcaj sebanyak 30 peratus baru sahaja diumumkan kerajaan baru-baru ini.

''Perkara ini (tuntutan surcaj 100 peratus) tidak wajar diusulkan, sekiranya ia dilaksanakan, sudah tentu akan mengejutkan para pengguna, dalam situasi kenaikan sebanyak 30 peratus pun pengguna sudah tidak senang duduk, apatah lagi jika ia dinaikkan sehingga 100 peratus.

''Saya percaya ia akan memberi lebih bebanan kepada penumpang berbanding pihak pengusaha bas,'' ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan supaya lebih proaktif dalam menangani isu ini dengan merangka satu sistem pembiayaan pengangkutan awam yang lebih mesra pengguna.

Katanya, menerusi sistem tersebut, kerajaan berfungsi untuk menyalurkan bantuan kewangan bagi membiayai kos-kos tertentu seperti perkhidmatan bas tambahan kepada pengusaha bas sebagai langkah mengelak penumpang daripada menjadi mangsa keadaan.


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi