Thursday, March 24, 2005

 

UM rencana : Pengguna wajar pantau produk halal

Oleh RISUKI ABDULLAH

Tanggungjawab memantau dan memastikan bahan makanan halal adalah benar-benar halal perlu dipikul bersama oleh pihak berkuasa dan pengguna sendiri.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) wajar menyediakan ruang, kemudahan dan cara yang lebih efektif supaya pengguna sendiri dapat memantau produk makanan halal. Antara pilihan untuk memastikan tanda halal tidak sewenang-wenangnya dipermainkan, adalah dicadangkan pihak berkuasa:-

* Memperkenalkan peraturan supaya semua pengeluar yang telah mendapat pengesahan halal dari Jakim mencetak nombor rujukan khas yang dikawal oleh Jakim pada logo halal.

Nombor rujukan tersebut pula hendaklah boleh disemak secara atas talian dengan hanya menaip nombor rujukan tersebut. Semakan tersebut sekurang-kurangnya menyatakan nama produk dan syarikat pengeluar. Jakim juga boleh menyediakan perkhidmatan semakan ini dengan menyediakan perkhidmatan Internet di pasar raya.

Dengan cara ini, ia memberi peluang kepada pengguna yang ragu-ragu supaya terus dapat menyemak sama ada produk tersebut sebenarnya telah diluluskan oleh Jakim atau logo halal tidak disalahgunakan. Pengguna juga boleh memaklumkan kepada pihak berkuasa jika mendapati nombor rujukan atau kod pada tanda halal yang dicetak berlainan atau tidak terdapat dalam rekod Jakim.

Langkah ini secara tidak langsung akan menyelesaikan masalah pemalsuan logo tanda halal kerana setiap logo mempunyai kod/nombor tersendiri, berbanding pada masa ini hanya logo yang membawa nama Jakim dicetak pada pembungkus produk berkenaan. Jika pengeluar ingin memalsukan logo tersebut ia akan lebih mudah dikesan.

* Di samping itu pihak media dan Jakim juga hendaklah menyiarkan nama produk dan pengeluar yang melanggarkan peraturan penggunaan tanda halal secara terbuka. Pada masa ini nama produk mahupun pengeluar yang melanggar peraturan tidak dihebahkan kepada umum secara terbuka dan terang, seolah-olah pihak yang berkenaan takut untuk menghebahkan maklumat tersebut.

Pihak berkuasa sepatutnya menyiarkan secara terang dan terbuka hasil ujian makmal ke atas bahan makanan yang disyaki bercampur bahan yang tidak halal. Tindakan pihak berkuasa tidak memaparkan nama produk, jenama dan pengeluar secara terbuka menyebabkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tidak takut untuk membuat pemalsuan logo dan sebagainya kerana jika tertangkap sekalipun, ia tidak menjejaskan jualan mereka secara langsung kerana pengguna tidak mengetahui secara jelas.

* Undang-undang juga perlu dibuat untuk memastikan pengedar dan penjual, khususnya pasar raya, hotel dan restoran halal turut sama bertanggungjawab memastikan hanya menyediakan dan menjual produk yang disahkan halal sahaja. Mereka perlu turut sama bertanggungjawab untuk memastikan produk adalah sebenarnya halal dengan cara memastikan pembekal tidak membuat penipuan.


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi