Tuesday, September 09, 2008
Bantah larangan peraduan minyak
Bantah larangan peraduan minyak
September 9, 2008
Oleh saiful haizan hasam
KUALA LUMPUR 8 Sept. - Tindakan kerajaan melarang pemberian minyak petrol sebagai hadiah peraduan disifatkan persatuan pengguna sebagai 'meragut' peluang rakyat untuk meringankan beban yang dihadapi mereka.
Mereka berpendapat, hadiah dalam bentuk minyak amat bermanfaat untuk rakyat yang semakin terhimpit dengan kenaikan harga minyak di pasaran global.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ma'amor Osman berkata, subsidi kerajaan sebanyak 30 sen bagi setiap liter petrol tidak wajar dijadikan hujah untuk menghalang pemberian hadiah dalam bentuk itu.
Beliau berkata, subsidi petrol yang dijadikan hadiah itu juga tidak tersasar daripada matlamat asal kerana ia juga dimanfaatkan oleh rakyat.
"Saya tidak nampak rasional larangan itu dan saya berharap menteri yang bertanggungjawab dapat memberikan penjelasan lanjut kepada rakyat.
"Apakah pemberian hadiah itu menyalahi akta barang kawalan? Jika begitu, bagaimana pula dengan hadiah pertandingan lain dalam bentuk keperluan asas seperti tepung dan minyak yang juga merupakan barangan yang disubsidi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas arahan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad supaya pemberian hadiah dalam bentuk minyak petrol dihentikan dengan alasan menyalahgunakan subsidi yang disalur kerajaan.
Antara syarikat yang menganjurkan peraduan yang menawarkan hadiah minyak ialah Petronas Dagangan Berhad (PDB) yang menyediakan pengisian petrol percuma selama tiga tahun bernilai RM28,800 kepada pemenang bulanan.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, pemberian hadiah dalam bentuk minyak adalah sesuatu yang amat dinantikan dan dihargai para pengguna.
Katanya, kajian yang dilakukan CASSA baru-baru ini mendapati kebanyakan pengguna memperuntukkan sebahagian besar daripada perbelanjaan mereka untuk pembelian minyak.
"Ini adalah bersesuaian dengan kehendak pengguna, mereka tidak mahu fikir mengenai subsidi kerajaan... itu perkara yang teknikal bagi mereka," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhamad Sha'ani Abdullah berkata, pihaknya setuju dengan larangan tersebut kerana ia adalah satu manipulasi syarikat korporat untuk meningkatkan jualan mereka.
Katanya, yang menjadi mangsa ialah para penguna kerana hanya segelintir daripada ratusan ribu peserta peraduan sedemikian berpeluang menjadi pemenang.
"Adalah lebih baik Petronas memberi diskaun kepada semua pelanggan, saya cadangkan 1 sen untuk satu liter minyak.
"Jika ia diberi melalui hadiah peraduan, ia hanyalah untuk orang tertentu," katanya.