Monday, March 28, 2005
UM Korporat : SFI nafi keluarkan sosej guna usus babi
Pengarah Urusannya, Azmy Sanusi berkata, SFI yang mengeluarkan produk makanan berjenama Azmy, tidak pernah mengeluarkan sosej dan menganggap kenyataan itu sebagai satu fitnah yang secara langsung menjejaskan pengeluaran produk makanannya yang lain.
``Perkara ini bukan bersifat sabotaj tetapi lebih kepada fitnah kerana SFI tidak mengeluarkan sosej, kami keluarkan produk lain dan diakui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan adanya sijil halal,'' katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut membuat kenyataan bahawa syarikat itu tidak mengeluarkan sosej menggunakan usus babi setelah persatuan itu juga dikaitkan dalam e-mel dan SMS berunsur fitnah itu.
Dengan penjelasan ini, Azmy berharap pengguna tidak lagi keliru dan sangsi dengan produk makanan yang dikeluarkan SFI.
Azmy berkata, sepanjang 25 tahun SFI beroperasi sebagai pengeluar makanan sejuk beku untuk pasaran di seluruh Semenanjung, cabaran yang diterima kali ini merupakan yang paling sensitif kerana ia melibatkan isu halal dan haram.
``Ia bukan setakat menjejaskan pasaran dalam negara malahan turut menjejaskan keyakinan beberapa syarikat luar negara yang baru hendak merisik-risik peluang perniagaan dengan kami,'' katanya.
Bagaimanapun, Azmy berkata, SFI akan meneruskan hasrat untuk mengembangkan perniagaan di luar negara dalam tempoh terdekat dan menganggap dugaan yang datang sebagai cabaran untuk terus maju dalam bidang yang diceburi. - Bernama