Wednesday, March 23, 2005

 

UM muka depan : Ahli Parlimen sepakat hukuman lebih berat

KUALA LUMPUR 22 Mac - Ahli Dewan Rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan pegangan politik secara muafakat mengutuk keras pengusaha industri makanan yang menggunakan logo halal pada barangan haram dan menggesa mereka dikenakan hukuman berat iaitu penjara dan sebatan.

Hukuman yang berat itu, menurut mereka, akan menyebabkan pengusaha berfikir dua kali sebelum mencampuradukkan produk halal dengan bahan haram kerana selama ini denda yang dikenakan tidak menjadi halangan untuk kegiatan haram itu daripada terus berlaku.

Rata-rata Ahli Parlimen termasuk pembangkang menyifatkan pengusaha berkenaan sebagai pengkhianat dan penjenayah negara yang cuba mengaut keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam di negara ini.

Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) yang mengutarakan usul tersebut untuk diperbincangkan pada sidang Dewan Rakyat berkata, isu sosej yang menggunakan usus babi nyata mencemarkan maruah umat Islam dan berharap kerajaan mengatasi masalah itu.

Beliau berkata, sebelum ini perbuatan yang sama dilakukan pada pakaian, kasut dan alat tulis.

Datuk Badruddin Amirulddin (BN-Jerai) berkata, sebagai sebuah negara Islam sudah tentu tidak memerlukan logo halal kerana semestinya yang disediakan adalah untuk umat Islam.

``Ini menyebabkan ada kedai yang tidak mempunyai logo halal akan dipertikaikan kesucian makanan mereka walaupun ia dikendalikan oleh orang Islam,'' katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menggubal akta atau undang-undang yang membolehkan pengusaha yang manipulasi logo halal pada barangan haram dikenakan hukuman penjara dan sebatan.

Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Keadilan-Permatang Pauh), pula berkata, penggunaan logo halal pada barangan haram akan menjejaskan imej Malaysia dan memerlukan satu pelan tindakan bagi mengatasi masalah tersebut.

Datuk Liow Tiong Lai (BN-Bentong) berkata: ``Walaupun saya bukan Muslim, saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu, barang yang haram tetapi diletakkan logo halal tidak boleh dimaafkan.''

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk S. Veerasingam yang bangun selepas itu, turut menyokong pendirian ahli-ahli Parlimen lain berhubung dengan usul yang dibawa oleh pembangkang dari Kubang Kerian itu.

``Orang yang membuat jenayah ini perlu dikenakan tindakan lebih keras, ini (perbuatan pengusaha itu) tidak boleh diterima,'' kata beliau.

Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang bangun ketika perbincangan usul itu semakin hangat berkata, beliau sendiri tidak mahu mempertahankan pengusaha yang menggunakan logo halal pada barangan haram.


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi