Monday, December 18, 2006

 

Mkini: FOMCA gesa kerajaan kaji semua perjanjian konsesi

Fomca gesa k’jaan kaji semua perjanjian konsesi
Mkini Dec 15, 06 5:43pm


Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa kerajaan mengkaji semula semua perjanjian konsesi yang berat sebelah supaya kemelaratan pengguna, akibat bebanan pengswastaan, dapat ditangani secara berkesan untuk tempoh jangka panjang.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Fomca, Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, kenaikan kadar tol bagi lima lebuhraya di Lembah Kelang mulai 1 Januari ini adalah kesan bebanan yang terpaksa dipikul oleh semua pengguna akibat kelemahan pelaksanaan program pengswastaan.

Fomca juga, katanya, menggesa supaya ditubuhkan sebuah suruhanjaya diraja untuk kajisemula konsesi pengswastaan bagi mengesyorkan kepada kerajaan mengenai kelemahan proses pengswastaan supaya dapat diwujudkan satu mekanisme yang lebih terbuka dan bertanggungjawab.

Selain itu, Fomca juga mahu semua konsesi pengswastaan didedahkan kepada umum selaras dengan janji kerajaan untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam, kata Muhammad Sha’ani dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Fomca juga menggesa diwujudkan sebuah badan kawalselia khas, meliputi wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan badan profesional untuk menentukan segala bentuk piawaian perkhidmatan dan kadar caj berkaitan sistem jalan awam di Malaysia.

Kos sara hidup

Menurutnya, kelemahan pelaksanaan program pengswastaan berlaku kerana penawaran konsesi pengswastaan tanpa bida terbuka serta kerja pembangunan ditawarkan secara runding terus dan tawaran tertutup.

Katanya, penegasan bahawa kadar tol di Malaysia adalah yang terendah merupakan satu alasan yang tidak bermakna kerana tidak berasaskan kepada bandingan kos sarahidup serta juga peraturan lebuhraya bertol di negara lain yang lebih meluas.

Fomca, katanya, menyedari hakikat bahawa sebarang usaha-niaga mestilah memperolehi keuntungan supaya ia berdaya maju dan mendapat dana pinjaman untuk melaksanakan projek awam.

Bagaimanapun, tegasnya, pelaksanaannya amat cenderung ke arah kepentingan pencadang projek daripada mengambil pertimbangan kesannya kepada rakyat dan negara dari segi kos sara hidup dan dayasaing negara di pasaran dunia.

Menurutnya, perkara ini terbukti dengan adanya kajian semula perjanjian dengan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) untuk mengurangkan beban kos yang ditanggung oleh pihak Tenaga Nasional.


Comments:

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi