Wednesday, July 16, 2008
Rakyat Malaysia belanja berlebihan kerana pengaruh iklan
Rakyat Malaysia belanja berlebihan kerana pengaruh iklan
KUALA LUMPUR 15 Julai - Rakyat negara ini yang memiliki kuasa beli yang tinggi berbelanja secara berlebihan kerana dipengaruhi iklan yang disiarkan di televisyen.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhamad Sha'ani Abdullah berkata, kebanyakan iklan hari ini berbentuk provokatif sehingga menimbulkan perasaan ingin berbelanja yang tinggi di kalangan pengguna.
''Apabila menonton sesuatu iklan mereka merasakan harus memiliki produk tersebut tetapi realitinya mereka tidak memerlukannya,'' katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas taklimat Hari Tidak Berbelanja anjuran bersama FOMCA, Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Majlis Belia Negara (MBM) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini hari ini.
Sha'ani berkata, kempen Hari Tidak Berbelanja yang akan diadakan di seluruh negara esok merupakan sebahagian daripada usaha FOMCA untuk mewujudkan kesedaran di kalangan pengguna supaya mengawal perbelanjaan dan tidak mudah dipengaruhi iklan.
''Kempen ini tidak bermaksud para pengguna tidak boleh berbelanja tetapi lebih kepada kesedaran untuk mengawal setiap perbelanjaan mereka.
''Tujuan utama kempen tersebut diadakan adalah bagi mendidik para pengguna supaya berbelanja dengan bijak dan tidak mengikut perasaan,'' ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua NCWO, Faridah Khalid berpendapat kempen itu baik untuk mendidik para pengguna mengawal setiap perbelanjaan mereka.
''Kempen ini juga akan menggalakkan pengguna untuk merancang perbelanjaan dan memberi lebih ruang kepada mereka untuk berfikir sebelum membeli,'' ujarnya.