Saturday, March 19, 2005

 

Prosedur keluarkan logo halal diperketat

Berita Harian - Dalam Negeri - PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memperketatkan prosedur pengeluaran sijil dan logo halal bagi memastikan semua aspek kesucian produk dan hukum syarak dipatuhi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Abdul Rahman, berkata peraturan baru yang dikuatkuasakan adalah bagi mengelak penyelewengan sijil dan logo halal seperti dua kes pengeluaran sosej dibaluti usus babi di Selayang Isnin lalu daripada berulang.

“Jakim dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menggubal peraturan baru pengeluaran sijil dan logo halal.

“Peraturan sedia ada diperketat dan diperkemaskan supaya kejadian pengeluar menipu pengguna Islam dengan menghasilkan produk tidak suci tidak lagi berlaku,” katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Bagaimanapun, Mustafa tidak memperincikan bagaimana cadangan memperketatkan prosedur pengeluaran sijil dan logo halal Jakim itu.

Setakat ini, kira-kira 1,000 produk menerima sijil dan logo halal Jakim yang perlu diperbaharui setiap dua tahun.

Isnin lalu, pihak berkuasa membongkar kegiatan dua pengeluar sosej di Selayang yang menipu pengguna dengan menggunakan usus babi sebagai sarung bahan makanan itu. Kedua-dua kilang itu diserbu dan diarah tutup selama dua minggu.

Selain itu, sebuah restoran di gedung perabot terkemuka di Damansara Utama yang dipercayai menjadi pelanggan utama kilang sosej itu turut diserbu dan 50 kotak produk berkenaan dirampas.

Datuk Seri Najib Razak kelmarin berkata, kerajaan mahu KPDNHEP dan Jakim mengenal pasti kaedah ‘kebal’ yang mampu mengelak logo halal diseleweng sehingga makanan yang kandungannya tidak suci dijual kepada pengguna Islam.

Sambil menyifatkan tindakan dua pengeluar sosej itu sesuatu yang dahsyat, Timbalan Perdana Menteri mahu kaedah terbaik dikenal pasti bagi mengelak kejadian itu berulang.

Mustafa berkata, Jakim dan KPDNHEP akan berusaha mencari pendekatan terbaik termasuk aspek peraturan dan undang-undang bagi memastikan pengeluar terutama pengeluar makanan mematuhi syarat halal.

Beliau menegaskan Jakim akan mengambil tindakan terhadap pekilang yang menyalahgunakan sijil dan logo halal yang sudah tamat tempoh.

“Kebanyakan pekilang yang menerima sijil dan logo halal Jakim mematuhi peraturan dan memperbaharui sijil setiap dua tahun. Bagaimanapun, kita sedar ada beberapa pengeluar yang degil dan menyalahgunakan sijil dan logo halal,” katanya.

Beliau berkata, sijil dan logo halal yang sudah tamat tempoh tidak lagi diiktiraf dan jabatan itu akan membuat pemeriksaan bagi memastikan pekilang tidak memasarkan lagi produk yang diragui kesuciannya.

Sementara itu, Mustafa berkata, Jakim juga mengiktiraf hasil ternak yang dikeluarkan daripada 188 rumah penyembelihan seluruh dunia dengan pemantauan ketat setiap dua tahun bagi memastikan kesucian produk.

“Jakim hanya mengiktiraf rumah penyembelihan dari 17 negara seperti New Zealand, Australia dan Argentina.

“Setiap dua tahun, pemeriksaan dibuat di rumah penyembelihan itu bersama pegawai Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH),” katanya sambil menambah pemeriksaan merangkumi penyembelihan, pengendalian, pembungkusan dan penyimpanan produk.

Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi