Sunday, March 20, 2005
Mingguna Malaysia - FORUM
SURAT PERTAMA
Saudara Pengarang
,PADA 14 Mac 2005, masyarakat Islam di Malaysia khususnya yang prihatin tentang halal dan haram dikejutkan sekali lagi dengan isu yang amat sensitif iaitu dua kilang pengeluar sosej menggunakan usus babi diserbu. Beberapa minggu yang lalu, kita dikejutkan juga dengan isu kedai membuat roti yang tarikh lupus logo halalnya.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Selangor dipetik dalam akhbar menyalahkan pihak syarikat terbabit yang tidak bertanggungjawab. Puncanya di sini ialah penguatkuasaan. Masyarakat kita masih lagi kabur tentang tugas yang dipikul oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Kesihatan. Saya hingga kini masih lagi bingung memikirkan, bagaimana proses pelaksanaan mendapatkan logo halal.
Bercakap pasal serbuan, saya tabik kepada pihak berkuasa. Masalahnya di sini, buat apa diuar-uarkan serbuan tersebut, tetapi masyarakat Islam tidak didedahkan identiti tuan punya syarikat dan pengedar sosej terbabit dan produk apa.
Dari segi akalnya, bolehkah masyarakat yang kolot seperti saya tahu syarikat tersebut, melainkan kakitangan pihak berkuasa tersebut, rakan mereka dan keluarga terdekat. Malang kerana saya tidak mempunyai kenalan di mana-mana agensi terbabit.
Saya ingin membuat cadangan sebagai langkah yang difikirkan boleh diterima pakai oleh pihak berkuasa.
1. Sesiapa yang memohon mendapatkan logo halal perlu diberi satu nombor di mana nombor halal ini akan dituliskan bersama-sama pada logo Halal.
2. Pihak Jakim perlu bertindak proaktif di mana mereka perlu mengadakan talian hotline. Masyarakat Islam yang prihatin jika ingin memastikan adakah sesuatu barang tersebut berdaftar dengan Jakim, mereka hanya perlu SMS atau telefon nombor yang akan diberikan oleh Jakim.
Dengan ini proses yang diterima oleh pengguna akan lebih cepat dan perasaan was-was pun akan terurai. Pelbagai program telah melaksanakan amalan tersebut, apa kata kita guna pendekatan yang sama. Kami tak kisah dicajkan RM0.50 kerana hasilnya hanya Allah yang mengetahui.
3. Pihak yang didapati menipu, nama syarikat mereka perlu disiarkan di akhbar utama atau di berita di televisyen. Ini bagi membolehkan masyarakat Islam yang telah terbeli produk tersebut tidak tertipu.
Maklumkan kepada orang ramai hasil kajian oleh Jakim. Dengan itu mereka akan berasa selamat dan yakin untuk terus menggunakan barangan tersebut.
Pihak badan bukan kerajaan (NGO) tolong lebih peka isu-isu sensitif ini. Sehingga ke hari ini, saya tidak pernah terbaca isu-isu sebegini dibincangkan dengan panjang lebar di mana-mana media massa. Tetapi kalau isu rogol, ragut, bunuh dan yang terakhir mengenai isu Bukit Cerakah berhari-hari diperdebatkan di dada akhbar.
Saya berharap pihak berkuasa lebih bersikap sensitif dengan isu ini. Hal ini bukan tentang baju, seluar dan barangan mainan tetapi isu yang membabitkan darah daging hingga ke anak cucu.
Saya amat yakin, jika isu sesenang ini pun tidak dibanteras dengan rasional, usaha untuk melahirkan masyarakat cemerlang, gemilang dan terbilang akan terjejas sama sekali. - MOHD. ADLI JAAFAR, Petaling Jaya, Selangor.
SURAT KEDUA
Saudara Pengarang
,JELAS, kebanyakan pengeluar produk makanan bertindak memperlekehkan sensitiviti masyarakat Islam di negara ini. Malah secara tidak langsung, turut mempermainkan undang-undang perdagangan berkenaan produk halal. Yang menjadi mangsa mereka ialah masyarakat Islam.
Kita ada mendengar cadangan agar logo halal Jakim dilengkapi dengan sama ada mikrochip atau ditukar kepada logo hologram. Cadangan ini nampak bagus tetapi saya rasa ia kurang praktikal kerana ia tidak ekonomi dan terbukti terdapat juga penggunaan hologram palsu.
Apa yang saya ingin cadangkan ialah Jakim hendaklah melaksanakan syarat bahawa logo halal pada produk makanan mestilah disertakan dengan nombor siri halal. Nombor siri halal ini hendaklah merujuk kepada sijil halal yang telah dikeluarkan oleh pihak Jakim. Kebiasaannya penggunaan nombor siri adalah langkah terbaik dan sebarang penipuan nombor amat mudah dikesan.
Saya yakin penggunaan nombor siri ini dapat mengembalikan keyakinan masyarakat Islam dan kredibiliti Jakim. Pihak Jakim perlu menaiktaraf laman web e-halal dengan menyediakan enjin carian berdasarkan nombor siri halal terbabit.
Sebagai contoh, jika seseorang pengguna berasa ragu-ragu tentang sesuatu produk. Apa yang perlu dilakukannya ialah mengambil nombor siri terbabit, melayari laman web e-halal Jakim dan memasukkan nombor terbabit dalam enjin carian.
Laman web tersebut mestilah mampu menyediakan maklumat berkenaan nombor produk itu antaranya nama produk, maklumat bahan-bahan, maklumat pengilang, tarikh tamat lesen, dan sebagainya yang difikirkan sesuai oleh pihak Jakim.
Sebarang penipuan akan dikesan di sini dan pengguna terbabit boleh terus membuat aduan pada ruang aduan di laman web tersebut, jika ruang aduan turut disediakan.
Di samping itu, penggunaan nombor siri juga dapat meringankan kerja-kerja Jakim dalam membuat serbuan rambang kerana masyarakat Islam dapat bekerjasama membantu dalam membuat laporan penyalahgunaan nombor atau tempoh sijil sudah tamat berdasarkan maklumat di laman web Jakim itu.
Namun, satu lagi cabaran yang perlu dititikberatkan oleh Jakim ialah kemampuannya untuk mengemaskini maklumat sijil halal dalam tempoh yang cepat. Mungkin secara on-line.
Namun, tidak harus dilupakan bahawa penggunaan undang-undang yang tegas dan pemantauan yang berterusan masih diperlukan bagi mengimbangi kerenah peniaga yang hanya ingin mengaut keuntungan dengan mengetepikan sensitiviti masyarakat Islam. - NAZRUL AZMI, Pasir Gudang, Johor.
SURAT KETIGA
Saudara Pengarang
MEMANG saya antara umat Islam yang berasa begitu terhina dan teraniaya oleh kerana perbuatan segelintir masyarakat yang saya anggap `melampau'.
Setelah isu meehun yang kilangnya tidak mengamalkan kebersihan dengan anjing berkeliaran dalam kilang, kuetiau bercampur minyak babi, daging ayam dicampur dengan daging babi dan terbaru pembalut sosej dari sumber usus babi, apakah tindakan kita sebagai pengguna Islam hanya sekadar menggeleng kepala bila isu ini timbul? Dan kembali lupa tentangnya bila isu ini tidak lagi menghiasi dada-dada akhbar dan skrin TV?
Sehingga kini kita tidak tahu apakah yang terjadi kepada kilang-kilang memproses meehun, kuetiau dan lain-lain sebelum ini kerana ia tidak dipaparkan di media. Kita tidak tahu apa yang terjadi sama ada mereka yang tidak bertanggungjawab tersebut telah dikenakan hukuman, denda atau sebagainya?
Saya teramat bersetuju dengan saranan `Askar Pencen' yang mengesyorkan sijil tanda halal diberikan kepada pengusaha Islam sahaja. Saya pasti tidak akan ada masalah yang sangat berat sebegini jika sijil hanya diberikan kepada pengusaha makanan Islam dan yang pekerjanya Islam saja.
Ini kerana jika diberikan kepada yang bukan Islam yang sememangnya tidak sensitif, mereka mungkin akan mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan setahun atau dua tahun saja dan kemudian apabila pihak berkuasa agak telah yakin dengan mereka, mulalah mereka menyeleweng kerana bagi mereka ini bukan masalah besar.
Saya percaya pengusaha-pengusaha yang tidak bertanggungjawab ini sangat mengetahui sensitiviti umat Islam tetapi sengaja melakukannya kerana memikirkan keuntungan saja dan menyangka pihak berkuasa tidak akan menyedarinya.
Masalah ini akan berlaku dari semasa ke semasa kerana jika dikenakan denda, mereka tiada masalah membayarnya.
Saya juga bersetuju jika Mardi atau Fama menerajui industri makanan halal yang sudah tentu dapat meyakinkan masyarakat.
Ingin juga saya sarankan agar jenama produk-produk tersebut dihebahkan dengan nyata dan jelas untuk kebaikan supaya pembeli Islam lebih berhati-hati. - WAS-WAS, Klang, Selangor.