Wednesday, July 16, 2008

 

Percepat turunkan kadar tol


Percepat turunkan kadar tol

KUALA LUMPUR 15 Julai - Kerajaan digesa supaya menyegerakan penurunan kadar tol terutama bagi pengguna lebuh raya melingkari bandar raya di Lembah Klang yang dihimpit oleh kenaikan harga bahan api.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhamad Sha'ani Abdullah berkata, proses perbincangan cadangan itu dengan pemegang konsesi tol wajar dipercepatkan kerana rakyat semakin dibebani kos perbelanjaan yang tinggi.

''Perkara ini wajar diberi perhatian serius memandangkan harga tol yang tinggi akan meningkatkan perbelanjaan pengangkutan mereka yang tinggal di bandar,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan memberitahu akan mengadakan perbincangan dengan setiap pemegang konsesi bagi mengurangkan kadar tol dan dijangka memakan masa tiga bulan untuk mendapatkan keputusan.

''Kami berharap perbincangan itu dapat dipercepatkan bagi membantu para pengguna mengurangkan beban perbelanjaan mereka," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, kerajaan harus menyegerakan perbincangan dengan pemegang konsesi agar dapat mengurangkan kadar tol yang sedia ada.

''Hasil perbincangan itu harus diumumkan kepada rakyat bagi melihat sejauh mana harga baru itu dapat diterima mereka," katanya.

''Sebelum ini, hasil kajian yang dijalankan tidak pernah diberitahu kepada umum dan mereka hanya menerima hasil perbincangan itu tanpa boleh menyuarakan pendapat,'' ujarnya.

Beliau berkata, para pengguna juga harus diberikan saluran untuk menyuarakan pendapat mengenai hasil kajian yang dijalankan pihak kerajaan dan pemegang konsesi tol.

''Melalui cara ini, mereka juga dapat menyuarakan pandangan mereka mengenai hasil kajian tersebut kerana mereka merupakan golongan yang akan menggunakan lebuh raya tersebut,'' ujarnya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, kadar tol di negara ini semakin membebankan rakyat.

Beliau juga berpendapat kerajaan seharusnya mengambil-alih sepenuhnya konsesi tol di seluruh negara bagi membolehkan mereka mengawal sepenuhnya harga tol.

''Melalui pengambilalihan tersebut, kerajaan boleh menyelaraskan harga setiap tol mengikut kesesuaian semasa tanpa perlu mengadakan perbincangan dengan pihak lain,'' katanya.

Beliau berkata, keuntungan daripada konsesi tol hanya dapat dinikmati sebelah pihak sahaja dan ini secara tidak langsung akan memberi bebanan kepada para pengguna.

Katanya, apabila kerajaan mengambil alih konsesi tol yang ada di negara ini, hasil keuntungan daripadanya akan disalurkan kembali kepada pengguna dan secara tidak langsung dapat mewujudkan sebuah kerajaan yang mesra rakyat.

Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi