Thursday, January 24, 2008

 

PTG Perak perlu batal tawar hadiah


PTG Perak perlu batal tawar hadiah

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Tawaran hadiah kepada mereka yang membayar cukai tanah oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak perlu dibatalkan segera kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti serta imej perkhidmatan awam negara.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Ahmad Shah Mohd. Zain berkata, apa yang cuba dilakukan oleh PTG Perak hanya menunjukkan kegagalan agensi itu menguatkuasakan undang- undang sedia ada bagi mengutip cukai secara optimum.

Beliau berkata, PTG negeri tersebut wajar membatalkan segera tawaran itu bagi mengelakkan timbul persepsi negatif, khususnya daripada rakyat terhadap sebuah agensi kerajaan.

''Kutipan cukai tanah berkait rapat dengan pelaksanaan undang-undang. Mengapa PTG Perak tidak mengenakan tindakan terhadap mereka yang tidak mahu membayar cukai?

''Mengapa perlu ada tawaran hadiah melalui cabutan bertuah untuk menggalakkan mereka bayar cukai? Laksanakan sahaja undang-undang sedia ada dengan mengenakan tindakan kepada mereka yang enggan membayarnya (cukai),'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah PTG Perak yang menawarkan pelbagai hadiah termasuk sebuah kereta Perodua Kancil melalui cabutan bertuah kepada mereka yang membayar cukai tanah bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac ini sempena Kempen Pembayaran Cukai Tanah 2008 di negeri berkenaan.

Ahmad Shah berkata, apa yang lebih dikesalkan lagi, sudah tentu wang peruntukan menyediakan hadiah-hadiah tersebut diambil daripada dana awam.

''Ini melibatkan pengurusan dana awam atau dalam erti kata lain, ia adalah wang rakyat. Kita tidak harus sewenang-wenangnya membelanjakan wang ini. Ini soal ketelusan, amanah dan kredibiliti sesebuah agensi kerajaan.

''Setiap sen yang keluar daripada dana itu akan dipersoalkan. Adakah ia memberi faedah kepada semua orang atau segelintir sahaja yang merasainya,'' katanya lagi.

Nada yang serupa turut disuarakan oleh Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah yang turut menentang langkah yang diambil oleh PTG Perak tersebut.

''FOMCA melihat langkah PTG Perak menawarkan hadiah hanya memperlihatkan kelemahan agensi itu menguatkuasakan undang-undang. Mereka gagal menjalankan tugas dengan berkesan.

''Keadaan itu telah menyebabkan mereka terpaksa mencari satu jalan mudah untuk menggalakkan pemilik tanah membayar cukai. Bagi kami ini bukan satu amalan yang sihat dan perlu dibendung segera,'' katanya lagi.

Beliau berkata, FOMCA khuatir jika amalan seperti itu dibiarkan, satu hari nanti ia akan merosakkan fikiran rakyat Malaysia.


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi