Tuesday, April 22, 2008

 

Fomca gesa akta lapuk dikaji semula

BERITA HARIAN - NASIONAL

Oleh Azman Mahmood

Kerajaan perlu ambil langkah proaktif kawal harga

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa membentuk satu mekanisme jangka panjang berkaitan kawalan harga barangan untuk membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana menikmati keselesaan hidup lebih baik.

Sehubungan itu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) juga mahu kerajaan mengkaji semula akta dan peraturan lapuk seperti Akta Kawalan Barangan, Akta Kawalan Harga serta akta lain yang berkaitan, bagi melindungi hak pengguna.


Setiausaha Agungnya, Mohammad Sha'ani Abdullah, berkata kerajaan juga perlu mengambil langkah proaktif melaksanakan revolusi meningkatkan pengeluaran barangan yang menjadi keutamaan kegunaan rakyat sebagai langkah mengekang kenaikan harga dalam pasaran tempatan.

Katanya, menerusi cara itu, ia boleh membantu mengurangkan kenaikan harga dan akan memberi keselesaan hidup kepada rakyat.

"Kita harap akan ada usaha meningkatkan pengeluaran bekalan makanan dan barangan dalam negara.

"Kalau boleh sehingga negara boleh eksport bukan bergantung kepada bekalan import seperti beras, 35 peratus adalah dibawa masuk dari negara asing," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad kelmarin bahawa kerajaan sedang mengkaji untuk menambah senarai barangan kawalan dan menyeragamkan harganya di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Langkah itu bertujuan mengurangkan beban pengguna serta menangani kesan kenaikan harga bahan makanan dunia.

Cadangan itu adalah antara langkah yang akan dilaksanakan menerusi Dasar Jaminan Makanan Negara.

Ketika ini kerajaan mengawal harga 11 barangan keperluan termasuk petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG), tepung gandum, gula, susu pekat manis, ayam dan minyak masak, tetapi harga runcit barangan berkenaan di Semenanjung berbeza dengan di Sabah dan Sarawak.

Mohammad Sha'ani berkata, Fomca mengalu-alukan langkah kerajaan mahu menambah senarai barangan kawalan dan menyeragamkan harganya di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Katanya, langkah itu dilihat sebagai memberi perlindungan kepada pengguna dari segi kenaikan harga barang makanan dan bukan makanan yang tidak menentu.

Beliau berkata, Fomca juga mencadangkan agar bahan bukan makanan seperti simen dan besi turut dimasukkan dalam senarai barang kawalan.

Katanya, kenaikan kedua-dua barang berkenaan sejak kebelakangan ini amat tinggi sehingga memberi kesan kepada industri perumahan sekali gus menekan golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah sendiri.

"Tetapi, langkah itu (menambah senarai barangan kawalan) membuktikan usaha kerajaan untuk memberi keselesaan hidup kepada rakyat," katanya.

"Ia kerana sejak akhir-akhir ini berlaku fenomena kenaikan harga pelbagai barangan makanan dan bukan makanan," katanya.

Bagaimanapun, katanya menambah senarai barangan kawalan untuk mengekang kenaikan harga bukan penyelesaian untuk jangka panjang.

"Sebab itu, kerajaan perlu merangka satu mekanisma untuk jangka panjang bagi memastikan kenaikan harga barangan dapat dikekang.

"Pelaksanaan Dasar Makanan Negara juga adalah satu langkah bijak kerajaan menangani krisis makanan yang turut melanda dunia sekarang," katanya.

"Dasar itu sebenarnya antara gagasan yang sudah lama Fomca cadangkan kepada kerajaan agar tidak terlalu bergantung kepada bekalan import termasuk bahan makanan dan beras," katanya.

Katanya, Fomca juga berharap kerajaan mengkaji semula harga simen yang berbeza antara negeri.

"Harga simen sepatutnya murah kerana ketika ini hampir semua negeri ada kilang simen, tetapi harga bahan itu di Kedah dan Perak lebih murah berbanding Pahang dan Negeri Sembilan yang juga mempunyai kilang pengeluar simen," katanya.




<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi