Thursday, August 28, 2008

 

Mekanisme kurangkan beban rakyat


Mekanisme kurangkan beban rakyat

Ogos 28, 2008

PANEL program Sembang Bajet 2009, dari kiri, Muhammad Shaani Abdullah, Nazarry Rosli, Zaini Hassan selaku moderator dan Abd. Rahim Md. Nor membincangkan mengenai harapan rakyat ke atas belanjawan yang akan dibentangkan Perdana Menteri Jumaat ini.

BUAT pertama kalinya dalam sejarah Utusan Online yang sehingga kini mempunyai pengunjung lebih sejuta orang sehari, laman Utusan Malaysia dalam talian itu memperkenalkan laman baru dikenali Utusan Online TV. Ia dibawa secara langsung melalui video streaming dan boleh dilayari melalui www.utusan. com.my.

Sempena dengan laman baru itu, kami memperkenalkan satu slot dikenali sebagai Sembang, rancangan berbentuk diskusi mengenai isu-isu semasa.

Umum mengetahui pada hari Jumaat ini, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan membentangkan Bajet 2009 di Dewan Rakyat.

Sempena dengan itu, Sembang Bajet 2009 Utusan Malaysia telah menjemput tiga ahli panel yang berkongsi pandangan mengenai isu itu.

Mereka ialah Prof. Dr. Abd. Rahim Md. Nor, Ketua Program Siswazah Pengurusan Persekitaran yang juga pakar dalam bidang pengangkutan awam dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia; Nazzary Rosly, Pengarah Eksekutif Jupiter Securities Sdn. Bhd. dan Mohamed Shaani Abdullah, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca).

Pengarang Utusan Malaysia, Zaini Hassan bertindak sebagai moderator.

Berikut adalah sedutan perbincangan tersebut. Rakaman penuh Sembang boleh diikuti di Utusan Online TV hari ini.

Zaini: Bagi memulakan Sembang kali ini saya ingin bertanyakan soalan kepada Prof. Dr. Abd. Rahim. Bajet 2009 kali ini dilihat membawa cabaran yang besar kepada kerajaan kerana pembentangan ini dibuat semasa keadaan ekonomi di dalam dan di luar negara tidak begitu baik. Begitu juga dengan situasi politik negara. Pada pendapat Prof., apakah bentuk bajet yang boleh rakyat jangkakan pada kali ini?

PROF. ABD. RAHIM: Saya fikir kerajaan akan memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah dan juga golongan rakyat yang terkesan akibat perkembangan ekonomi yang merosot dalam masa dua tiga bulan lepas. Ia terdiri dua perkara. Ia ada kaitan dengan kos hidup meningkat ekoran peningkatan harga petroleum yang dirasakan oleh seluruh rakyat di negara ini.

Yang kedua, beberapa bulan lepas kita telah merasakan sedikit kurang stabil dari segi po- litik negara kerana banyak kerusi daripada pihak pemerintah telah berpindah ke tangan bukan pihak pemerintah. Jadi saya rasa pihak kerajaan akan memberi tumpuan kepada rakyat untuk menarik semula perhatian dan sokongan rakyat kepada pemerintah.

Apakah pula pandangan dari industri sekuriti. Apa yang dijangka daripada Bajet 2009?

NAZZARY: Kami dalam industri sekuriti, pasaran saham ketika ini sedang mengalami pasaran yang sangat lembap. Dalam pasaran saham, pertama, isu politik sebenarnya sangatlah memainkan peranan penting. Sebab dalam sektor pelaburan, ketidaktentuan adalah sesuatu yang pasaran sangat tidak suka. Oleh itu, kerajaan perlulah bertindak segera memastikan kecelaruan dari segi pandangan pelabur dikurangkan sebaik-baik mungkin.

Yang kedua, apabila pasaran saham rancak di mana para pelabur dapat membuat keuntungan agak mudah, faktor transaksi contohnya tidak memainkan peranan penting kerana pelabur untung. Tetapi apabila keadaan macam sekarang ini mungkin kos transaksi jual beli saham memainkan peranan kepada para pelabur kerana mereka agak susah mendapat keuntungan.

Pada pendapat saya untuk merancakkan semula pasaran saham dan menunjukkan ekonomi kembali rancak, kos transaksi ini saya minta kerajaan kurangkan. Melalui maklum balas yang saya dapat kos transaksi lebih sesuai ialah RM28 berbanding RM40. Jadi para pelabur runcit, pelabur-pelabur kecil-kecilan mungkin melihat ini untuk mendorong mereka kembali membuat pelaburan dan merancakkan pasaran negara secara keseluruhan.

Kita telah dapat pandangan dari sektor pasaran saham, apa pandangan sektor pengguna pula kerana bajet ini mempunyai kesan terus kepada pengguna?

SHAANI: Pada pihak FOMCA, oleh kerana kenaikan harga minyak naik mendadak tidak lama dulu telah membebankan para pengguna dari segi sara hidup yang tinggi, dalam pembentangan bajet kali ini kami harapkan perhatian diberikan untuk melegakan beban sara hidup dari segi mekanisme yang menjurus golongan sasaran.

Subsidi barangan bukanlah satu cara yang efisien dan juga mempunyai kesan yang diharapkan supaya memberi kelegaan kepada golongan berpendapatan rendah atau pun yang memerlukan bantuan kerana subsidi ini juga dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi. Dan adakala sumber-sumber yang diberi subsidi digunakan dalam proses pengeluaran ini juga dieksport dan ini mewujudkan satu keadaan yang tidak sempurna dalam ekonomi. Dan ini juga membebankan kerajaan.

Dalam hal ini kerajaan harus mewujudkan mekanisme yang lebih tepat dan berkesan supaya bukan sahaja golongan berpendapatan rendah tetapi kalau dikirakan dari segi pendapatan isi keluarga lebih daripada 50 peratus penduduk di Malaysia berpendapatan kurang daripada RM3,000. Dengan itu saranan Fom- ca adalah rancangan-rancangan jaringan keselamatan sosial ini harus menjurus ke arah memberi kelegaan kepada golongan berpendapatan di bawah RM3,000.

Saya rasa menarik pandangan yang diberikan oleh Shaani. Kita dapati golongan berpendapatan sederhana sebelum ini terpinggir daripada radar kerajaan meskipun dilihat sebagai golongan yang turut terjejas dengan keadaan ekonomi semasa. Mungkinkah terdapat langkah-langkah yang akan diperkenalkan oleh kerajaan yang melegakan mereka? Mungkin Prof. boleh beri pandangan?

PROF. ABD. RAHIM: Golongan yang berpendapatan sederhana yang berpendapatan antara RM2,000 ke RM5,000 sebulan merupakan satu golongan yang telah terabai dalam beberapa bajet lepas kerana penekanan masa dulu lebih kepada golongan yang betul-betul berpendapatan rendah. Saya ingat sudah sampai masanya kerajaan melihat golongan sederhana ini kerana dengan kenaikan kos hidup dalam masa lima enam bulan lepas, kehidupan mereka sangat terjejas.

Mungkin dengan beberapa langkah boleh dikemukakan oleh kerajaan misalnya dari segi pemotongan cukai pendapatan diberikan lebih banyak insentif kepada mereka supaya pendapatan tunai yang dibawa balik itu lebih banyak daripada apa yang mereka dapat pada masa ini.

Saya tertarik dengan pemotongan cukai pendapatan, adakah rebat yang diberikan kerajaan kepada pembayar cukai sebanyak RM350 seorang bagi pendapatan kurang RM35,000 setahun perlu dinaikkan mungkin kepada RM50,000. Apakah pandangan Prof.?

PROF. ABD. RAHIM: RM350 dari segi statistiknya sekitar 10 peratus daripada pendapatan tahunan mereka. Pada pandangan saya mungkin kita boleh tingkatkan kepada 15 hingga 20 peratus. Saya cadangkan supaya ditingkatkan kepada RM400 hingga RM500 supaya ia jadi 15 ke 20 peratus.

FOMCA bersetuju dengan pandangan Prof?

SHAANI: Kami setuju bahawa harus ada perancangan jaringan sosial yang memberi kelegaan kepada golongan ini dan juga bukan semata-mata kita mengambil kira pendapatan seorang isi rumah kalau keluarga itu besar, beban lebih. Tumpuan harus diberikan kepada definisi tentang pendapatan isi rumah dan bantuan yang diberikan lebih adil.

Jadi dalam perancangan atau membangunkan golongan ini harus diberikan tumpuan kepada sektor sosial seperti pendidikan, perumahan, pengangkutan awam, kesihatan termasuk kemudahan utiliti seperti api dan air, infrastruktur dan jalan. Ini juga ada kesan kepada kos sara hidup rakyat. Mekanisme yang dirangka harus ambil kira beban-beban sara hidup daripada segi perkhidmatan.

Berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan pun kena ambil kira. Bolehkah rakyat harapkan sesuatu untuk bajet kali ini?

SHAANI: Memang semua harus faham kerajaan bukan pencetak duit, kerajaan dapatkan pendapatan daripada cukai dan kutipan lain dan ini adalah terhad dan kerajaan harus mengimbangi pendapatan dan juga apakah faedah yang mereka salurkan untuk faedah rakyat. Kerajaan perlu lebih terbuka dan sedia berkongsi maklumat supaya rakyat faham setakat mana kerajaan boleh sediakan bantuan dan selebihnya rakyat kena usahakan sendiri.

Jadi dalam hal ini perlu ada give and take dan juga pendidikan dari segi kefahaman dalam kewangan negara. Dalam hal ini memang kami tidak setuju harga petroleum dinaikkan secara mendadak kerana mewujudkan satu kesan yang keterlaluan dan juga pada masa ini apabila kerajaan menurunkan harga, secara profesional kami merasakan ia tidak dibuat begitu cepat kerana memberi tanda kepada rakyat, bila-bila rakyat boleh harapkan sesuatu daripada kerajaan untuk mendapatkan insentif, subsidi dan juga lain-lain.

Mungkin Shaani boleh beri satu idea bagaimana mekanisme boleh dijalankan?

SHAANI: Kalau kita rasakan pengangkutan awam adalah satu perkhidmatan sosial yang digunakan oleh golongan sederhana dan rendah dan kalau kita salurkan bantuan kepada sektor ini dengan menyediakan perkhidmatan yang mencukupi dan juga meliputi keseluruhan kawasan penduduk mungkin juga boleh merangkumi dari segi tambang, dengan bantuan kerajaan kita boleh kurangkan tambang pengangkutan awam bagi mengurangkan kos perjalanan golongan pekerja yang menggunakan perkhidmatan ini.

Ini secara terus menerus memberi kelegaan kepada golongan itu, juga kalau kita rasakan golongan berpendapatan rendah yang gaji kurang daripada RM1,000 kita mungkin boleh berikan mereka pengangkutan percuma, mungkin kerajaan boleh memberikan mereka Touch n Go yang memang khas untuk mereka, mereka boleh gunakan secara percuma.

Saudara Shaani banyak menyentuh tentang pengangkutan awam dan sebagai pakar dalam sektor itu mungkin Prof. Rahim boleh tambah sedikit.

PROF. ABD. RAHIM: Bidang pengangkutan awam ini ialah satu isu yang sudah lama dan berterusan. Ia melibatkan orang ramai, ba- nyak lapisan masyarakat. Dari segi pengangkutan awam sendiri saya rasa telah banyak berlaku dalam masa sekitar enam bulan lepas. Kos bergerak di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar telah meningkat dan ramai orang sekarang telah berpindah daripada kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam.

Jadi, apa yang berlaku ialah satu kejutan kepada sektor pengangkutan awam terutamanya kepada yang bersifat track based macam LRT dan komuter. Satu kejutan dalam peningkatan penggunaan. Kalau ada peningkatan penggunaan atau penambahan permintaan, maka bekalan seperti bilangan tren serta penambahbaikan yang perlu ditambah dan kemudahan bas pengantara pun kena tambah.

Dari segi bas pengantara, saya cadangkan kalau boleh kerajaan lebih murah hati. Mungkin bas pengantara diberikan secara percuma, misalnya untuk membawa orang ramai dari rumah atau dari tempat park and ride ke kawasan stesen-stesen komuter. Bila disediakan secara percuma, maka dengan sendirinya orang akan tinggalkan kereta di rumah dan menggunakan kenderaan awam sebagai alat untuk bergerak.

Maka ini akan memberi kesan positif kepada kesesakan jalan raya dan juga persekitaran yang lebih. Saya nampak dalam bidang ini kerajaan perlu kreatif dari segi memberikan insentif. Bukannya sekadar beri sahaja misalnya RM1 atau RM2 bilion. Mungkin keadaan itu tidak begitu baik. Kita cari kawasan di mana pemberian subsidi atau insentif itu harus membawa kepada kesan yang positif kepada peningkatan pengangkutan awam itu. Dan pastikan juga jangan berlaku ketirisan.

Pemberian itu juga harus menuju kepada aspek-aspek kos yang bersifat operasi yang boleh memberi insentif kepada operator pengangkutan awam untuk meningkatkan kualiti dan kecekapan. Kita tak mahu subsidi diberi secara suka hati. Mesti ada perkiraan yang betul supaya kesan positif dapat diperhatikan.

Perbincangan mengenai pengangkutan awam ini sangat menarik. Di pihak FOMCA sendiri, adakah kerajaan perlu memperluaskan rangkaian trek di Lembah Klang atau langkah lain yang perlu untuk meningkatkan kecekapan pengangkutan awam?

SHAANI: Memang dari sudut jangka panjang kita mungkin harus memperluaskan liputan trek dan sebagainya, tapi kita juga memerlukan perhatian jangka pendek atau sekarang untuk menambah baik kualiti perkhidmatan dan liputan. Dalam hal ini kami juga terlibat dalam beberapa jawatankuasa di peringkat Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk menangani dan menambah baik pengangkutan awam ini.

Cadangan kami adalah kerajaan harus lebih tegas atau agresif lagi dalam membawa perubahan ini. Sekarang nampaknya agensi-agensi yang terlibat untuk makluman, pengangkutan awam ditangani oleh hampir oleh 14 agensi di peringkat kerajaan dan mereka dikekang oleh banyak dasar dan syarat berkaitan pengangkutan awam dan perlesenan dan sebagainya.

Bermakna operator yang ada di Lembah Klang dikekang oleh syarat-syarat perlesenan. Contohnya, kalau waktu puncak perjalanan ikut Lebuh Raya Persekutuan mungkin ada masalah besar, sedangkan kalau pengangkutan bas ekspres daripada KL-Klang menggunakan lebuh raya NKVE mungkin sampai dalam masa yang singkat.

Tapi kita begitu taksub dengan syarat-syarat perlesenan dan kita tidak mahu fikirkan alternatif ini. Pihak kerajaan juga harus ada komitmen untuk kita gantung syarat ini untuk mengatasi masalah sekarang supaya ditambah baik. Kalau kita asyik cakap menambah baik tapi kita kekang dengan syarat-syarat ini, maka kita tidak membawa apa-apa perubahan pun dan ini membawa kemarahan rakyat kepada badan yang menangani isu ini.

Cadangan yang kedua ialah mewujudkan lorong bas dengan erti kata yang sebenar. Sekarang ini lorong bas ini hanya ada atas nama sahaja tetapi semua kenderaan boleh menggunakan lorong bas itu sehinggakan bas sendiri pun tersangkut dalam kesesakan. Jadi ini bermakna ia tidak memberi satu insentif kepada pengguna untuk menggunakan sebab bas pun tersangkut dalam kesesakan.

PROF. ABD. RAHIM: Kalau boleh saya tambah berkenaan pengangkutan awam ini juga ialah ada dua perkara yang saya ingin saya sebut. Pertamanya dari segi polisi kerajaan. Saya sangat berharap pihak pemerintah tidak selalu mengubah polisi. Apa yang sudah diumumkan itu diteruskan. Katalah kita umumkan RM10 bilion untuk meningkatkan pengangkutan awam di Lembah Klang, jadi kita nak tengok selepas dua tahun ke mana RM10 bilion itu dan apakah kesan positifnya kepada bandar ini.

Jangan diubah polisi itu sebaliknya kita laksanakan dan pantau ia supaya menghasilkan kesan positif. Dan keduanya ialah memberikan keutamaan kepada pengangkutan awam berbanding pengangkutan persendirian. Tentang lorong bas seperti yang disebut oleh Shaani. Ia memang idea yang sudah lama diamalkan di bandar-bandar seperti Amerika Utara dan Selatan.

Di sini yang penting juga ialah penguatkuasaan, ertinya tidak ada maknanya kalau kita sediakan lorong tetapi tiap-tiap hari, tiap-tiap masa lorong itu akan digunakan oleh kenderaan lain sehingga menyebabkan kelancaran bas itu terganggu. Jadi, ini merupakan beberapa perkara yang saya rasa kerajaan perlu perhatikan dan masukkan ke dalam bajet nanti.

Terdapat pandangan yang menyarankan supaya jumlah cukai pendapatan individu yang boleh dikenakan dinaikkan atau caruman KWSP ditangguhkan untuk satu tempoh tertentu sehingga keadaan ekonomi kembali pulih. Sejauh mana tindakan seumpama itu wajar dilakukan dan kesannya terhadap ekonomi?

PROF. ABD. RAHIM: Cukai pendapatan individu kalau kita tingkatkan bermakna jumlah wang yang ada dalam poket dapat dibelanjakan dengan lebih baik. Kalau kita kurangkan cukai bermakna rakyat boleh menggunakan wang itu untuk berbelanja sekali gus mengurangkan beban. Dari segi KWSP, saya rasa ini adalah satu sistem simpanan hari tua. Saya rasa kalau boleh kita jangan ganggu sistem sedia ada yang mungkin tidak beri banyak kesan kepada kualiti hidup mereka, walau hanya untuk setahun.

Pada pandangan pengguna, apakah perlu kita naikkan jumlah cukai individu dan ditangguhkan caruman KWSP dalam keadaan situasi ekonomi sekarang?

SHAANI: Dari segi bilangan rakyat yang membayar cukai, kalau kita tengok statistik, kita ada tenaga kerja hampir 11 juta. Tetapi hanya dua juta yang layak membayar cukai dan sebenarnya hanya satu juta yang membayar cukai.

Jadi kalau ada apa-apa perubahan dari segi cukai dikurangkan, terlalu sedikit bilangan pengguna yang akan menikmati faedah ini. Dan yang kedua tentang penangguhan potongan KWSP, saya rasakan ini bukan cara untuk melancarkan ekonomi negara kerana ini adalah simpanan hari tua pekerja.

Sebenarnya untuk menjana ekonomi, kerajaan harus memainkan peranan untuk berbelanja lebih supaya ini akan melancarkan ekonomi. Kedua ialah mengurangkan kos pengendalian perniagaan dan apa-apa urusan perkhidmatan kerajaan.

Kita telah mendengar pelbagai pendapat daripada panel yang pakar dalam bidang masing-masing. Soalan akhir, adakah pembentangan Bajet 2009 mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan mengurangkan beban yang dirasai oleh rakyat Malaysia?

SHAANI : Kami rasakan kerajaan membuat banyak dialog untuk dapat maklum balas untuk melancarkan pertumbuhan ekonomi. Kami harapkan kerajaan akan mengambil kira pandangan-pandangan industri dan profesional untuk merangka satu bajet yang begitu menarik untuk melancarkan ekonomi negara, juga berharap tindakan dan mekanisme yang diambil dapat membantu rakyat berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi.

NAZZARY: Saya yakin kerajaan akan membentangkan bajet yang menumpukan perhatian bagaimana masyarakat yang sedang merasai kesan inflasi tinggi mengurangkan beban, cukai pendapatan kurang, caruman KWSP dikurangkan. Dengan lain perkataan kerajaan akan membantu supaya duit berada di poket dengan lebihan itu kita boleh kurangkan beban inflasi ekoran kenaikan harga komoditi, beras dan minyak yang beri kesan terus kepada semua orang.

Saya rasa khuatir setakat yang lepas, apa yang berlaku kalau kita dapat lebih wang, RM1,000, RM2,000, RM3,000 di tangan masing-masing adakah ia dapat mengurangkan beban kita. Saya ada persoalan, kadang-kadang duit ini sampai di tangan, kita tidak tahu guna sebaiknya. Dalam pekerjaan saya, ia menjurus kepada perancangan kewangan.

Jadi saya harap kerajaan akan cuba bantu rakyat daripada memberi wang terus ke poket tetapi membantu dari segi mental setting. Inflasi akan tetap naik, semua harga barangan naik tetapi tidak mendadak seperti sekarang tetapi berterusan bagaimana kerajaan dapat membantu pengguna dan rakyat menyelaras keadaan. Ini adalah fenomena selama-lamanya. Bagaimana kerajaan dapat bantu dari segi bajet, contoh memberi kursus percuma bagaimana merancang kewangan kita bukan setakat bagi duit lepaskan sahaja.

PROF. ABD. RAHIM: Ada dua perkara. Dari segi pertumbuhan tidak banyak kesan. Perbelanjaan tahun ini kita berada dalam keadaan bermasalah, ketidakstabilan politik, kenaikan barangan dan inflasi 8.5 peratus. Bajet kali ini lebih kepada kawalan kerosakan mengatasi masalah dan beban oleh rakyat daripada perkara-perkara tadi.


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi