Sunday, March 20, 2005

 

Tambahan 5,000 penguat kuasa

Berita Minggu - Berita Nasional -


IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merancang menambah 5,000 pegawai penguat kuasa berikutan keperluan dan beban tugas yang kian mendesak, termasuk dalam penguatkuasaan logo halal.

Menterinya, Datuk Shafie Apdal, berkata ketika ini, kementerian itu mempunyai 1,600 pegawai di seluruh negara termasuk 500 yang diambil awal tahun ini, tetapi jumlah itu belum mencukupi.

Beliau berkata, kementeriannya sudah memaklumkan keperluan itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Kita sudah ambil 500 pegawai penguat kuasa awal tahun ini dan sudah memaklumkan JPA untuk menambah jumlah pegawai penguat kuasa seperti yang kita sasarkan sehingga mencapai seramai 5,000 orang dalam beberapa tahun akan datang," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas majlis perasmian pasaraya pukal, Tesko Stores (M) Sdn Bhd (Tesko), di sini, semalam.

Majlis perasmian itu disempurnakan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali; Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk S Veerasingam dan Ketua Pegawai Eksekutif Tesco, James Edward McCann.

Pada Khamis lalu, Kabinet mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil semula tugas menguatkuasa peraturan berkaitan logo halal, manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertanggungjawab mengeluarkan sijil halal.

Berikutan keputusan itu yang berkuat kuasa serta-merta, 1,600 penguat kuasa kementerian berkenaan dikerah memulakan pemeriksaan, terutama ke atas kira-kira 1,000 produk yang menerima sijil halal di seluruh negara.

Sebelum ini kuasa menjalankan penguatkuasaan logo halal diturunkan kepada Jakim dan kementeriannya hanya membantu operasi jabatan berkenaan.

Dengan keputusan Kabinet kelmarin, kementerian mengambil semula kuasa itu tetapi pegawai penguat kuasa Jakim masih terbabit dalam operasi penguatkuasaan kerana mereka mempunyai tauliah untuk mengesahkan status produk itu sama ada halal atau haram.

Shafie berkata, tugas penguat kuasa yang dijalankan KPDNHEP bukan setakat pemeriksaan dan pemantauan harian, sebaliknya terus bertambah dari semasa ke semasa terutama menjelang musim perayaan dan yang terbaru penguatkuasaan sijil dan logo halal.

"Beban tugas pegawai penguat kuasa semakin bertambah setiap kali menjelang musim perayaan seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas.

"Ini kerana pada musim perayaan itu memerlukan pegawai penguat kuasa melakukan pemantauan secara berterusan berikutan pelbagai penyelewengan dilakukan oleh peniaga," katanya.

Mengenai perasmian pasar raya Tesko, Shafie berkata, Tesko memiliki rangkaian perniagaan yang luas di luar negara terutama di Eropah dan usahawan tempatan seharusnya merebut peluang itu bagi memasarkan barangan keluaran mereka untuk dijual di pasaraya Tesko seterusnya dieksport ke luar negara.

Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi