Sunday, December 31, 2006
Bertindak ke atas firma eksploitasi pengguna SMS
Oleh: RAHANA MOHD DAHARI
KUALA LUMPUR 30 Dis. - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia digesa bertindak tegas terhadap syarikat-syarikat yang mengeksploitasi para pengguna telefon bimbit menerusi produk perkhidmatan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) bagi mengaut keuntungan.
Produk-produk tersebut termasuk khidmat muat turun nada dering lagu-lagu popular, madah, gambar dan peraduan yang `diumpan' dengan hadiah-hadiah lumayan melalui SMS.
Setiausaha Agong Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, tindakan syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan SMS menawarkan produk-produk sedemikian jelas bertujuan untuk `memancing' para pengguna khususnya golongan remaja.
Katanya, golongan remaja begitu ghairah menggunakan perkhidmatan sedemikian tanpa menyedari ia adalah satu pembaziran.
``Pihak Suruhanjaya perlu bertindak segera kerana amalan yang asalnya sekadar hobi atau suka-suka kini telah bertukar menjadi gejala yang semakin membimbangkan,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, walaupun para pengguna tidak boleh disekat tetapi mereka boleh disedarkan daripada terus membazir wang dan masa jika pihak suruhanjaya mengambil tindakan sewajarnya.
Beliau mendakwa, syarikat telekomunikasi telah mengenakan caj yang tinggi terhadap perkhidmatan SMS sedangkan ia dianggap remeh.
``Syarikat berkenaan sepatutnya boleh menggunakan tenaga yang ada untuk membangunkan pangkalan data untuk memberi kemudahan komunikasi yang lebih banyak kepada pengguna,'' katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia Datuk Dr. Maamor Osman pula menegaskan, keghairahan golongan remaja menggunakan SMS dengan cara yang salah disebabkan kegagalan ibu bapa membentuk kesedaran di kalangan mereka.
``Golongan remaja yang keterlaluan mendail SMS untuk menyertai peraduan disebabkan mereka tidak sedar beban yang terpaksa ditanggung oleh ibu-bapa untuk menjelaskan bil bayaran telefon,'' ujarnya.
Menurut beliau, ibu bapa mesti mengambil langkah mengawal perbelanjaan anak-anak bagi mengelak mereka menggunakannya ke jalan yang tidak berfaedah.
Pengguna katanya, mesti sedar tidak ada faedah menukar nada dering berkali-kali, memuatkan gambar-gambar lucah dan pantun-pantun yang karut kerana ia bukan sahaja merosakkan budaya tetapi mencemar kesucian agama.
Tambahnya perkara itu, boleh ditangani jika terdapat syarikat telekomunikasi yang bersikap telus kepada pengguna untuk menyekat pembaziran.
``Mungkin syarikat terbabit boleh menghantar peringatan kepada pengguna tentang kelebihan menggunakan SMS atau peringatan-peringatan lain,'' jelasnya
Menurutnya langkah tersebut sekurang-kurangnya menyedarkan pengguna daripada terus khayal dan leka menyertai pelbagai bentuk peraduan melalui SMS yang membazir wang dan masa.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna Malaysia (Era Consumer) T. Inrani berkata, paparan iklan-iklan komersial melalui media cetak dan juga elektronik memainkan peranan besar mempengaruhi pengguna menyertai peraduan melalui SMS.
``Iklan di surat khabar dan televisyen yang memaparkan keghairahan remaja menggunakan SMS menjadi satu aliran terkini.
``Pengguna bukan sahaja terpengaruh dengan hadiah-hadiah lumayan yang ditawarkan tetapi turut dipengaruhi iklan yang memaparkan golongan remaja sebagai modelnya.
Beliau menggesa syarikat komunikasi dan juga pihak yang terlibat menganjurkan peraduan atau menawarkan nada dering lebih bersikap jujur.
Katanya, jika mengadakan peraduan dan khidmat muat turun caj panggilan hendaklah disertakan dengan jelas.
Sehubungan itu beliau mencadangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia agar mempercepatkan penggubalan akta bagi mengawal selia gejala khidmat SMS yang tidak berfaedah di kalangan pengguna.