Monday, July 10, 2006

 

Kerajaan dicadang wujudkan Akta Logo Halal

UTUSAN Malaysia
Julai 10, 2006

KUALA LUMPUR 10 Julai - Kerajaan dicadang mewujudkan Akta Logo Halal bagi membolehkan pihak berkuasa menangani masalah ‘lambakan’ logo itu, kata Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman.

Menurutnya, masalah itu timbul berikutan ketiadaan akta khusus bagi membolehkan pihak berwajib mengambil tindakan berhubung perkara itu.

Malah, beliau juga memberitahu ketiadaan kuasa perundangan seperti itu turut digunakan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan mengeksploitasi status halal.

‘‘Masalah ini tidak boleh dipandang ringan kerana isu halal dan haram boleh memberi kesan besar kepada akidah umat Islam.

‘‘Ini bukan perkara baru, sebelum ini kita telah banyak kali mengemukakan masalah itu kepada mereka (kerajaan), namun tiada tindakan yang benar-benar wajar diambil.

‘‘Sekiranya mereka bersungguh-sungguh mengawal pengeluaran dan pengesahan logo halal ini, sepatutnya mereka boleh mewujudkan Akta Logo Halal bagi memberi kuasa bertindak kepada pihak lain yang mengeluarkan logo halal tanpa pengesahan pihak berwajib,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Maamor berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar semalam berhubung kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustapa Abdul Rahman bahawa pihaknya tiada kuasa mengenakan tindakan kepada pihak yang mengeluarkan logo halal ekoran tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan untuk berbuat demikian.

Keadaan itu bagaimanapun menimbulkan persoalan terhadap peranan kerajaan khususnya Jakim dan pejabat agama negeri yang dilihat seolah-olah tidak ada kuasa dan tidak serius dalam penguatkuasaan penyalahgunaan logo halal.

Pengguna

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha‘ani Abdullah mencadangkan supaya Jakim dan pejabat-pejabat agama menyelaraskan pengeluaran dan standard logo halal bagi memudahkan pengguna.

Katanya, banyak pengguna keliru dengan logo halal yang digunakan oleh kebanyakan produk di pasaran hingga wujud kebimbangan untuk menggunakan produk terbabit.

‘‘Oleh itu, Jakim dan pejabat agama negeri perlu mewujudkan hanya satu logo halal yang boleh diguna pakai bagi memberi keyakinan kepada pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Pengguna Pahang (PAC), Mohd. Saiful Abdullah menyarankan agar pengguna meneliti logo halal yang disahkan oleh Jakim ataupun pejabat agama negeri sebelum membeli produk tertentu bagi mengelakkan sebarang masalah.

‘‘Kita tidak pasti bahawa produk yang mempunyai logo halal yang berlainan sama ada ia halal atau sebaliknya.

‘‘Bagaimanapun, pengguna perlu mendapatkan barangan yang mempunyai pengesahan dari pihak yang sewajarnya sebagai jaminan bahawa produk itu benar-benar halal,” ujarnya.


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi