Tuesday, November 28, 2006

 

Konsesi tol 'berat sebelah', bebankan rakyat

mStar On-line
28-11-2006 10:48:30 PM

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) hari ini mendesak kerajaan mengkaji semula perjanjian konsesi tol yang disifatkannya sebagai berat sebelah dan membebankan rakyat.

Setiausaha Agungnya Mohd Shaani Abdullah berkata jika kerajaan melalui Tenaga Nasional Bhd boleh mengkaji semula kontrak dengan pengeluar tenaga bebas (IPP), perkara yang sama boleh dilakukan bagi perjanjian konsesi tol.

"Kalau dengan IPP boleh runding semula (kontrak) kenapa tidak dengan syarikat konsesi tol," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu semalam yang berkata lima syarikat konsesi tol di Lembah Klang dibenarkan menaikkan kadar tol masing-masing bermula 1 Jan ini.

Lima syarikat konsesi itu ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Grand Saga Cheras.

Menurut Samy Vellu kenaikan kadar tol di lima lebuhraya itu bertujuan mengurangkan beban subsidi RM2 bilion yang ditanggung kerajaan.

Mohd Shaani berkata tindakan mengkaji semula perjanjian konsesi tol itu sememangnya wajar kerana syarikat terbabit sudah mengaut untung tinggi hasil daripada peningkatan lalu lintas yang mengatasi ramalan awal.

Beliau menambah faktor keuntungan tinggi dan peningkatan lalu lintas itu sepatutnya dijadikan alasan oleh kerajaan untuk mengkaji semula konsesi tol atau sekurang-kurangnya mendapatkan diskaun daripada syarikat konsesi.

"Kalau Menteri (Samy Vellu) kata kenaikan itu tidak dapat dielakkan, Fomca ingin bertanya kenapa semasa membuat perjanjian tidak difikirkan perkara ini terlebih dahulu," katanya.




<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi