Wednesday, March 23, 2005

 

UM Ekonomi : Pusat halal: Usaha Malaysia tak terjejas

Oleh Johardy Ibrahim


Cees H.M. Ruygrok.


PETALING JAYA 21 Mac - Dutch Lady Milk Industries Bhd. (Dutch Lady) hari ini menyifatkan tindakan pantas dan tegas kerajaan dalam penguatkuasaan pematuhan halal, mampu mengukuhkan keyakinan para pengguna Islam mengenai kebersihan dan keselamatan produk makanan.

Pengarah Urusannya, Cees H.M. Ruygrok berkata: ``Walaupun pendedahan pemalsuan sijil halal agak mengejutkan, ia tidak dilihat sebagai menjejaskan usaha-usaha menjadikan Malaysia pusat pengeluaran makanan halal di rantau ini.''

Tindakan pantas kerajaan Malaysia dalam isu halal itu, kata beliau, sama seperti yang telah dibuktikan dalam kes selesema burung dan sehingga ke hari ini, industri makanan berasaskan ayam di negara ini tidak bermasalah.

Sebaliknya, kata beliau, industri seumpamanya di beberapa buah negara yang lewat bertindak telah terjejas sehingga ke hari ini ekoran kebimbangan yang masih tebal di kalangan pengguna.

``Industri makanan akan rosak dan runtuh jika kerajaan tidak bertindak mengambil tindakan mengawal dengan kadar segera.

``Dalam isu halal, kerajaan Malaysia sedang melakukannya dan Dutch Lady berpendirian ia adalah langkah yang wajar untuk melindungi pengguna,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dutch Lady merupakan syarikat yang mula mengilangkan produk di negara ini pada tahun 1965, ketika itu dikenali dengan jenama Dutch Baby.

Ruygrok berkata, persoalan pengeluaran produk makanan yang halal bukan saja berkisar dalam operasi Dutch Lady di Malaysia tetapi juga diamalkan oleh syarikat induk Dutch Lady di Belanda, Royal Friesland Food N.V.

Katanya, pematuhan halal itu bukan sekadar diaplikasikan oleh operasi pengeluarannya di negara Islam tetapi juga Belanda sendiri.

``Ini kerana di Belanda, masyarakat Islam adalah ramai. Lagipun, faktor pematuhan halal difahami oleh orang bukan Islam sebagai penanda aras terbaik untuk keselamatan dan kebersihan sesuatu produk,'' ujarnya.

Katanya, walaupun produk Dutch Lady berasaskan bahan tenusu dan dianggap suci, kawalan mutu dan pematuhan halal diamalkan dalam aspek pengeluaran, termasuklah pembekal-pembekal bahan mentah.

Dalam struktur dalaman Dutch Lady sendiri, jelas beliau, ia memiliki sebuah jawatankuasa terdiri yang merangkumi Pengurus Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta Jaminan Kualiti, Pengurus Perniagaan Institusi untuk memastikan pematuhan ketat.

``Kami memastikan pematuhan halal bermula daripada peringkat R&D dan kemudian kemudian melantik pembekal bahan mentah yang perlu memiliki persijilan halal.

``Setelah semua proses persediaan pengeluaran disiapkan, ia akan dikemukakan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk kelulusan.

``Sebagai syarikat yang perlu sentiasa tampil dengan produk yang baru dan segar, proses permohonan memang kerap dilakukan,'' katanya.

Ruygrok berkata, mengikut portfolio pelanggan, kira-kira 70 peratus pelanggan Dutch Lady terdiri daripada orang Bumiputera dengan produk paling popular, susu pekat manis.


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi