Friday, April 04, 2008

 

Kosmo : Menyekat manipulasi harga

KOSMO 04hb April 2008
RENCANA UTAMA

Menyekat manipulasi harga

Sejauh manakah langkah mengimport barangan dari luar negara dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga barang?


MANIPULASI perlu dihentikan bagi menjamin bekalan dan harga barangan yang lebih berpatutan. - Gambar hiasan.


MASYARAKAT pengguna negara ini sudah tentunya menarik nafas lega apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang baru, Datuk Shahrir Samad berkata, kerajaan boleh mengatasi masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga barangan menerusi langkah mengimport barangan berkenaan.

Kaedah tersebut juga dikatakan boleh menghentikan manipulasi para peniaga dan pengeluar barangan tempatan yang selama ini mempunyai kuasa bagi menentukan kuantiti dan harga barangan bagi pasaran dalam negara.

"Kerajaan bertanggungjawab memastikan keselesaan hidup rakyat Malaysia. Golongan berpendapatan rendah mesti diberi bantuan supaya mereka boleh menghadapi beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Harga barangan terkawal harus terus dikawal selia dengan tindakan yang lebih progresif seperti membuka untuk pengimportan untuk lebih ramai pengimport," kata Muhammad Sha'ani Abdullah, Ketua Eksekutif/Setiausaha Agung, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Shahrir mengenai kemungkinan langkah yang boleh diambil kerajaan bagi menghentikan manipulasi harga barangan serta menjamin bekalan dan harga barangan yang lebih berpatutan.

Menurut Muhammad Sha'ani, sistem kawalan harga yang tidak kemas yang tidak mengambil kira kos pengeluaran atau pengimportan ataupun kos melepas seperti berlaku ke atas minyak sawit akan menjadi insentif negatif kepada pengeluar atau pengimport untuk terus membekalkan barangan terbabit kepada pengguna di Malaysia.

Sebagai peniaga yang bergantung kepada keuntungan untuk kemandirian (survival), peniaga tidak boleh menanggung kerugian, tambahnya.

"Jika peniaga tidak dapat satu margin keuntungan yang munasabah dari segi kos kewangan, mereka akan menaikkan harga. Jika harga barangan itu dikawal, mereka sama ada akan menghentikan pengeluaran ataupun pengimportan.

"Ada juga pengeluar seperti pengeluar besi batang keluli dan simen terpaksa menjual hasil keluaran pada harga kawalan tetapi mengenakan pelbagai caj tambahan untuk menampung kos pengeluaran yang melebihi harga kawalan," kata beliau.


PENYELUDUPAN dari negara jiran mungkin berpunca daripada kenaikan harga barangan di Malaysia.


Dalam keadaan tersebut katanya, pengeluaran lesen dan permit import akan memberi manfaat dari segi tambahan bekalan untuk mengawal peningkatan harga runcit.

Langkah itu juga, katanya akan mempengaruhi pengeluar tempatan untuk bersaing dengan berusaha lebih cekap dalam proses pengeluaran dan sistem pengedaran ke pasaran.

"Sebagai contoh bekalan gula pasir dan tepung gandum diimport oleh bilangan kecil pengimport yang diberi lesen import. Bilangan kecil ini boleh memanipulasi pasaran barangan ini dengan mudah.

"Juga dengan kedudukan seakan monopoli mereka tidak akan berusaha untuk mencari sumber bekalan alternatif bagi mendapatkan bekalan gula dan tepung gandum pada harga yang lebih kompetitif," jelas beliau.

Pasaran kecil Menurut Muhammad Sha'ani, pembekal dapat memanipulasi pasaran tempatan untuk kepentingan mereka kerana Malaysia adalah sebuah pasaran kecil.

"Bilangan pengimport dan pembuat yang kecil membuatkan mereka bekerja sebagai kartel untuk menguatkan kelebihan seperti pembahagian kawasan pengedaran, penetapan harga dan penetapan kuantiti bekalan," jelasnya.

Beliau memberitahu sekiranya kerajaan mengenakan kawalan harga ke atas barangan biasa (standard), pihak pembekal akan bertindak dengan tidak mengeluarkan barangan standard.

Sebaliknya, tambah beliau, pihak berkenaan akan beralih kepada rumusan yang bukan standard seperti tepung gandum dan roti diperkaya dengan vitamin untuk mengelakkan peraturan kawalan harga.

Beliau memberitahu meskipun matlamat kawalan harga adalah untuk memberi keselesaan hidup kepada pengguna berpendapatan rendah, tindakan yang sedemikian juga menyebabkan pengeluar kurang insentif untuk mengeluarkan barangan.

"Ada ketika pembekal terus menghentikan bekalan barangan standard dan pengguna terpaksa membeli keperluan dengan harga yang lebih tinggi kerana tiada pilihan.

"Keadaan ini lebih parah di kawasan luar bandar kerana pengguna luar bandar tidak mempunyai pilihan dari segi premis jualan dan peniaga kecil luar bandar juga bergantung kepada pengedar-pengedar kecil untuk bekalan," katanya.

Muhammad Shaani bagaimanapun berpendapat tidak adil tindakan undang-undang dikenakan ke atas peruncit kerana penetapan harga dikawal oleh pengedar dan pemborong.

"Tindakan undang-undang yang ketat memutuskan bekalan keperluan kepada pengguna luar bandar," kata beliau.

Tambah beliau, program bantuan dan sokongan kepada semua pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam perlu diberikan untuk mengurangkan kos pengendalian serta meningkatkan keselesaan kepada pengguna.

"Sebagai contoh memberi bantuan atau geran kepada semua kenderaan pengangkutan awam supaya bertukar kepada penggunaan gas petroleum cecair atau LPG.

"Pinjaman tanpa faedah juga boleh dikeluarkan kepada semua pengusaha pengangkutan awam untuk menukar bas-bas dari 15 tahun. Harga bas diperoleh secara tender terbuka daripada semua pembekal bas," kata Muhammad Sha'ani. - Bernama


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi