Wednesday, August 27, 2008
Peniaga 'liat' turunkan harga barangan
27 Ogos 2008
Peniaga 'liat' turunkan harga barangan
SELEPAS harga minyak mengalami penurunan antara lapan sen sehingga 22 sen mulai Sabtu lalu, ramai yang menaruh harapan agar harga bahan bakar itu akan turun lagi dalam tempoh terdekat.
Rakyat yang telah mengharungi situasi sukar akibat kenaikan harga minyak, lebih-lebih lagi selepas kenaikan hampir 40 peratus petrol dan diesel iaitu masing-masing sebanyak 78 sen dan RM1 seliter pada 4 Jun lalu mengharapkan agar tempoh keperitan itu segera berakhir.
Peningkatan harga minyak bukan sahaja membebankan rakyat yang kebanyakannya lebih selesa menggunakan kenderaan sendiri berbanding pengangkutan awam tetapi menyebabkan harga barangan terutama makanan dan keperluan lain naik mendadak.
Malah tambang bas awam dan ekspres juga dijangka mengalami peningkatan selepas kerajaan menyemak harga tersebut dan akan mengumumkannya sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.
Bagaimanapun mulai Sabtu lalu, rakyat dapat menarik sedikit nafas kelegaan apabila kerajaan menurunkan harga runcit petrol RON97 sebanyak 15 sen iaitu daripada RM2.70 seliter kepada RM2.55 seliter, manakala RON92 dikurangkan 22 sen iaitu daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40 seliter. Harga diesel pula turun lapan sen daripada RM2.58 seliter kepada RM2.50 seliter.
Langkah penurunan itu dibuat kerajaan bagi mengurangkan beban yang ditanggung rakyat selepas kadar inflasi meningkat kepada 8.5 peratus pada bulan lepas berbanding 7.7 peratus pada Jun lalu.
Sebarang penurunan harga runcit bahan api tersebut akan memberikan kesan kepada kadar inflasi terutama sektor pengangkutan yang menyumbangkan kepada 45 peratus Indeks Harga Pengguna (IHP).
Penurunan harga minyak, biarpun sedikit memberi makna yang cukup besar kepada pengguna dalam meringankan beban untuk menampung kos sara hidup.
Bagaimanapun, langkah kerajaan menurunkan harga minyak tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat sekiranya ia tidak diikuti dengan penurunan harga barangan terutamanya makanan.
Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut meminta peniaga-peniaga menurunkan harga barang selaras dengan penurunan harga minyak.
Pun begitu, peniaga-peniaga nampaknya agak 'liat' untuk menurunkan harga barang dengan memberikan alasan ia tidak boleh dilakukan secara serta-merta dan penurunan harga minyak adalah se- dikit.
Reaksi ini dilihat adalah sebaliknya apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak. Sudah menjadi biasa apabila harga minyak naik walaupun satu sen, golongan itu tidak kira yang terlibat dalam perniagaan barangan makanan, keperluan atau perkhidmatan akan menaikkan harga berganda-ganda.
Kenaikan harga barangan tersebut pula dilakukan secara mendadak dan ada juga mengambil kesempatan menaikkan harga dengan serta-merta.
Menurutnya, golongan peniaga juga boleh menggunakan pendekatan lain seperti menghapuskan caj perkhidmatan atau meningkatkan taraf perkhidmatan dengan lebih baik sekiranya tidak dapat menurunkan harga barang atas sebab- sebab tertentu.
Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhamad Sha'ani Abdullah pula berkata, penurunan harga minyak walaupun sedikit tetapi ia melegakan pengguna.
"Bagaimanapun, ia tidak akan membawa sebarang manfaat sekiranya para peniaga masih enggan menurunkan harga barang, terutamanya makanan," katanya.
Sehubungan itu, peniaga yang turut mengalami keperitan akibat kenaikan harga minyak, seharusnya bertimbang rasa membantu menghadapi situasi sukar itu.
Tindakan yang mementingkan keuntungan sendiri, menyebabkan rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana terpaksa terus terbeban dengan kenaikan harga minyak.
Dalam pada itu, ramai juga mengharapkan agar pembentangan Bajet 2009 pada Jumaat ini akan lebih memberi tumpuan kepada isu kepenggunaan.
Ini kerana isu tersebut merupakan antara perkara yang perlu diberi penekanan oleh kerajaan dalam usaha meringankan beban rakyat.
Antara langkah yang wajar dilakukan ialah mengkaji semula harga barangan keperluan yang dinaikkan seperti ayam dan beras supaya dapat diturunkan kepada paras normal seperti sebelum ini.
Selain itu, kerajaan juga disarankan menyenaraikan lebih banyak barang di bawah senarai barang keperluan yang dikawal harganya.