Tuesday, September 02, 2008

 

Beli produk tempatan atasi inflasi


Beli produk tempatan atasi inflasi

September 2, 2008

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Orang ramai disaran beralih kepada produk tempatan yang harganya jauh lebih rendah sebagai langkah mengatasi masalah inflasi yang dijangka berlanjutan.

Penyelaras Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nor Nirwandy Mat Noor berkata, langkah itu juga dapat membantu usaha memecah monopoli pasaran secara beransur-ansur yang kini dikuasai oleh syarikat multinasional.

''Jika kita berjaya berbuat demikian, sedikit sebanyak pengguna dapat membantu kerajaan mengatasi masalah kenaikan inflasi dan sekali gus mengukuhkan ekonomi dalam negara,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan kadar inflasi akan terus tinggi pada separuh kedua tahun ini dan berlanjutan hingga ke awal tahun depan.

Laporan perkembangan ekonomi dan kewangan di Malaysia pada suku kedua yang dikeluarkan oleh bank pusat itu menyebut, kadar kenaikan tersebut mungkin akan menjadi sederhana menjelang pertengahan tahun depan.

Menurut Nor Nirwandy, kerajaan harus membantu bagi menyokong usaha tersebut yang diyakini akan dapat menghentikan kuasa monopoli pihak tertentu terhadap kawalan harga barang.

Selain itu, jelasnya, pengguna juga perlu bijak mengukur kekuatan struktur isi rumah agar mereka dapat mengawal kedudukan ekonomi keluarga dan sekali gus bersikap realistik bagi menyusun atur perbelanjaan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca), Mohamed Shaani Abdullah ketika dihubungi pula berkata, biasanya inflasi berlaku apabila orang ramai berbelanja secara tidak terkawal sehingga mendorong kepada kenaikan harga barang.

Bagaimanapun, katanya, masalah yang berlaku di negara ini pula berbeza apabila kadar inflasi tetap meningkat walaupun rakyat tidak mempunyai kemampuan untuk membeli-belah.

''Bagi saya senario ini sesuatu yang agak pelik kerana orang kita sekarang tidak ada duit tetapi harga barang tetap melambung naik.

''Dalam hal ini, kerajaan perlu memainkan peranan yang penting untuk menurunkan paras inflasi agar beban sara hidup rakyat dapat dikurangkan,'' katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia, Mohd. Firdaus Abdullah menasihatkan pengguna agar mengamalkan langkah berjimat cermat sewaktu berbelanja.

''Orang ramai perlu bijak mengukur baju di badan sendiri, begitu juga dalam soal merancang perbelanjaan bagi mengelakkan masalah pembaziran berlaku,'' ujarnya.

Menurutnya, pihak berkuasa juga perlu membuat pemantauan harga barang secara berterusan agar tidak ada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati terutama apabila musim perayaan semakin hampir.


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi