Tuesday, April 29, 2008

 

BH : Isu kenaikan harga barang terus belenggu rakyat


29-4-2008

BAGI masyarakat pengguna negara ini, tiada yang lebih memeningkan kepala daripada terus menanggung beban kenaikan harga barang. Mungkin bertepatan juga dengan keputusan kerajaan untuk tidak memenuhi tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) supaya kakitangan awam diberikan honorarium RM2,000.

Pemberian honorarium ini sudah pasti akan memberikan lampu hijau kepada peniaga mencari helah menaikkan lagi harga barang dan perkhidmatan.

Ketika ini beras menjadi isu paling hangat diperkatakan, semuanya gara-gara kenaikan harga beras di pasaran dunia. Krisis beras semakin meruncing apabila beberapa negara pengeluar utama beras dunia seperti China, Mesir, Vietnam dan India bertindak mengehadkan eksport beras untuk memastikan mereka mampu menyediakan makanan itu untuk rakyat mereka sendiri.


Harga beras di negara ini pula dilaporkan meningkat 10 hingga 20 peratus sejak kebelakangan ini. Namun setakat ini belum lagi berlaku pembelian cemas beras di kalangan masyarakat pengguna negara ini. Mungkin masyarakat pengguna negara ini yakin dengan jaminan kementerian terbabit dengan komoditi ini yang berkali-kali menyatakan bahawa stok beras negara adalah mencukupi.


Malaysia dilaporkan mengimport 700,000 hingga 800,000 tan beras setahun sebagai tambahan kepada 1.1 juta tan yang dihasilkan. Negara utama untuk import beras Malaysia sudah semestinya Thailand (50 hingga 60 peratus), manakala bakinya daripada China, Vietnam, Myanmar, India dan Pakistan.


Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) membuat rumusan ini hasil penyelidikan dan pemantauan harga barang harian, sebahagian besarnya barang makanan di beberapa bandar dan pekan di negara ini.


Lonjakan harga minyak mentah (AS$120 atau RM376 setong dicatat pada 23 April lalu) di pasaran dunia serta kenaikan kadar tol menyebabkan kenaikan hampir semua barang.


Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, Muhammad Sha�ani Abdullah, dilaporkan berkata kenaikan harga barang keperluan dan perkhidmatan sejak dua tahun lalu begitu membebankan pengguna negara ini. Golongan berpendapatan rendah dan pertengahan paling teruk terjejas sehingga mereka berasa tidak yakin dengan masa depan untuk terus menyara kehidupan keluarga.


�Pengguna negara ini masih lagi terasa bahang kenaikan 30 sen harga minyak pada 2006 dan sekarang semakin cemas dengan kenaikan melambung harga minyak mentah di pasaran dunia. Saya pasti ramai yang berdebar-debar menunggu bila kerajaan akan mengumumkan kenaikan harga minyak,� tambahnya.


Muhammad Sha�ani yang juga Setiausaha Agung Fomca berkata, sebarang kenaikan harga minyak akan menjadi pemangkin utama untuk inflasi yang akan melonjakkan lagi harga barang keperluan harian.


�Kesan sosioekonomi sememangnya teruk seperti yang pernah kita saksikan dan alami sebelum ini. Kegiatan mengambil untung berleluasa dan pengguna menjadi mangsa eksploitasi peniaga. Peniaga dan badan korporat menggunakan kesempatan ini untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan. Pihak yang tidak mahu memikul beban kenaikan akan memindahkan lebihan kos kepada pihak lain, sama ada pembekal atau peruncit dan mangsanya adalah pengguna,� jelasnya.


Beliau mengakui, ada peniaga dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga barang sesuka hati. Sikap tidak bertanggungjawab ini adalah antara masalah utama yang memberi kesan negatif kepada sosioekonomi serta menyekat kemajuan.


Muhammad Sha�ani turut menyentuh peranan penting orang tengah dalam rangkaian makanan di mana mereka menentukan harga dan bekalan barang makanan yang dijual di pasaran. Orang tengah berada dalam kedudukan selesa kerana mereka menjana keuntungan besar daripada kedua-dua pihak � pengeluar dan pengguna.


Ada beberapa faktor lain yang menyumbang kepada kenaikan harga barang di negara ini, antaranya bil import makanan yang tinggi. Pada 2005, bil import makanan negara berjumlah RM17.793 bilion sedangkan bil eksport makanan hanya RM10.674 bilion, menunjukkan defisit RM7.119 bilion dalam Imbangan Dagangan Barangan Makanan (BOTFS).


�Sejak lebih seabad lampau, Malaysia semakin bergantung kepada import makanan bagi menampung permintaan yang semakin meningkat. Pasaran makanan negara ini dikuasai oleh negara seperti Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, China, Thailand dan Indonesia,� jelasnya.


Malaysia mengimport barang tenusu dari New Zealand sementara sayur-sayuran serta buah-buahan diperoleh dari Australia dan Amerika Syarikat.


Malaysia juga mengimport produk makanan laut, sebahagian besarnya dari Thailand dan Indonesia. �Ketidakupayaan Malaysia menampung pengeluaran makanan dalam negara bagi memenuhi permintaan menjadikan bil import makanan melambung dan menyebabkan kenaikan harga makanan ini,� jelas beliau.


Tabiat berbelanja boros sesetengah pengguna di negara ini, kata Muhammad Sha�ani turut merangsang kenaikan harga barang. Kemasukan barang daripada luar negara pada harga yang berpatutan mendorong pengguna untuk sakan berbelanja.


�Pengguna terutama golongan pertengahan hari ini cenderung berbelanja besar dan tidak teragak-agak menghabiskan wang membeli produk teknologi baru dan aksesori peribadi atas nama fesyen dan kesenangan. Pengguna yang berpendapatan pertengahan (RM2,000 hingga RM4,000 sebulan) juga turut membawa dimensi baru dalam pembelian barang.


�Mereka menghabiskan masa berjam-jam membeli-belah di pasar raya dan hypermarket kerana ada banyak barang makanan yang boleh diperoleh di sana. Pengguna bebas melihat, memegang dan memilih barang makanan yang tidak tahan lama dan semuanya ini ada kos tambahan yang dikenakan ke atas barang berkenaan. Ini menyumbang kepada kenaikan harga barang,� jelas Muhammad Sha�ani.


Promosi berleluasa kad kredit, pinjaman perumahan dan sewa beli oleh institusi kewangan memburukkan lagi keadaan. Sektor kewangan sebenarnya menggalakkan budaya berhutang menerusi tawaran hadiah percuma, kadar faedah yang rendah serta skim bayaran balik mudah.


�Budaya berhutang semakin menjalar dalam kehidupan masyarakat hari ini. Anak muda yang baru memasuki dunia pekerjaan turut terjebak dalam sindrom berhutang dengan pinjaman kereta, rumah dan bil kad kredit,� jelasnya.


Tambah beliau, gaya hidup �miliki dulu, bayar kemudian� ini akan hanya mengheret pengguna ke dalam perangkap hutang dan mereka akhirnya akan menjadi muflis. Dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat, kebanyakan bank semakin ligat mempromosikan pinjaman dan kad kredit mereka.


�Tanpa disedari pengguna, hutang mereka mula bertimbun sehinggakan ada yang terpaksa mengambil pinjaman peribadi semata-mata mahu melangsaikan hutang kad kredit,� keluhnya. � Bernama

Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi