Sunday, March 20, 2005

 

Mingguna Malaysia - Rencana

Penguatkuasaan longgar

MUKADIMAH

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan beberapa perkara yang sangat sensitif kepada umat Islam. Makanan yang sering dimakan di hotel, restoran dan kafe terkenal rupa-rupanya ada juga yang tidak halal.

Lebih mengejutkan apabila pemeriksaan juga mendapati ada peniaga menggunakan logo ``halal'' palsu yang mudah boleh didapati di kedai-kedai.

Bagi Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman, perbuatan seumpama itu sungguh biadab dan tidak bertanggungjawab.

``Perbuatan ini sungguh biadab pada pandangan kita,'' katanya kepada wartawan SITI MARIAM MD. ZAIN dan jurugambar MOHD. NOOR AMIN, dalam satu pertemuan Jumaat lalu.

Di sebalik ketidakpekaan peniaga itu, kita juga didedahkan dengan kelemahan penguatkuasaan.

Selain kekurangan tenaga pemantau, Akta Perihal Dagangan (APD) yang mengenakan denda maksimum RM250,000 juga dilihat tidak sedikit pun menakutkan peniaga daripada terus mengulangi kesalahan.

MINGGUAN: Isu ini bukan baru. Mengapa ia terus berulang?

DR. MAAMOR: Dalam hal ini, peniaga terus berdegil kerana faktor pertama ialah kelonggaran penguatkuasaan undang-undang. Kedua, undang-undang itu sendiri lemah selain sikap pengguna dan peniaga boleh mendapat keuntungan secara mudah.

Sejauh mana sikap pengguna sendiri menyebabkan masalah ini berterusan?

DR. MAAMOR: Oleh kerana kita ini masyarakat yang mudah percaya, mementingkan jenama, tidak teliti, menganggap apa sahaja yang dipamerkan itu sebagai benar. Kalau kita lihat masalah sosej, disebabkan jenamanya dari luar negara, mungkin pada tanggapan kebanyakan kita, ini jenama elit, ada kelas. Dan ternyata sikap pengguna ini memakan diri.

Kedua, pengguna juga suka makan di tempat-tempat yang elit, sebab itu kebanyakan produk-produk ini pergi ke tempat-tempat tersebut - hotel-hotel dan restoran-restoran ternama serta kompleks membeli-belah yang besar-besar. Ia tidak dijual di tempat-tempat seperti pasar malam. Kenapa? Kerana mereka tahu ini merupakan kumpulan yang mampu bayar, selain mendapat premium tinggi. Dalam pada itu, boleh pula menyelewengkan logo halal untuk mengesahkan tindakan mereka.

Sikap pengguna yang malas untuk mengambil tahu secara tepat sesuatu produk itu juga mempengaruhi. Tambahan pula cara persembahan - mungkin pekerja di situ orang Islam, memakai tudung dan sebagainya. Sebenarnya bukan susah untuk mendapatkan maklumat. Mereka boleh menelefon PPIM, selain pihak kementerian untuk mendapatkan pengesahan. Tetapi satu lagi saya fikir ialah kita mesti bebankan juga tanggungjawab kepada peniaga-peniaga runcit seperti di pasar raya-pasar raya bahawa mereka sepatutnya menjadi pemeriksa untuk melihat adakah produk tersebut benar-benar mematuhi kehendak kawalan mutu makanan. Ini kerana kedua-dua kilang yang kita serbu baru-baru ini sangat-sangat menjijikkan dari segi kebersihannya.

Dalam hal ini adakah pengguna seharusnya dipersalahkan?

DR. MAAMOR: Kalau kita melihat dari segi prinsip - pengabaian adalah satu kesalahan. Kebanyakan pengguna sendiri mengabaikan aspek ini. Bagi saya, ia boleh menjurus kepada kesalahan. Tetapi sudah tentulah orang ramai sukar dipersalahkan kerana mereka membuat keputusan berdasarkan maklumat yang diberi.

Memang dari segi hak pengguna, hak untuk memilih adalah hak kita. Tetapi pilihan kita mungkin salah apabila hak untuk mendapatkan maklumat dinafikan.

Apa komen yang selalu Datuk terima daripada pengguna sendiri dalam usaha mereka mendapatkan maklumat?

DR. MAAMOR: Susah mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa terutama Jakim. Mereka kata, kalau telefon, hanya buang masa sahaja. Selalunya pula penjelasan dan penerangan yang diberikan itu tidak memuaskan hati mereka. Saya faham mengapa berlaku demikian. Pertama, mungkin dari segi kepakaran yang ada, pihak berkuasa mungkin tidak betul-betul menguasai bidang teknologi makanan, sains dan sebagainya sedangkan yang bertanya itu daripada kalangan mereka yang berpengetahuan luas. Sebab itu saya berpendapat, pihak berkuasa seperti Jakim mesti mempunyai pakar dalam bidang yang terbabit termasuk pendakwaan, undang-undang, mengenal pasti produk selain mempunyai makmal khas bertujuan untuk mengkaji produk-produk tersebut dan sebagainya. Ia juga mesti mempunyai rangkaian yang menyeluruh. Mendapatkan kerjasama dari institut pengajian tinggi (IPT) yang mempunyai teknologi moden dan kepakaran adalah antara usaha terbaik. Ketika ini, semua ini tidak diintegrasikan. Saya berasa amat kecewa apabila mendengar jawapan pesimis Ketua Pengarah Jakim - ``Apa boleh kita buat, kita kerja sampai tiga empat pagi, kita ada hanya enam orang.''

Sepatutnya kalau sedar kekurangan itu wujud, kita kena buat sinergi pintar dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan seumpamanya. Saya percaya, ramai yang sanggup secara sukarela memberikan bantuan.

Adakah kesukaran untuk mendapatkan logo halal atau bayaran yang dikenakan sebagai penyebab kepada masalah ini?

DR. MAAMOR: Kalau hendak dibuat perbandingan antara mendapatkan pengiktirafan ISO, itu lebih mahal daripada logo halal Jakim. Bagi saya, ini berlaku kerana semua pihak hendak mengambil mudah.

Sebagai sebuah negara Islam, bukankah isu ini tidak sepatutnya berlaku?

DR. MAAMOR: Ia berlaku disebabkan pihak-pihak tadi melepaskan tanggungjawab mereka, pengguna terpaksa menjadi penanggung risiko terakhir. Maksudnya, kalau hari ini penguatkuasaan kita sangat berkesan, pengguna tidak payah risau, kalau halal, tentu halal.

Maklumat yang kita peroleh memang menunjukkan kebanyakan hotel dan restoran di negara ini juga suka mengambil mudah. Mereka tidak peka langsung tentang sensitiviti umat Islam. Di samping perkara-perkara berkaitan makanan, kita juga pernah mendapati tanda arah kiblat diletakkan sesuka hati. Tandas begitu juga, semua pakai `sapu' dengan kertas.

Malangnya hari ini kita dikejutkan pula dengan berita logo halal boleh dibeli di kedai-kedai stationary. Dahulu apa sahaja yang kita lihat, kita percaya, sekarang tidak lagi.

Perlukah umat Islam melancarkan tindakan tertentu, memboikot umpamanya?

DR. MAAMOR: Tindakan ini mungkin hanya akan berkesan buat sementara waktu. Ada orang mencadangkan agar kerajaan hanya membenarkan orang Islam sahaja menghasilkan produk makanan halal. Saya kata kalau kita bertindak begitu, bagaimana nanti orang Cina pula tidak mahu menjual tepung atau gula atau garam kepada kita? Mereka menguasai pasaran. Berapa kerat sangat orang Islam yang ada hari ini mampu menghasilkan makanan. Lebih merugikan kalau itu berlaku, dunia akan mengatakan Malaysia mengamalkan diskriminasi agama dan kita nanti akan dipinggirkan.

Sepatutnya mereka mesti tahu menghormati budaya, fahaman agama orang lain dan undang-undang. Apabila mengetepikan semua ini, maknanya mereka menghina kita. Dan lebih menyakitkan hati ialah hal-hal agama dan budaya adalah di bawah kuasa raja-raja. Saya menganggap mereka secara tidak langsung menghina raja-raja kita.

Apa masalah lain yang Datuk nampak mengehadkan fungsi pihak berkuasa?

DR. MAAMOR: Macam mana kita hendak menguatkuasakan undang-undang kalau masih tiada pegawai pendakwa yang betul-betul mahir dalam bidang pendakwaan produk tidak halal ini. Kita harus ingat yang didakwa sekarang ialah berkaitan dengan penyalahgunaan logo bukan atas kesalahan menghasilkan produk tidak halal.

Ia cuma berdasarkan kepada akujanji - pengeluar kata - kami akan keluarkan produk halal tetapi sebenarnya tidak halal. Kesalahan ini di bawah APD. Pernah berlaku penjualan nasi ayam di Bukit Bintang, memang terkenal. Logo halalnya sah, tetapi kita dapat maklumat dalaman mengatakan sosnya menggunakan wain. Mereka tidak melanggar APD kerana menggunakan logo dan prosedur yang betul tetapi masih tidak halal, siapa tahu? Sebab itu, orang ramai jangan berasa kita betul-betul selamat. Justeru saya lebih cenderung kepada aplikasi piawaian. Kerana kalau piawaian, mereka kena buat program kesedaran. Program ini melibatkan semua peringkat pengurusan dan pengeluaran. Jadi semua orang (pekerja) akan faham tanggungjawab masing-masing.

Kalau kita lihat sebagai perbandingan apa yang berlaku kepada sistem Yahudi - Kosher (simbol piawaian), yang syaratnya sangat ketat. Syarikat terpaksa mengajikan dua orang pengarah daripada kumpulan mereka. Pengauditannya tiga kali setahun. Ini supaya sistem mereka itu benar-benar difahami dan dihormati oleh sesiapa sahaja.

Kalau kena piawaian, semua peniaga mesti melalui proses tersebut. Ini yang persatuan telah perjuangkan sejak sekian lama, kita namakan piawaian ISI 2020.

Setelah sekian lama berlarutan, Datuk dapat terima alasan pihak penguatkuasaan bahawa mereka kekurangan kakitangan?

DR. MAAMOR: Saya tidak boleh menerima alasan sebegitu secara sepenuhnya. Kalau kita tahu itu (kurang kakitangan) sebagai kelemahan, sepatutnya kita telah mengambil langkah-langkah yang perlu. Kedua, kita masih boleh melakukan cara-cara lain yang dapat memberi kesan simbiosis kepada mereka (peniaga). Ketiga, walaupun Jakim mempunyai enam orang sahaja pegawai, mereka perlu tahu, rakyat tidak bodoh, bahawa kuasa penguatkuasaan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ada kira-kira 1,600 orang petugas. Tetapi oleh kerana mereka gagal meyakinkan pihak penguatkuasaan bahawa ini merupakan satu isu penting, sesuai Islam agama rasmi negara, maka mereka ambil sikap endah tak endah sahaja.

Di sini saya nampak jawapan mereka seolah-olah mahu melepaskan tanggungjawab, hendak meraih simpati orang ramai.

Sepatutnya mereka mesti faham hasrat kerajaan. Jakim menerima peruntukan lebih RM220 juta setiap tahun tetapi saya tidak tahu apakah keutamaan yang diberikan terhadap jumlah peruntukan itu.

Dengan begitu banyak kelemahan pihak berkuasa, bagaimana Datuk melihat hasrat negara menjadi hub halal di rantau ini?

DR. MAAMOR: Ini bukan lagi angan-angan Mat Jenin tetapi saya lihat seperti mimpi di siang hari. Kenapa? Kunjungan kami ke Thailand mendapati mereka telah lebih mendahului kita, begitu juga Singapura. Kedua-dua negara ini sedang giat mempromosikan negara mereka sebagai hub halal yang terbaik. Kerana apa? Kerana mereka mempunyai sistem yang efisien.

Malah di Indonesia, menterinya sendiri menulis buku tentang soal halal. Kalau begitu sekali negara sekeliling kita melihat ini sebagai peluang besar, tidak munasabah kalau apa yang berlaku akan diambil kesempatan oleh musuh perniagaan kita itu.

Perlukah fungsi Jakim ini dirombak agar dapat diselaraskan dengan hasrat pucuk pimpinan?

DR. MAAMOR: Jakim di bawah Jabatan Perdana Menteri. Kita tahu penekanan-penekanannya banyak termasuk terhadap masalah penyelewengan akidah, ajaran sesat dan sebagainya. Saya rasa urusan menghasilkan produk makanan (halal) ini bukan prioriti utama mereka. Saya yakin kalau mereka menjadikan ia prioriti sesuai dengan hasrat menjadi hub halal, sudah tentu mereka mempunyai rangka kerja yang jelas. Saya bukan sekadar mahu agar fungsi Jakim itu diteliti semula tetapi lebih cenderung ke arah menjadikan ia kementerian.

Dengan ini, ia boleh benar-benar memberikan konsentrasi terhadap perkara-perkara yang banyak tadi (penyelewengan akidah, ajaran sesat, pendidikan sosial dan sebagainya). Dialog antara agama yang sedang diusahakan, juga boleh diletakkan terus di bawah kementerian sebagai peneraju dan tidak perlu kita mewujudkan suruhanjaya.

Kalau masih kekal setakat jabatan, itu lah hasilnya - seorang ketua pengarah, pengarah dan enam orang pegawai sahaja.

Kelemahan pihak berkuasa tentunya menimbulkan tanggapan negatif masyarakat. Apa sebenarnya yang mereka rasakan?

DR. MAAMOR: Mereka merasakan seolah-olah kedudukan Islam sebagai agama rasmi tidak dimartabatkan sepenuhnya. Kita juga menerima reaksi bahawa mereka menyokong diwujudkan sebuah kementerian yang menjaga hal-ehwal agama. Oleh kerana sekarang ini perkara yang berkaitan dengan agama, bukan Islam sahaja tetapi juga agama-agama lain dilihat sudah menjadi agenda nasional, sepatutnya perlu ada kementerian yang boleh mengawal selia dan menjadi perantara menghubungkan keharmonian bangsa dan kaum ini di Malaysia.

Apa rasional di sebalik cadangan ini?

DR. MAAMOR: Kementerian ini mungkin kita boleh namakannya Kementerian Perpaduan Agama atau apa-apa yang lain. Tujuannya ialah untuk menjaga keharmonian kehidupan beragama yang pelbagai di Malaysia. Ia akan mempunyai tanggungjawab khusus tentang itu. Kita bimbang jika tidak dilaksanakan, lama-kelamaan akan timbul pula isu lain. Kerana hal ini (halal haram) turut menyentuh sensitiviti penganut agama lain. Misalnya orang Hindu, mereka juga marah kerana tidak mengetahui sama ada daging yang dimakan daging lembu atau sebaliknya. Orang vegetarian juga semestinya tidak mahu terus tertipu. Apabila ada kementerian, rasionalnya ialah ia akan mempunyai bajet, kakitangan mencukupi selain akta-akta khusus yang boleh dikuatkuasakan. Ia juga boleh menjadi wadah penyelesaian khusus kepada orang ramai. Dengan adanya kementerian ini juga, kita boleh menjadi model sesuai untuk menerapkan konsep-konsep sama ada masyarakat yang hadhari ataupun menjadi hub halal. Untuk menjadi hub halal ini, kita telah ada prasarana-prasarana yang mencukupi seperti sistem bank dan insurans Islam, sistem pengangkutan yang bagus dan lain-lain lagi. Cuma yang tiada ialah kepintaran, kebijaksanaan dan kesungguhan semua pihak untuk melihat ia diintegrasikan.

Apa nasihat Datuk kepada umat Islam yang merupakan pengguna terbesar di negara ini?

DR. MAAMOR: Sebagai pengguna, kita mengharapkan perkara-perkara halal haram ini diberi keutamaan. Sepatutnya bajet yang ada itu dibuat program-program pendidikan kepada pengusaha dan peniaga. Saya kadang-kadang tidak faham yang dimaksudkan dengan enam orang pegawai ini adakah mereka khusus untuk menjaga produksi halal haram sahaja. Ataupun memang enam orang ini untuk semua sekali termasuk bertanggungjawab terhadap produk-produk yang tidak berbentuk makanan seperti kosmetik, pakaian dan lain-lain. Kalau itu berlaku lagi menunjukkan mereka tidak peka dengan kehendak umat Islam di negara yang meletakkan kedudukan agama Islam itu sendiri sebagai agama rasmi.

Pada masa sama, saya menyeru orang ramai membuat aduan terus kepada Tribunal Pengguna atau menerusi PPIM bagi membolehkan tindakan menyaman pengusaha dan peniaga terbabit diambil.

Kita juga mengharapkan agar penyelesaian yang betul-betul menyeluruh, bukan sekadar `hangat-hangat tahi ayam'. Justeru, pengguna kena bersikap berani dan tegas. Dalam kes ini jangan takut untuk berdepan dengan apa yang kita telah lalui. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, saya berharap agar kita semua dapat menjadikan usaha menyimpan setiap resit dalam melakukan setiap pembelian sebagai amalan. Ini sebenarnya bagi memudahkan kita untuk melakukan tindakan susulan jika berlaku keadaan-keadaan seperti sekarang.


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi