Wednesday, May 23, 2007
RENCANA : Sikap tak kisah harga rugikan pengguna
Adakah Fomca menjangkakan akan berlaku kenaikan harga barang ekoran berita baik kenaikan gaji kakitangan awam diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin?
Sebelum pengumuman kenaikan gaji, memang sudah ada laporan media mengenai ura-ura peniaga ingin menaikkan harga makanan. Apabila gaji kakitangan awam dinaikkan, harga barang juga akan turut naik adalah satu andaian. Tetapi, apa sebenarnya yang membimbangkan Fomca ialah kesanggupan pembeli sebagai kumpulan pengguna. Selagi pengguna sanggup beli pada harga ditetapkan peniaga, harga barang akan naik. Oleh itu, perlu ada perubahan sikap kerana kuasa di tangan pengguna. Selalunya apabila peniaga tahu pengguna ada duit, mereka naikkan harga. Tetapi, jika pengguna tidak termakan tindakan peniaga, sebaliknya mereka beri tekanan dengan tidak membeli barang itu, pastinya penjual terpaksa mengubah strategi dengan menurunkan harga.
Adakah pengguna bersedia untuk bertindak drastik bagi memastikan peniaga beralah dengan kerenah mereka?
Saranan Fomca kepada pengguna, jangan salahkan orang lain kerana ini pasaran bebas. Jika peniaga naikkan harga dan kita sebagai pengguna hanya mengikut saja, itu pendirian bodoh. Kuasa membeli di tangan pengguna dan jika kita tidak gunakan kuasa itu, tiada siapa lagi yang boleh tolong. Menteri pun tidak dapat menyokong kerana kelemahan disebabkan sikap kita. Sepatutnya, jika pengguna inginkan harga berpatutan, mereka sendiri tentukan. Bukan membeli pada harga ditawarkan penjual. Jangan mengadu harga naik. Tanya diri kita apa tindakan kita untuk membetulkan keadaan. Jika betul tidak setuju harga naik, jangan beli.
Mungkin pengguna kita tidak tahu bagaimana cara mereka boleh menekan peniaga kerana akhirnya mereka masih memerlukan barang itu?
Jika hendak adakan mekanisme terancang, ia tidak boleh dibuat dalam masa singkat. Lagipun, berapa ramai daripada kita yang menjadi ahli persatuan pengguna dan mengikuti program anjuran persatuan pengguna. Bagaimana kita hendak aturkan satu tindakan terancang. Sepatutnya setiap individu mempunyai keyakinan untuk mengambil tindakan. Jika mereka rasa harga itu tidak berpatutan, jangan beli. Contohnya, kelmarin beli roti canai harga 80 sen, tiba-tiba semalam RM1. Pengguna yang rasa tidak patut bayar RM1, jangan sokong. Maknanya, jangan makan. Beli kuih saja.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan mendedahkan nama dan lokasi kedai yang menaikkan harga barang tanpa alasan kukuh. Adakah tindakan ini dapat membantu menghalang tindakan peniaga yang tidak bertanggungjawab?
Pihak berkuasa tidak boleh ambil tindakan terhadap peniaga yang menaikkan harga barang tidak terkawal. Jika peniaga roti canai hendak naikkan harga, kita tidak boleh buat apa. Bagaimanapun, Fomca tetap menyokong tindakan kementerian. Dalam hal ini, pengguna juga boleh maklumkan kepada Fomca melalui telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel untuk memberitahu premis atau peniaga yang naikkan harga barang. Maklumat itu akan disalurkan kepada kementerian. Bagaimanapun, saya terpaksa katakan ini secara berulang, tindakan dan kuasa sebenarnya tetap pada pengguna sendiri.
Bila ada berita baik, ada pihak yang cuba menangguk di air keruh. Sampai bila agaknya pengguna perlu berdepan dengan keadaan seperti ini?
Peniaga pasti inginkan keuntungan kerana matlamat satu-satu perniagaan ialah untuk memaksimumkan keuntungan. Andaikan harga barang itu RM1, tetapi disebabkan peniaga tahu bahawa kebanyakan penduduk di kawasan itu kakitangan kerajaan yang dapat kenaikan gaji, dia cuba nasib naikkan harga kepada RM1.10. Jika penduduk tak kisah beli pada harga RM1.10 kerana sekarang mereka ada lebihan 30 sen, peniaga akan tipu. Dia letak harga dan pengguna setuju. Apa kata pengguna tidak setuju dan barang itu tidak terjual, pasti peniaga perlu memikirkan cara lain seperti turunkan semula harga.
Adakah pernah berlaku sebelum ini disebabkan sikap tegas pengguna, akhirnya peniaga terpaksa beralah dan menurunkan harga barang kepada harga sebelum dinaikkan?
Dari segi fakta tidak ada, kita kena buat kajian. Mengikut ilmu ekonomi dalam hal tawaran dan permintaan, apabila tawaran naik permintaan kurang iaitu harga jatuh. Apabila tawaran kurang permintaan naik, harga naik. Satu pengecualian, ini hanya berlaku jika pengguna tidak bersatu. Sebaliknya, jika pengguna bersatu, perkara itu tidak akan berlaku kerana pengguna penting. Kita hendak sedarkan pengguna tindakan mereka yang tentukan semua ini. Apa kata jika ada kenaikan harga, tangguh dulu belian untuk seminggu, ada atau tidak penurunan. Peniaga pasti tidak mahu simpan barang dan apabila kita tidak beli, mereka akan turunkan harga.
Adakah isu kenaikan harga bermusim atau berlaku sepanjang masa?
Kenaikan harga barang bukan bermusim kerana peniaga ada perancangan untuk mendapatkan keuntungan. Tiada pengumuman naik gaji pun mereka naikkan harga barang. Jika ada kekurangan bekalan, itu yang buat harga naik. Fomca nasihatkan pengguna mengamalkan perbelanjaan secara berhemah. Buat perbandingan harga dan pilih peniaga yang menawarkan harga berpatutan.