Saturday, May 06, 2006

 

Umum segera tarif baru elektrik


Umum segera tarif baru elektrik

KUALA LUMPUR 5 Mei - Dua persatuan pengguna menggesa kerajaan menghentikan spekulasi kenaikan tarif elektrik dengan mengumumkan segera kadar baru.

Menurut mereka, kenyataan demi kenyataan mengenai isu itu yang tiada penghujung menyebabkan rakyat semakin resah.

Setiausaha Agung, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Maamor Osman berkata, golongan berpendapatan rendah khususnya perlu bersedia awal bagi menghadapi kenaikan itu.

Beliau berkata, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik juga tidak wajar menyatakan bahawa kadar tarif baru elektrik seumpama harga sebungkus rokok.

``Ia boleh menggambarkan kerajaan tidak prihatin dengan masalah rakyat,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Keng Yaik semalam berkata, tarif baru elektrik yang akan diumumkan tidak lama lagi, sama dengan harga sebungkus rokok sahaja (harga sebungkus rokok 20 batang RM7).

Maamor berkata, kenyataan terbaru itu pasti mendorong peniaga menjadikannya alasan untuk menaikkan produk dan perkhidmatan mereka.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah mahu kerajaan menetapkan kadar baru tarif elektrik seadil-adilnya terutama bagi golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, ketika ini, rata-rata kadar purata bil elektrik sesebuah isi rumah berpendapatan rendah melebihi RM50.

Justeru kata beliau, kerajaan perlu memastikan bahawa kadar tarif baru elektrik itu tidak memberi kesan kepada golongan tersebut.

``Kajian terperinci yang akan dibentangkan di Kabinet dua minggu lagi perlu mengambil kira purata penggunaan elektrik sesebuah isi rumah,'' katanya.


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi