Friday, August 29, 2008
Surcaj 30 peratus mengecewakan
Surcaj 30 peratus mengecewakan
Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY dan SUWARNI MOKHTAR
KUALA LUMPUR 28 Ogos – Cadangan kerajaan untuk mengenakan surcaj 30 peratus ke atas tambang bas ekspres dan bas henti-henti pada musim perayaan ini akan membebankan rakyat.
Beberapa persatuan pengguna berpendapat cadangan tersebut tidak wajar kerana perkhidmatan itu kebanyakannya digunakan oleh rakyat berpendapatan rendah.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhamad Sha'ani Abdullah turut mempersoalkan tindakan kerajaan mengenakan surcaj dalam tempoh tersebut.
“Apakah justifikasi dikenakan surcaj untuk tempoh singkat itu? Kenapa kerajaan tidak beri saja subsidi diesel 100 peratus kepada semua operator bas?’’ soal beliau.
Beliau turut mempersoalkan mengapa bas awam tidak dikecualikan daripada membayar tol dan sewa terminal bagi menangani kos peningkatan operasi tersebut.
Muhamad Sha'ani mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar yang mengumumkan surcaj 30 peratus ke atas harga tiket bas ekspres dan bas berhenti-henti bermula 15 September hingga 15 Oktober ini.
Kata Noh, tindakan itu diambil sebagai langkah mengurangkan beban kos operasi yang ditanggung oleh pengusaha.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman pula menyifatkan keputusan yang dibuat oleh kerajaan itu sememangnya amat memeranjatkan.
“Ini amat tidak diduga terutama bagi yang berpendapatan rendah dan sederhana, kerana golongan ini banyak menggunakan perkhidmatan bas untuk pulang ke kampung.
“Musim perayaan adalah masa untuk orang merapatkan hubungan kekeluargaan tapi kalau tiket bas sudah naik, apa pilihan yang mereka ada,” katanya.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr. Jacob George pula berkata, kerajaan sepatutnya mencari penyelesaian ‘menang-menang’ buat pengusaha bas dan juga rakyat, bukannya membantu satu pihak dengan memindahkan bebanan kepada orang lain.
Tambahnya, pada masa ini, kerajaan perlu menunjukkan keprihatinan dan tidak membebankan rakyat dengan sebarang kenaikan harga barangan atau perkhidmatan kerana ia boleh membangkitkan rasa marah.
Lebih-lebih lagi, katanya, pada musim perayaan semua barang keperluan akan meningkat dan surcaj itu hanya bakal menambah kesusahan ramai orang.
Naib Presiden Persatuan Penasihat Pengguna-Pengguna Malaysia (PPPPM), M. Subramanian berkata, tiada jaminan surcaj yang dikenakan pada musim perayaan ini akan diturunkan pada masa depan.
Tegasnya, adalah sesuatu yang tidak munasabah mengenakan surcaj ke atas tiket bas ekspres dan bas henti-henti sedangkan harga minyak sudah turun.
Menurutnya, musim perayaan adalah ‘lubuk emas’ buat pengusaha bas kerana pada masa itu semua orang akan berpusu-pusu membeli tiket bas dan mereka tidak akan rugi.