Thursday, May 01, 2008

 

Kosmo : Autopsi sikap pengguna



KOSMO RENCANA UTAMA

31 Mei 2008

Autopsi sikap pengguna

Bagaimanakah sikap pengguna boleh menyumbang kepada kenaikan harga barang?


GOLONGAN pembeli pertengahan menghabiskan masa berjam-jam membeli-belah di pasar raya kerana terdapat banyak barangan makanan yang sofistikated.


PASARAN makanan negara ini dikuasai oleh negara-negara seperti Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, China, Thailand dan Indonesia. - Gambar hiasan

BAGI masyarakat pengguna negara ini, tidak ada yang lebih memeningkan kepala daripada berterusan menanggung beban kenaikan harga barangan.

Ketika ini, beras menjadi isu paling hangat diperkatakan, semuanya gara-gara kenaikan harga beras di pasaran dunia.

Krisis beras semakin meruncing apabila beberapa negara pengeluar utama beras dunia seperti China, Mesir, Vietnam dan India bertindak mengehadkan eksport beras untuk memastikan mereka mampu menyediakan makanan itu untuk rakyat mereka sendiri.

Harga beras di negara ini pula dilaporkan meningkat antara 10 hingga 20 peratus sejak kebelakangan ini.

Mungkin masyarakat pengguna negara ini yakin dengan jaminan yang dibuat oleh kementerian-kementerian yang terlibat dengan komoditi ini yang berkali-kali menyatakan bahawa stok beras negara mencukupi.

Malaysia dilaporkan mengimport antara 700,000 hingga 800,000 tan beras setahun sebagai tambahan kepada 1.1 juta tan yang dihasilkan. Negara utama untuk import beras Malaysia sudah semestinya Thailand (antara 50 hingga 60 peratus) manakala bakinya daripada China, Vietnam, Myanmar, India dan Pakistan.

Lonjakan harga minyak mentah (AS$120 atau RM376 setong dicatat pada 23 April 2008) di pasaran dunia dan kenaikan kadar tol menyebabkan kenaikan hampir kesemua barangan.

Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Muhammad Sha'ani Abdullah memberitahu, kenaikan harga barangan keperluan dan perkhidmatan sejak tempoh dua tahun lalu begitu membebankan pengguna negara ini.

Katanya, golongan berpendapatan rendah dan pertengahan yang paling teruk terjejas dengan perkembangan tersebut sehinggakan mereka berasa tidak yakin dengan masa depan mereka dan bagaimana mahu menyara kehidupan keluarga.

Menurut Muhammad Sha'ani yang juga Setiausaha Agung FOMCA, sebarang kenaikan harga minyak akan menjadi pemangkin utama untuk inflasi yang akan melonjakkan lagi barangan keperluan harian.

"Kesan sosioekonomi sememangnya teruk seperti yang pernah kita saksikan dan alami sebelum ini. Kegiatan mengambil untung berleluasa dan pengguna menjadi mangsa eksploitasi peniaga.

"Peniaga dan badan korporat menggunakan kesempatan ini untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan. Pihak yang tidak mahu memikul beban kenaikan akan memindahkan lebihan kos kepada pihak lain, sama ada pembekal atau peruncit dan mangsanya adalah pengguna," jelasnya.

Kegiatan mengambil untung Menjelaskan kegiatan mengambil untung, Muhammad Sha'ani berkata, kerakusan peniaga yang menaikkan harga barangan dan perkhidmatan boleh dilihat apabila berlaku kenaikan harga minyak, tol, tarif elektrik dan air.

"Meskipun sesetengah kenaikan ada justifikasinya atas sebab impak secara langsung (contoh pengangkutan kerana kenaikan harga minyak), kebanyakan kenaikan harga lebih bersifat mengambil keuntungan oleh peniaga.

"Ada peniaga yang dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan sesuka hati. Sikap yang tidak bertanggungjawab ini adalah salah satu masalah utama yang memberi kesan negatif kepada sosioekonomi dan menyekat kemajuan," kata Muhammad Sha'ani.

Beliau turut menyentuh peranan penting yang dimainkan oleh orang tengah dalam rangkaian makanan di mana mereka menentukan harga dan bekalan barangan makanan yang dijual di pasaran.

"Orang tengah berada dalam kedudukan yang selesa kerana mereka menjana keuntungan besar daripada kedua-dua pihak pengeluar dan pengguna," tambahnya.

Menurut beliau, sesetengah orang tengah bertindak sebagai cartel dengan membeli pada harga yang rendah daripada petani dan menjual hasil tanaman atau barangan yang sama pada harga yang tinggi kepada pengguna.

Menurut Muhammad Sha'ani, terdapat beberapa faktor lain yang menyumbang kepada kenaikan harga barangan di negara ini, antaranya bil import makanan yang tinggi.

"Pada tahun 2005, bil import makanan negara berjumlah RM17.793 bilion sedangkan bil eksport makanan hanya RM10.674 bilion, menunjukkan defisit RM7.119 bilion dalam Imbangan Dagangan Barangan Makanan (BOTFS).

"Sejak lebih seabad lampau, Malaysia semakin bergantung kepada import makanan bagi menampung permintaan yang semakin meningkat. Pasaran makanan negara ini dikuasai oleh negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS), Australia, New Zealand, China, Thailand dan Indonesia," jelasnya.

Malaysia mengimport barangan tenusu dari New Zealand sementara sayur-sayuran dan buah-buahan dari Australia dan AS.

Malaysia juga mengimport produk makanan laut, sebahagian besarnya dari Thailand dan Indonesia.

"Ketidakupayaan Malaysia menampung pengeluaran makanan dalam negara bagi memenuhi permintaan menjadikan bil import makanan melambung dan menyebabkan kenaikan harga makanan ini," jelas beliau.

Tabiat berbelanja boros sesetengah pengguna di negara ini, menurut Muhammad Sha'ani turut merangsang kenaikan harga barangan.

"Pengguna hari ini cenderung berbelanja besar terutamanya golongan kelas pertengahan yang tidak teragak-agak menghamburkan wang mereka membeli produk teknologi baru dan aksesori peribadi atas nama fesyen dan kesenangan.

Pengguna yang berpendapatan pertengahan, membawa dimensi baru dalam pembelian barangan.

"Mereka ini menghabiskan masa berjam-jam membeli-belah di pasar raya dan hipermarket kerana terdapat banyak barangan makanan yang sofistikated," ujar beliau.

Budaya berhutang Promosi berleluasa kad kredit, pinjaman perumahan dan sewa beli oleh institusi kewangan memburukkan lagi keadaan.

Muhammad Sha'ani berpendapat, sektor kewangan sebenarnya menggalakkan budaya berhutang menerusi tawaran hadiah percuma, kadar faedah yang rendah serta skim bayaran balik mudah.

"Budaya berhutang semakin menjalar dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Anak-anak muda yang baru memasuki dunia pekerjaan turut terjebak dalam sindrom berhutang dengan pinjaman kereta, rumah dan bil kad kredit," jelasnya.

Tambah beliau, gaya hidup 'miliki dulu, bayar kemudian' ini akan hanya mengheret pengguna ke dalam perangkap hutang dan mereka akhirnya akan menjadi muflis. - Bernama


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi