Saturday, September 17, 2005

 

Usah naik tarif air, elektrik -- Gesaan pelbagai pihak demi meringankan beban rakyat

UTUSAN MALAYSIA - Muka Hadapan
17hb September 2005 Sabtu

Usah naik tarif air, elektrik -- Gesaan pelbagai pihak demi meringankan beban rakyat

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Kerajaan diminta tidak melayan sebarang permintaan untuk menaikkan tarif sebarang perkhidmatan yang melibatkan keperluan rakyat khususnya air dan elektrik pada masa kini.

Pelbagai pihak termasuk penganalisis ekonomi menegaskan, dengan iklim ekonomi dunia yang belum stabil ekoran harga pasaran minyak dunia masih tidak menentu, tindakan menaikkan tarif perkhidmatan pada masa ini bukan satu keputusan bijak.

Malah kata mereka, sebarang kenaikan bayaran perkhidmatan pada masa ini tidak akan dapat meringankan bebanan rakyat yang kini menanggung kenaikan harga barang keperluan ekoran peningkatan berterusan harga bahan api sejak tahun lalu.

Penganalisis ekonomi, Dr. Nungsari Ahmad Radhi berkata, walaupun wujud peningkatan kos pengeluaran pada masa ini, kerajaan tidak perlu terburu-buru membuat keputusan membenarkan kenaikan kadar tarif air dan elektrik.

``Situasi ekonomi dunia masih tidak menentu, walaupun ada keperluan bagi syarikat-syarikat utiliti menaikkan tarif perkhidmatan tetapi ini bukanlah masa yang sesuai.

``Masih ada masa untuk kerajaan merancang dan meneliti perkembangan (ekonomi) semasa terlebih dahulu kerana harga minyak pasaran dunia misalnya tidak semestinya akan terus menampakkan kenaikan,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau diminta mengulas kecenderungan beberapa pihak yang meminta kerajaan menimbang cadangan menaikkan tarif perkhidmatan masing-masing kerana pelbagai sebab termasuk peningkatan harga bahan api.

Awal bulan lepas, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Lim Keng Yaik memberitahu, kerajaan akan mengumumkan struktur baru kadar tarif elektrik dalam tempoh terdekat ekoran kenaikan harga minyak dunia.

Syarikat utiliti, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dikatakan sudah menyerahkan cadangan struktur baru kadar elektrik dan kerajaan sedang menelitinya selepas ia tidak disemak semula sejak 10 tahun lalu.

Kerajaan Selangor sebelum ini pernah membayangkan tarif air di Selangor akan naik di antara dua dan empat peratus dalam usaha memperbaiki mutu perkhidmatan air di negeri tersebut.

Bagaimanapun kerajaan negeri itu tidak menyatakan tarikh tarif baru itu akan dikuatkuasakan.

Pakar ekonomi, Dr. Hamzaid Yahya pula berkata, syarikat utiliti seharusnya mencerminkan entiti korporat sejati dengan mengambil kira kepentingan rakyat, bukan mengambil peluang di atas kenaikan harga minyak untuk menaikkan tarif perkhidmatan.

``TNB misalnya, sebagai sebuah syarikat berorientasikan keuntungan, seharusnya diurus dengan sempurna agar lebih efisien dan mampu mendatangkan keuntungan.

``Membangkitkan soal kerugian dan kenaikan harga bahan api pada masa ini sebagai tanda merasionalkan kenaikan tarif elektrik tidak boleh diterima,'' tegasnya.

Pensyarah Ekonomi, Kulliyah Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Nahar Mohd Arshad berkata:

``Sebarang keputusan menaikkan tarif perkhidmatan pada masa ini hanya akan mengecewakan rakyat memandangkan kerajaan baru sahaja mengumumkan penurunan cukai jalan.''

Katanya, walaupun wujud pertembungan kepentingan antara kerajaan dan syarikat pemberi perkhidmatan, kepentingan rakyat perlu diberi keutamaan kerana mereka juga menjadi aset penting dalam kitaran ekonomi negara.

``Jadi, syarikat terbabit seharusnya ada rasa tanggung jawab, mereka boleh naikkan tarif tapi ia akan mendatangkan kesan kepada rakyat, kesusahan rakyat pula akan beri kesan kepada ekonomi negara,'' katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Nordin Abdul Hamid berkata, seluruh lapisan rakyat sangat mengharapkan ehsan kerajaan untuk membuat keputusan yang terbaik.

``Kita harap sangat pertimbangan paling adil daripada kerajaan. Mereka (rakyat) baru sahaja mendapat khabar gembira bahawa cukai jalan diturunkan jadi kita harap kerajaan dapat mengekalkan `kegembiraan' itu buat masa ini,'' katanya.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Shafie BP Mamal berpandangan, TNB seharusnya menumpukan kepada usaha memperbaiki kualiti perkhidmatan, bukan sekadar meminta menaikkan kadar tarif semata-mata.




<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi